Hubungan politik dengan masjid

- Advertisement -

ALLAH SWT berfirman:

- Advertisement -

﴿ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ٤١﴾

“(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi  )berkuasa memerintah), nescaya mereka itu mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma‘ruf dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan (ingatlah) bagi Allah jua kesudahan segala urusan.” (Surah al-Hajj: 41)

Solat disenaraikan dalam salah satu ciri pemerintahan negara (khususnya berkait dengan peranan masjid), diikuti dengan zakat (dalam aspek ekonomi yang adil), perkara kebajikan (dengan makna yang umum) dan mencegah kemungkaran (sekuat-kuatnya ialah penguatkuasaan undang-undang). Semua perkara itu menjadi aspek agama Islam yang tidak terpisah antara satu sama lain.

Rasulullah SAW telah mentafsirkan ayat ini secara amali, dan ia wajib menjadi qudwah (ikutan) kepada seluruh penganut Islam sehingga Hari Kiamat. Ayat di atas menegaskan bahawa tiada pemisahan antara politik memerintah negara daripada ajaran Islam yang sempurna.

Ayat tersebut juga menegaskan hubungannya, laksana rantai yang tidak putus antara kuasa memerintah negara dengan solat, zakat, amar ma‘ruf dan nahi munkar dengan pihak politik (yang berkuasa mentadbir negara). Sehinggakan, semua akibatnya kelak akan dikembalikan kepada Allah untuk dihisab pada Hari Kiamat.

Masjid al-Nabawi menjadi pusat pemerintahan Rasulullah SAW, bukan sahaja dijadikan tempat untuk menunaikan solat secara berjemaah dan solat Jumaat, termasuklah untuk melaksanakan semua arahan negara dan urusan pelantikannya berlaku di masjid.  

Perkara ini dihuraikan lagi oleh firman Allah SWT:

﴿إِنَّمَا يَعۡمُرُ مَسَٰجِدَ ٱللَّهِ مَنۡ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَلَمۡ يَخۡشَ إِلَّا ٱللَّهَۖ فَعَسَىٰٓ أُوْلَٰٓئِكَ أَن يَكُونُواْ مِنَ ٱلۡمُهۡتَدِينَ١٨ ۞أَجَعَلۡتُمۡ سِقَايَةَ ٱلۡحَآجِّ وَعِمَارَةَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ كَمَنۡ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ وَجَٰهَدَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۚ لَا يَسۡتَوُۥنَ عِندَ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّٰلِمِينَ١٩﴾

“Hanya orang yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada sesiapa pun) melainkan kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk. (18) Adakah (orang-orang) yang memberi minuman orang-orang yang mengerjakan haji dan mengurus Masjid al-Haram kamu samakan dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian serta berjihad pada jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah; dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim. (19)” (Surah al-Tawbah: 19-19)

Ayat-ayat yang dinyatakan di atas menolak perkara yang menjadi kebanggaan para pemimpin Makkah, apabila mereka mendabik dada bermegah dengan amalan mereka pada zaman jahiliah yang memakmurkan Masjid al-Haram di Makkah. Walaupun perbuatan itu sekadar melayan jemaah haji yang diamalkan sejak zaman jahiliah lagi.

Hal itu berbeza dengan amalan yang disenaraikan oleh Allah SWT seperti ibadat solat, zakat, dan berjihad menegakkan agama-Nya sehingga Islam mempunyai kuasa politik bagi memerintah negara yang berdaulat termasuk dalam aspek memakmurkan masjid.

