JAKIM dan negeri kerjasama tingkat pengetahuan imam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mengadakan kerjasama dengan Majlis Agama Islam Neger (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) bagi meningkatkan pengetahuan imam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, latihan imam wajar diadakan secara berterusan bagi meningkatkan pengetahuan mereka.

- Advertisement -

Oleh itu, katanya kerajaan melalui JAKIM akan mengadakan perbincangan dengan MAIN dan JAIN bagi meningkatkan ilmu pengetahuan imam.

“Saya setuju dengan cadangan Ahli Parlimen Kuala Krai bagi menarik minat lebih ramai lulusan bidang agama berkhidmat sebagai imam,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum itu, Abdul Latiff mahu mengetahui usaha yang dilakukan kerajaan bagi menarik lebih ramai pelajar lulusan agama berkhidmat sebagai imam.

Abdul Latiff Abdul Rahman

Menjawab soalan asal Dato’ Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol), Dr Mohd Na’im berkata, pelantikan imam masjid kariah adalah di bawah bidang kuasa MAIN atau JAIN, manakala JAKIM bertindak sebagai penyelaras di peringkat Persekutuan.

Bagaimanapun, katanya kerajaan Persekutuan membantu kerajaan negeri melalui pemberian imbuhan bulanan kepada imam masjid kariah/mukim di seluruh negara sejak Januari 2005 dengan kadar imbuhan bulanan ketika itu sebanyak RM450

“Pada tahun 2011, dalam pembentangan Bajet 2011, Perdana Menteri ketika itu mengumumkan kenaikan kadar imbuhan bulanan kepada RM750 sebulan dan pada Oktober 2016, kerajaan menaikkan kadar imbuhan sekali lagi kepada RM850 sebulan.

“Pada 2022, JAKIM menyalurkan peruntukan sebanyak RM146,604,600.00 ke negeri bagi pembayaran imbuhan bulanan kepada 14,373 orang imam masjid kariah di seluruh negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/3/2023

- Advertisement -