Sambungkan laluan kereta api Kelantan-Thailand

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi, mencadangkan kerajaan menyambung laluan kereta api antara Kelantan dan Thailand bagi meningkatkan pembangunan di negeri itu.

Ahli Parlimen dari PERIKATAN NASIONAL itu berkata, ketika ini terdapat dua laluan kereta api di Kelantan, iaitu Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

- Advertisement -

Namun, katanya kedua-dua rel ini tidak bersambung ke Thailand, tidak seperti di Perlis yang menghubungkan Padang Besar ke Hatyai.

“Jadi apakah kerajaan bercadang untuk memastikan ECRL dan KTMB ini dapat menyambungkan laluan ke Thailand. Contohnya menghubungkan Rantau Panjang dan Sungai Golok bagi merancakkan ekonomi dan pelancongan di Kelantan.

“Selain itu, adakah kerajaan boleh mengkaji atau bercadang menjadikan Tumpat sebagai bandar pelabuhan darat kereta api atau rail inland port untuk kemajuan dan ekonomi rakyat Tumpat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Anthony mengalu-alukan cadangan tersebut, namun menjelaskan pelan ECRL ketika ini hanya sehingga ke Kota Bharu walaupun perancangan asal adalah hingga Pengkalan Kubor di Tumpat.

Menurutnya, perancangan untuk menghubungkan rel kereta api antara Malaysia dan Thailand melalui Kelantan memerlukan perbincangan antara kedua-dua negara.

“Cadangan ini memang sesuatu yang boleh dilaksanakan pada masa hadapan, kita juga mahu hubungan kereta api rentas negara ini dapat ditambah.

“Malah, terdapat juga perancangan untuk menghubungkan landasan kereta api dari Malaysia sampai ke China, sudah tentu ini sekali gus menghubungkan Malaysia dan Thailand,” katanya.

Anthony menambah, suatu hari kargo dari Malaysia boleh sampai sehingga ke Kunming, China. – HARAKAHDAILY 14/3/2023

- Advertisement -