Gembleng ulama lama, pelapis hadapi politik semasa

Dato' Husain Awang
- Advertisement -

HULU TERENGGANU: Pesuruhjaya PAS Terengganu, Senator Dato’ Husain Awang berkata, tenaga ulama lama dan baharu perlu digemblengkan bagi menghadapi suasana politik masa kini.

- Advertisement -

“Ia adalah kebangkitan anak muda. Politik yang kita bawa mestilah bermatlamat memerdekakan bangsa, mempertahan kesucian Islam, menjadi agen tegakkan keadilan dan perpaduan,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian semasa merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Terengganu ke 58 di Kubang Lembek, hari ini.

Oleh itu, katanya para ulama mesti semarakkan semula semua aktiviti seperti kuliah, usrah, tamrin dan lain-lain bagi menghadapi suasana tadi.

Beliau mengimbau sejarah PAS yang ditubuh oleh para ulama pada tahun 1951, di mana tajuk mengenai merdeka dan pertahankan tanah air menjadi agenda penting ketika itu.

Katanya, golongan pertama yang bangkit melawan penjajah adalah ulama.

Menurutnya, ia adalah manifestasi kata-kata Nabi SAW yang bermaksud: Para ulama adalah pewaris para Nabi.

Tambahnya, setakat yang diingati, pada pilihan raya dari tahun 1964-1969, pembawaan PAS ketika itu membawa naratif yang tidak sama seperti sekarang.

Masa itu, ujarnya semua mahu mendapatkan kemerdekaan dan anak watan mesti memerintah negara.

“Inilah intipati dalam ceramah ketika itu. Isu ketuanan Melayu dibincang supaya lebih terkehadapan. Kebetulan pula populasi masyarakat Melayu ketika itu lebih 88 peratus.

“Isu ini juga menjadi perbincangan pimpinan PAS agar anak watan yang memerintah dan isu kemerdekaan,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, oleh kerana kurang penekanan agama menyebabkan ada pemimpin PAS yang tidak kuat asas perjuangan sehinggalah berlakunya gabungan dengan BN.

Katanya, PAS jadi komponen BN dan ia lebih terkesan kepada parti hingga tahun 1977.

“Ada di kalangan kepimpinan PAS yang terbawa-bawa dengan pendekatan BN dan Umno. Ada yang melihat PAS dan Umno itu sama,” katanya.

Beliau menambah, bangkit golongan pemuda dalam PAS ketika itu membawa gagasan kepimpinan ulama iaitu yang berasaskan ilmu, diwarisi dari para nabi.

Gagasan itu, jelasnya sama dengan peruntukan parti PAS iaitu Fasal 3 mengenai dasar PAS ialah Islam.

“Begitu juga Fasal 5 ceraian 1 menyebut memperjuangkan wujudnya dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredaan Allah,” katanya.

Menurutnya lagi, perkara itu disebut agar para perwakilan ulama ingat kembali tentang fungsi ulama sebagai teras kepada perjuangan.

Beliau berkata, dalam Dewan Ulamak ada ulama pelapis.

“Dalam Dewan Pemuda juga ada ulama. Mereka ini ada ilmu agama dan amanah ilmu. Ulama pelapis ini ada ilmu tentang Islam dan kepakaran tertentu.

“Justeru, kita sebenarnya ada keupayaan tenaga dan ilmu. Oleh itulah tenaga-tenaga ini perlu digemblengkan secara bersungguh-sungguh,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 18/3/2023

- Advertisement -