Pemasangan fiber optik perlu adil

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemasangan fiber optik secara adil antara kawasan bandar dan luar bandar untuk capaian internet lebih baik penting dalam usaha mendigitalkan promosi produk usahawan.

Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) berkata, rangkaian pemasangan fiber optik di Wilayah Persekutuan merangkumi 62.8 peratus kawasan, manakala di Kelantan hanya 16.8 peratus.

- Advertisement -

“Justeru itu, apakah langkah dan strategi yang akan diambil bagi mengadili antara kawasan bandar dan luar bandar?

“Apakah langkah bagi melaksanakan promosi pendigitalan produk di kawasan luar bandar yang tidak memiliki liputan internet,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengemukakan soalan tambahan pada sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau juga meminta penjelasan mengenai tindakan yang telah diambil dan akan diambil kerajaan bagi mewujudkan rangkaian penjualan antara kawasan bandar dan kawasan luar bandar.

Menjawab soalan berkenaan, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata perkara itu akan dibincangkan melalui Majlis Ekonomi Digital Negara kelak.

Beliau percaya, platform berkenaan akan membincangkan hal tersebut melibatkan beberapa agensi yang terlibat dalam pembangunan keusahawanan berasaskan digital.

“Kementerian saya adalah antara anggota majlis itu dan apabila bersidang nanti, apa yang disebut Yang Berhormat adalah antara perkara yang kita akan kemukakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/3/2023

- Advertisement -