Allah SWT menegaskan bahawa sesungguhnya kalangan jahiliah itu tidak layak menguruskan masjid. Hal ini dihuraikan oleh firman-Nya:

﴿وَمَا لَهُمۡ أَلَّا يُعَذِّبَهُمُ ٱللَّهُ وَهُمۡ يَصُدُّونَ عَنِ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ وَمَا كَانُوٓاْ أَوۡلِيَآءَهُۥٓۚ إِنۡ أَوۡلِيَآؤُهُۥٓ إِلَّا ٱلۡمُتَّقُونَ وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ٣٤﴾

“Kenapa Allah tidak mengazab mereka, padahal mereka menghalangi orang untuk (mendatangi) Masjid al-Haram, dan mereka bukanlah orang-orang yang berhak menguasainya? Orang-orang yang berhak menguasainya hanyalah orang-orang yang bertaqwa. tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.” (Surah al-Anfal: 34)

Rasulullah SAW menjadikan masjid pertama yang dibangunkan di Madinah menjadi tempat solat, menyebarkan ilmu, serta melaksanakan tindakan politik dan memberikan arahan dalam mentadbir negara, melakukan pelantikan, menerima kunjungan rombongan dan pemimpin, memeteraikan perjanjian, melakukan baiah, menyampaikan khutbah dalam semua perkara, termasuklah dalam urusan politik.

Ketika berlakunya Fathu Makkah (pembebasan) daripada jahiliah, Rasulullah SAW berdiri di pintu Kaabah menyampaikan ucapan politik, antaranya perisytiharan dan arahan pengampunan secara beramai-ramai, serta pelantikan Wali Makkah.

Amalan tersebut dilakukan oleh para Khulafa’ al-Rasyidin RA, termasuk raja-raja Islam yang adil sepanjang zaman. Inilah petunjuk Allah SWT dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW yang wajib dijadikan ikutan.

Para ulama’ dalam semua mazhab yang bersatu dalam perkara dasar dan rukun Islam diberikan kebebasan untuk menyebarkan ilmu mengikut halaqat (kelompok masing-masing) walaupun mereka berkhilaf dalam masalah furu‘. Namun, mereka sentiasa mengadakan muzakarah dan menjadikan masjid sebagai medan ilmu Islam yang luas, sehingga melibatkan para khalifah dan raja-raja Islam yang adil.

Hanya sesiapa yang nyata membawa ajaran sesat sahaja akan dilarang dengan hujah dan diambil tindakan secara bijaksana. Maka, ilmu Islam dan dakwahnya terus tersebar dengan pesat dan meluas ke seluruh pelosok dunia.

Daripada mana datangnya larangan menyampaikan ajaran berpolitik di masjid?

Jawabnya daripada zaman penjajah bukan Islam yang berpandukan ajaran Injil yang sesat seperti berikut:

“Render unto Caesar the things which are Caesar’s, and unto God the things that are God’s.” (Matthew 22: 21)

Tujuannya bagi melumpuhkan dan mematikan semangat umat Islam dalam menentang penjajah, dan melemahkan kefahaman umat Islam terhadap ajaran Islam yang sempurna. Tindakan yang dilakukan oleh penjajah itu hakikatnya telah merampas kuasa raja-raja bagi melaksanakan Islam, melalui tindakan secara halus tanpa disedari oleh rakyat.

Seterusnya, menyerahkan kuasa dengan berpandukan kitab Injil yang telah sesat daripada agama Allah yang sebenar, berbeza daripada ajaran yang telah dibawa dan dianut oleh semua nabi dan rasul sebelumnya. Firman Allah SWT:

﴿أَفَغَيۡرَ دِينِ ٱللَّهِ يَبۡغُونَ وَلَهُۥٓ أَسۡلَمَ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعٗا وَكَرۡهٗا وَإِلَيۡهِ يُرۡجَعُونَ٨٣ قُلۡ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَمَآ أُنزِلَ عَلَيۡنَا وَمَآ أُنزِلَ عَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِيمَ وَإِسۡمَٰعِيلَ وَإِسۡحَٰقَ وَيَعۡقُوبَ وَٱلۡأَسۡبَاطِ وَمَآ أُوتِيَ مُوسَىٰ وَعِيسَىٰ وَٱلنَّبِيُّونَ مِن رَّبِّهِمۡ لَا نُفَرِّقُ بَيۡنَ أَحَدٖ مِّنۡهُمۡ وَنَحۡنُ لَهُۥ مُسۡلِمُونَ٨٤ وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَٰمِ دِينٗا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ٨٥ كَيۡفَ يَهۡدِي ٱللَّهُ قَوۡمٗا كَفَرُواْ بَعۡدَ إِيمَٰنِهِمۡ وَشَهِدُوٓاْ أَنَّ ٱلرَّسُولَ حَقّٞ وَجَآءَهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُۚ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّٰلِمِينَ٨٦ أُوْلَٰٓئِكَ جَزَآؤُهُمۡ أَنَّ عَلَيۡهِمۡ لَعۡنَةَ ٱللَّهِ وَٱلۡمَلَٰٓئِكَةِ وَٱلنَّاسِ أَجۡمَعِينَ٨٧﴾

