Jerantut luas, wajar dapat peruntukan besar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jerantut adalah daerah yang besar iaitu lebih besar daripada Negeri Sembilan dan Perlis, kata Ahli Parlimen Jerantut, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin.

- Advertisement -

Justeru, katanya, adalah sangat wajar untuk Jerantut mendapat sejumlah peruntukan yang besar untuk kemajuan kawasan luar bandar.

Oleh itu, pada persidangan Dewan Rakyat, beliau telah mengambil peluang membangkitkan beberapa isu kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang juga Timbalan Perdana Menteri untuk mempertimbangkan dengan sewajarnya.

Katanya, beliau telah memohon agar jalan kampung di Jerantut yang tidak berada di bawah seliaan dan tanggungjawab JKR seperti Jalan Batu Balak, Jalan utama ke Ulu Tembeling iaitu dari Kampung Tuit ke Kampung Mat Daling, Jalan Kampung Sempadan di Batu Balai diberikan peruntukan membaik pulih kerana ia penting untuk rakyat setempat.

Selain itu, beliau juga menyentuh keutamaan dan keperluan bantuan kepada masyarakat Orang Asal di Daerah Jerantut yang melibatkan 12 perkampungan iaitu Kampung Sungai Kiol, Kampung Sungai Mai, Kampung Sungai Kol, Kampung Sungai Berjuang, Kampung Sungai Bangkong, Kampung Paya Petai, Kampung Paya Lintah, Kampung Batu 10 Sungai Retang, Kampung Kuala Atok, Kampung Sungai Tekal, Kampung Sungai Tiang dan Kampung Sungai Kucing.

“Keperluan rumah baru amat mendesak memandangkan isi rumah mereka semakin meningkat,” ujarnya yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat.

Sehubungan itu, Khairil Nizam memohon untuk Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dan pihak kementerian mempertimbangkan secara telus permohonan tersebut untuk meningkatkan keselesaan kepada masyarakat di desa sekitar Jerantut. – HARAKAHDAILY 18/3/2023

- Advertisement -