Fatwa SIS Forum sesat tidak boleh dipertikai

Dr Wahibah Tahir
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Rayuan menolak rayuan Sisters in Islam (SIS) untuk membatalkan fatwa Selangor yang menganggap NGO terbabit sebagai sesat perlu diterima secara terbuka.

- Advertisement -

Menurut Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, Dr Wahibah Tahir, SIS Forum (Malaysia) patut terima seperti diputuskan mahkamah.

Katanya keputusan fatwa Selangor yang mengisytiharkan badan itu sebagai sesat tidak boleh dipertikaikan lagi.

“Hakikatnya mereka gagal dalam rayuan untuk membatalkan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor.

“Sepatutnya memang begitulah keputusannya, sebab jelas kita lihat melalui aktiviti dan pemikiran mereka bertentangan dengan asas akidah dan prinsip syariah,” katanya ketika dihubungi di sini.

Tambahnya, keputusan itu juga diharapkan dapat memberi kesedaran kepada masyarakat agar menghormati pihak berkuasa agama yang berautoriti dan tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pemikiran yang bertentangan dengan akidah dan hukum hakam yang terikat dengan ketetapan syarak.

Mahkamah Rayuan semalam menolak rayuan SIS Forum untuk membatalkan fatwa Selangor dikenakan kepada agensi tersebut pada Oktober 2014, yang mengisytiharkan NGO itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Dr Wahibah berkata, SIS Forum perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dan mereka perlu merujuk ke pihak yang berwajib dalam hal-hal berkaitan keagamaan.

Kata beliau fatwa Selangor tidak akan menjatuhkan hukum melainkan perkara tersebut bertentangan dengan agama.

“Dalam Islam tidak bertujuan untuk terus menghukum, kita mahu keputusan tersebut memberi pengajaran kepada SIS Forum.

“Mereka sepatutnya kena merujuk kepada pihak berwajib apa yang menyebabkan mereka dituduh sebagai sesat.

“Dalam sistem pendidikan agama kita ada fasa-fasa sebelum dihukum, ada fasa pemulihan, jadi peringkat pemulihan memberi peluang kepada mereka untuk memahami kenapa ia dikategori sebagai sesat,” katanya.

Pada 31 Oktober 2014 pengasas SIS Forum Zainah Mahfoozah Anwar dan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim memfailkan permohonan untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.

Mereka menamakan Jawatankuasa Fatwa Selangor, MAIS dan Kerajaan Selangor sebagai responden. – HARAKAHDAILY 15/3/2023

- Advertisement -