Perlis benar tangkapan siput retak seribu secara terkawal

Razali Saad
- Advertisement -

KANGAR: Perlis akan membenarkan semula tangkapan siput retak seribu secara terkawal di perairan negeri itu selepas diharamkan sejak tahun 1980-an.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Perlis, Razali Saad berkata, kebenaran itu dikeluarkan selepas kajian yang dilakukan Jabatan Perikanan Malaysia menerusi Institut Penyelidikan Perikanan Kampung Acheh (FRIKA) di sepanjang perairan Perlis.

“Berdasar laporan Institut Perikanan Penyelidikan Kampung Acheh (FRIKA), taburan populasi siput retak seribu berada di 19 lokasi perairan Perlis dengan anggaran berat 493 tan metrik.

“Dengan harga pantai RM4 bagi satu kilogram siput retak seribu, nilainya dianggarkan mencecah RM1.9 juta,” katanya menjawab soalan Abu Bakar Hamzah (PN-Kuala Perlis) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Kata beliau berdasar kajian tersebut menyebabkan Jabatan Perikatan bersetuju untuk mengeluarkan lesen atau permit siput retak seribu (SRS) secara terkawal dapat dimanfaatkan nelayan setempat.

Bagaimanapun Razali berkata, terdapat bantahan daripada nelayan menyebabkan usaha ke arah pengeluaran lesen siput retak seribu (SRS) tidak dapat dilaksanakan.

“Terdapat kebimbangan komuniti nelayan sekiranya lesen diberi akan menyebabkan hasil tangkapan ikan terjejas dan menganggu ekosisten,” ujarnya.

Oleh itu katanya permit tangkapan yang akan dikeluarkan secara bersyarat agar sumber laut dapat dimanfaatkan nelayan tempatan.

Katanya pengeluaran permit tangkapan siput retak seribu akan diberi terhad kepada nelayan berlesen dengan 20 kuota pengeluaran permit di pangkalan sedia ada.

“Selain itu kawasan operasi tangkapan bagi Zon A hanya pada jarak 1 hingga 5 batu nautika, manakala muatan sampan dan kapasiti enjin akan ditentukan pihak yang bertanggungjawab.

“Nelayan mesti menggunakan tangguk bergalah dengan panjang dihadkan 5 meter dan waktu pengambilan siput dibenarkan bermula 6 pagi sehingga 6 petang sahaja,” katanya.

Abu Bakar sebelum itu mempersoalkan tindakan kerajaan berhubung isu pencerobohan nelayan dari Kedah yang menangguk siput retak seribu walaupun ia diharam di Perlis.

Beliau mendakwa setiap hari kira-kira 200 nelayan dan pengusaha bot menceroboh perairan Perlis dengan membawa pulangan hasil yang begitu banyak. – HARAKAHDAILY 15/3/2023

- Advertisement -