Wujudkan garis panduan tangani isu kedaulatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menyediakan garis panduan dalam menangani isu sempadan demi kedaulatan negara, kata Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat).

Dalam kes tuntutan waris kesultanan Sulu, katanya kerajaan memanggil semua Ahli Parlimen untuk turut terlibat, selain maklum balas yang baik daripada menteri berkenaan berhubung cadangannya supaya isu-isu penting dirujuk kepada Parlimen.

- Advertisement -

“Apa yang saya inginkan ialah pengesahan kerajaan bahawa dalam kita menangani isu penting seperti sempadan negara, perlu ada garis panduan yang memberikan ruang kepada semua pihak untuk sama-sama menjaga kedaulatan negara.

“Kita tidak mahu berulang lagi kes seperti mantan AG (Peguam Negara) mengenai surat yang dihantarnya telah menyebabkan hampir kita ditimpa masalah yang sangat besar.

“Jadi kalau boleh itu ‘the first case and last case’ (kes pertama dan terakhir) yang berlaku. Ini memerlukan garis panduan tegas dari pihak kerajaan supaya kes begini tidak akan berlaku lagi, terutama membabitkan kedaulatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah penggulungan Belanjawan 2023 oleh Menteri Luar, Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab perkara ini, Zambry berkata, pendekatan melibatkan semua Ahli Parlimen menerusi sesi taklimat bermatlamat supaya mereka mengetahui perkembangan berkaitan hubungan negara dengan negara lain.

“Kita akan teruskan sesi-sesi seperti ini dan pada masa yang sama, kita mengambil maklum berhubung perkara yang lepas. Mungkin ada kekurangan yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa. – HARAKAHDAILY 9/3/2023

- Advertisement -