KXP: Anthony dinasihat dapat maklumat pegawai

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kedah menafikan kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang mendakwa kerajaan negeri tidak pernah membuat permohonan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, projek itu bukan baharu, malah sesi libat urus bersama kerajaan persekutuan diadakan sejak 2013.

Katanya, sesi libat urus dijalankan sejak 2013 bersama agensi-agensi kerajaan persekutuan dan yang terkini pada Januari lalu.

“Saya nasihatkan (Menteri Pengangkutan) merujuk perkara itu dengan pegawai bagi mendapatkan gambaran menyeluruh,” katanya ketika ditemui selepas Melancarkan Kempen Sayangi Kedah Sejahtera di sini, semalam.

Sanusi berkata, projek KXP dan Kedah Aeroptopolis merupakan projek kerajaan negeri dan bukannya syarikat swasta.

Menurutnya tiada mana-mana syarikat swasta boleh mencadangkan agar ia dibatalkan.

“KXP bukan cadangan syarikat swasta tetapi ia adalah projek kerajaan negeri. Kononnya ada syarikat yang menarik diri dan tak mampu untuk kendali projek tersebut.

“Tindakan itu untuk membina persepsi buruk kepada kerajaan negeri oleh ahli-ahli politik di Kuala Lumpur,” katanya.

Justeru mana-mana pihakpun katanya perlu bercakap berdasarkan fakta berkenaan isu KXP.

Oleh itu kata beliau pembangunan KXP perlu dinilai dari sudut ekonomi dan bukan kepentingan politik mana-mana pihak.

Beliau turut berharap dapat mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memberi gambaran sebenar berkenaan projek terbabit.

“Saya bimbang beliau hanya mendapat penerangan sebelah pihak (Pulau Pinang) sahaja sehingga menggambarkan KXP sebagai saingan kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/3/2023

- Advertisement -