“Maka, apakah mereka mencari agama selain daripada agama Allah (Islam), padahal segala makhluk yang berada di langit dan di bumi menyerahkan diri (Islam) kepada-Nya, sama ada secara sukarela mahupun terpaksa dan hanya kepada Allah seluruh makhluk akan dikembalikan. (83) Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kami, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada Ibrahim, Isma‘il, Ishaq, Ya‘qub, dan anak-anaknya, dan kepada apa yang telah diberikan kepada Musa, ‘Isa dan para nabi daripada Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun antara mereka dan hanya kepada-Nya kami menyerahkan diri (Islam)’. (84) Sesiapa yang mencari agama selain daripada agama Islam, maka Allah sekali-kali tidak akan menerima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat kelak termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi. (85) Bagaimana Allah akan memberi petunjuk kepada suatu kaum yang kafir sesudah mereka beriman, serta mereka telah mengakui bahawa Rasul itu (Muhammad SAW) benar-benar rasul, dan telah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas lagi nyata? Allah tidak memberikan petunjuk-Nya kepada orang-orang yang zalim. (86) Mereka itu, balasannya mereka akan ditimpakan balasan laknat Allah, (demikian pula) laknat para malaikat dan manusia seluruhnya. (87)” (Surah Ali ‘Imran: 83-87)

Pada zaman penjajah, undang-undang digubal bagi mengepung agama Islam yang sempurna, setelah dipotong dan dikerat ajarannya yang lengkap. Kemudiannya, diwujudkan pelbagai posisi seperi jabatan atau kementerian untuk mentadbir urusan agama Islam mengikut hawa nafsu oleh kalangan mereka yang jahil agama atau para ulama’ terompah kayu yang boleh digunakan untuk berwudu’ dan memasuki tandas.

Raja-raja dikepung oleh penasihat yang telah diberikan amaran oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:

‌إِذَا ‌أَرَادَ ‌اللَّهُ ‌بِالْأَمِيرِ ‌خَيْرًا، ‌جَعَلَ ‌لَهُ ‌وَزِيرَ ‌صِدْقٍ، إِنْ نَسِيَ ذَكَّرَهُ، وَإِنْ ذَكَرَ أَعَانَهُ، وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهِ غَيْرَ ذَلِكَ، جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ سُوءٍ، إِنْ نَسِيَ لَمْ يُذَكِّرْهُ، وَإِنْ ذَكَرَ لَمْ يُعِنْهُ.

“Apabila Allah menghendaki kebaikan kepada seseorang raja atau pemimpin itu, maka dijadikan bersamanya pembantu yang bercakap benar. Sekiranya raja atau pemimpin itu lupa, nescaya diperingatkan (diberikan nasihat yang baik); kalau dia sedar, nescaya akan ditolongnya. Sekiranya, Allah menghendaki yang lain daripada itu (dibiarkan), nescaya dijadikan bersamanya pembantu yang jahat. Kalau lupa, tidak diperingatkan; dan kalau peka, tidak ditolongnya. (Riwayat Abu Dawud, no. 2932)

Para orientalis yang ditugaskan mengkaji Islam, ada yang diberikan hidayah lalu memeluk Islam telah mendedahkan perancangan jahat terhadap Islam. Mereka mengatakan bahawa penganutnya yang setia tidak mungkin dapat dihapuskan, selagi ada tiga perkara iaitu al-Quran, solat Jumaat setiap minggu dengan mendengar khutbah dan himpunan ibadat haji pada setiap tahun di Makkah. Maka, ilmu al-Quran dijahilkan, khutbah Jumaat dikawal, kegiatan dalam masjid di Makkah dan Madinah dipantau bagi menyebarkan kejahilan agama dan penyakit buta al-Quran.

