PN kumpul kontena untuk rumah mangsa gempa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) melancarkan usaha menggerakkan semaksimum mungkin dana untuk menyediakan rumah kontena kepada mangsa gempa bumi di Turkiye.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, juga meminta rakyat Malaysia terus memberi sumbangan untuk membantu mangsa gempa bumi di negara itu

- Advertisement -

“Kami menyaksikan bahawa operasi menyelamat telah ditamatkan. Ini bermakna fokus kerajaan Turkiye adalah untuk meruntuhkan bangunan yang tidak selamat dan memasuki fasa pembangunan semula, terutama menyediakan kemudahan kediaman.

“Sebahagian besar mangsa ditempatkan dalam khemah. Saya fikir dalam lawatan kami, lebih kurang 80 peratus mangsa-mangsa berada dalam khemah yang sangat tidak selesa dengan bilik air terpaksa berkongsi di luar.

“Walaupun kerajaan Turkiye mengambil langkah yang sangat proaktif, tetapi keperluan yang mendesak ialah untuk menyediakan kontena kepada mangsa gempa bumi di Turkiye,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Tuan Ibrahim mengetuai Misi Bantuan Gempa Bumi Turkiye-Syria yang dianggotai Ahli Parlimen PAS dan Bersatu pada 2 hingga 7 Mac lalu.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PAS berkata, perbincangan di peringkat Ahli Parlimen PN memutuskan supaya setiap Ahli Parlimen menaja sekurang-kurangnya satu kontena kepada mangsa gempa bumi.

“Jadi semua Ahli Parlimen PN akan menyumbang dan kita nak ambil kesempatan ini untuk menyeru seluruh rakyat Malaysia membantu kerana mereka (mangsa gempa bumi) sangat memerlukan.

“Kita boleh bayangkan kalau RM10 seorang pun rakyat Malaysia menyumbang kepada usaha ini, kita berjaya membantu mereka.

“Suka saya maklumkan, rombongan kami pergi (ke kawasan gempa bumi di Turkiye) dan diberi taklimat. Kita turun ke lapangan dan menyerahkan sumbangan rakyat Malaysia yang menyumbang melalui kami. Kita dah sampaikan kepada mangsa-mangsa.

“Ada dua keperluan yang agak mendesak, iaitu rumah kontena dan memulihkan semula semangat mereka, trauma yang dihadapi sangat kritikal, mereka tak berani duduk dalam rumah,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada badan bukan kerajaaan (NGO), Kedutaan Malaysia dan konsulat pelajar Malaysia (di Turkiye) yang membantu menjayakan misi bantuan gempa bumi.

“Insya-Allah rombongan ini, saya difahamkan misi menghantar bantuan ini akan terus berjalan dan mudah-mudahan dengan usaha ini, kita dapat membantu mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/3/2023

- Advertisement -