Hospital Gerik dapat khidmat pakar Hospital Taiping

Fathul Huzir Ayob
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hospital Gerik merupakan sebuah hospital tanpa pakar yang dilengkapi dengan 75 buah katil dan kadar penggunaan katil sebanyak 37.83 peratus, kata Kementerian Kesihatan.

- Advertisement -

Menurutnya, hospital itu mendapatkan sokongan perkhidmatan kepakaran daripada Hospital Taiping melalui program Hospital Kluster Perak Utara.

“Pada masa ini, kementerian ini berpandangan hospital ini masih mampu menampung perkhidmatan bagi penduduk Gerik,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Fathul Huzir Ayob [PN-Gerik] di Dewan Rakyat, hari ini.

Fathul Huzir dalam soalannya meminta Menteri Kesihatan menyatakan apakah inisiatif pihak Kementerian untuk membela kebajikan dan kesihatan warga Hulu Perak amnya dengan mengambil kira fasiliti yang sudah berusia dan tidak relevan menampung pesakit kecemasan atau kritikal seperti mangsa kemalangan dan bersalin.

Ini, katanya kerana Hospital Gerik sedia ada terpaksa menampung jumlah pesakit di daerah Hulu Perak dan mangsa kemalangan Lebuh Raya Timur Barat, tentera, pihak penguat kuasa sempadan, pelancong dalam dan luar negara.

Walau bagaimanapun, kata kementerian, akan sentiasa mengkaji keperluan menaik taraf hospital itu dari masa ke semasa tertakluk kepada keperluan perluasan perkhidmatan kepakaran, ketersediaan sumber manusia dan peruntukan kerajaan. – HARAKAHDAILY 14/3/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!