Walaupun pada zahirnya kita telah mencapai kemerdekaan, tetapi penjajahan pemikiran dan kefahaman masih bertapak melalui pengaruh pendidikan, pelajaran dan media. Golongan yang terkesan dengan penjajahan pemikiran dan kefahaman telah mengambil alih tugas para penjajah dahulu. Keadaan ini menunjukkan bahawa perjuangan kita belum selesai, tugas membebaskannya amat sukar dan ganjaran pahala bagi mereka yang memperjuangkannya sangat besar.

Rasulullah SAW menyebutkan firman Allah SWT:

﴿وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ١٥٣﴾

“Dan bahawa sesungguhnya (yang Kami perintahkan) inilah jalan-Ku yang lurus, maka hendaklah kamu mengikutinya; dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu akan mencerai-beraikan kamu daripada jalan-Nya (yang benar). Demikianlah apa yang diperintahkan Allah kepada kamu agar kamu bertaqwa.” (Surah al-An‘am: 153)

Rasulullah SAW melakarkan garisan yang betul di atas tanah dengan kayu yang berada di tangan dan digariskan pula di sebelahnya cabang-cabang yang banyak dan bersabda:

هَذَا سَبِيلُ اللهِ مُسْتَقِيمًا.

“Inilah jalan Allah (satu-satunya garisan) yang betul.”

Kemudian, Baginda SAW membuat garis di sebelah kirinya dan sebelah kanannya. Lalu bersabda:

‌هَذِهِ ‌السُّبُلُ ‌لَيْسَ ‌مِنْهَا ‌سَبِيلٌ ‌إِلَّا ‌عَلَيْهِ ‌شَيْطَانٌ ‌يَدْعُو ‌إِلَيْهِ.

“Inilah jalan-jalannya yang mempunyai banyak cabang, pada setiap cabangnya ada syaitan yang menggoda supaya terkeluar daripada jalan yang betul.” (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azhim, jilid 3, halaman 328)

Firman Allah SWT:

﴿وَدَّت طَّآئِفَةٞ مِّنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَٰبِ لَوۡ يُضِلُّونَكُمۡ وَمَا يُضِلُّونَ إِلَّآ أَنفُسَهُمۡ وَمَا يَشۡعُرُونَ٦٩﴾

“Segolongan daripada kalangan Ahli Kitab ingin menyesatkan kamu, padahal mereka (sebenarnya) tidak menyesatkan melainkan menyesatkan dirinya sendiri, dan mereka tidak menyedarinya.” (Surah Ali ‘Imran: 69)

Berpolitik adalah kewajipan yang ditetapkan oleh Allah SWT kepada makhluk manusia, sehinggakan ia dinyatakan di hadapan para malaikat yang mulia sewaktu Allah menciptakan Nabi Adam AS. Firman-Nya:

﴿وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ٣٠﴾

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: ‘Sesungguhnya, Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata, ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?’ Tuhan berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.’” (Surah al-Baqarah: 30)

Kewajipan khilafah itu ialah politik yang ditunaikan oleh para anbiya’ AS, perkara ini ditegaskan oleh sabda Rasulullah SAW:

‌كَانَتْ ‌بَنُو ‌إِسْرَائِيلَ تَسُوسُهُمُ الأَنْبِيَاءُ، كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ، وَإِنَّهُ لَا نَبِيَّ بَعْدِي، وَسَيَكُونُ خُلَفَاءُ فَيَكْثُرُونَ.

“Bani Isra’il itu dipimpin oleh para nabi. Setiap kali wafatnya seorang nabi, maka akan digantikan oleh nabi yang lain. Sesungguhnya, tiada lagi nabi sama sekali selepasku (kewafatanku). Dan kelak akan terdapat para khalifah, dan mereka itu ramai.” (Riwayat al-Bukhari, no. 3455 dan Muslim, no. 1842)

Para ulama’ ialah pewaris yang menerima pusaka ajaran para anbiya’ yang wajib disampaikan kepada  umat manusia. Hal ini pula telah dijelaskan oleh sabda Rasulullah SAW:

وَإِنَّ ‌العُلَمَاءَ ‌وَرَثَةُ ‌الأَنْبِيَاءِ، إِنَّ الأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا، إِنَّمَا وَرَّثُوا العِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ.

