Ambil iktibar rusuhan bola sepak di Indonesia

Foto daripada Facebook Faizal Azumu.
- Advertisement -

IPOH: Malaysia perlu mengambil iktibar tragedi berdarah yang mengorbankan lebih 150 orang dalam rusuhan selepas perlawanan bola sepak di Indonesia pada Sabtu lepas.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kejadian rusuhan hingga mengakibatkan kehilangan nyawa di negara jiran itu amat mendukacitakan.

“Kita ucap takziah kepada kerajaan Indonesia dan seluruh rakyatnya dan mendoakan mereka yang terkorban.

- Advertisement -

“Malaysia akan mengambil iktibar daripada kejadian ini dan kita belajar bagaimana untuk mengelakkan perkara ini berlaku bukan sahaja di sini tetapi kita harap ia tidak berlaku di mana-mana,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Makan Malam dan Dana Pilihanraya PRU15 PAS Perak di sini, malam tadi.

Turut hadir Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin dan Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad.

Ahmad Faizal berkata pihaknya akan menghubungi rakan sejawat di Indonesia bagi memberikan bantuan yang boleh disediakan susulan insiden buruk itu.

Angka kematian akibat rusuhan pada pertembungan ‘derby Jawa Timur’ antara Arema FC dan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur, meningkat kepada 174, demikian menurut Agensi Anadolu (AA) memetik Ketua Polis Jawa Timur Nico Afinta semalam.

Selain itu lebih 100 orang turut cedera dalam insiden itu, dan mereka sedang dirawat di lapan hospital.

Sebuah video yang dikongsi di media sosial menunjukkan peminat, berpakaian merah dan biru, menyerbu padang selepas Arema tewas 2-3 kepada Persebaya Surabaya dan bertembung dengan pasukan keselamatan.

Selepas penyokong pasukan tuan rumah yang kalah menyerbu padang, pegawai melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan mereka, sekali gus mencetuskan rempuhan dan kes sesak nafas.

Berikutan insiden rusuhan itu, Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) mengambil keputusan menggantung saingan Liga Indonesia selama seminggu, selain dilapor telah mengharamkan Arema daripada menganjurkan perlawanan di laman sendiri sehingga penghujung musim. – BERNAMA

- Advertisement -