“Sesungguhnya, para ulama’ itu penerima pusaka para nabi. Sesungguhnya, para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham. Akan tetapi, mereka meninggalkan pusaka ilmu, maka sesiapa yang mengambil warisan tersebut, maka dia telah mendapat keuntungan yang besar.” (Riwayat Abu Daud, no. 3641, al-Tirmizi, no. 2682 dan lain-lain. Lafaz hadis bagi Abu Daud)

Para ulama’ telah menulis mengenai politik dalam kitab karangan mereka, bahkan ada sebahagiannya yang menulis secara khusus berkenaan politik.

Allah SWT melaknat sesiapa yang menyembunyikan ilmunya, sebagaimana firman-Nya:

﴿إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡتُمُونَ مَآ أَنزَلۡنَا مِنَ ٱلۡبَيِّنَٰتِ وَٱلۡهُدَىٰ مِنۢ بَعۡدِ مَا بَيَّنَّٰهُ لِلنَّاسِ فِي ٱلۡكِتَٰبِ أُوْلَٰٓئِكَ يَلۡعَنُهُمُ ٱللَّهُ وَيَلۡعَنُهُمُ ٱللَّٰعِنُونَ١٥٩ إِلَّا ٱلَّذِينَ تَابُواْ وَأَصۡلَحُواْ وَبَيَّنُواْ فَأُوْلَٰٓئِكَ أَتُوبُ عَلَيۡهِمۡ وَأَنَا ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ١٦٠﴾

“Sesungguhnya, orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah Kami menerangkannya kepada manusia dalam al-Kitab, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh semua (makhluk) yang dapat melaknati. (159) Kecuali mereka yang telah bertaubat dan mengadakan perbaikan (amal) dan menerangkan (kebenaran), maka terhadap mereka itulah Aku menerima taubatnya dan Aku Maha Penerima Taubat, lagi Maha Penyayang. (160)” (Surah al-Baqarah: 159-160)

Dan juga firman Allah SWT:

﴿إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡتُمُونَ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَيَشۡتَرُونَ بِهِۦ ثَمَنٗا قَلِيلًا أُوْلَٰٓئِكَ مَا يَأۡكُلُونَ فِي بُطُونِهِمۡ إِلَّا ٱلنَّارَ وَلَا يُكَلِّمُهُمُ ٱللَّهُ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ وَلَا يُزَكِّيهِمۡ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ١٧٤ أُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ ٱشۡتَرَوُاْ ٱلضَّلَٰلَةَ بِٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡعَذَابَ بِٱلۡمَغۡفِرَةِۚ فَمَآ أَصۡبَرَهُمۡ عَلَى ٱلنَّارِ١٧٥﴾

“Sesungguhnya, orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah diturunkan Allah, iaitu al-Kitab dan menjualnya dengan harga yang sedikit (murah), mereka itu sebenarnya tidak memakan (tidak menelan) ke dalam perutnya melainkan api neraka, dan Allah tidak akan berbicara kepada mereka pada Hari Kiamat dan tidak mensucikan mereka daripada dosa dan bagi mereka seksa yang amat pedih. (174) Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk dan menukar seksa dengan keampunan. Maka, alangkah beraninya mereka untuk menghadapi seksaan api neraka (175)” (Surah al-Baqarah: 174-175)

Allah SWT juga menegaskan bahawa petunjuk-Nya dan Rasul-Nya SAW menjadi rujukan tertinggi secara mutlak, yang tidak boleh diatasi oleh arahan manusia. Hal ini sebagaimana firman-Nya:

﴿وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٖ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَمۡرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَٰلٗا مُّبِينٗا٣٦﴾

“Dan tidaklah patut bagi mana-mana lelaki dan perempuan yang Mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, tidaklah harus bagi mereka membuat pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata.” (Surah al-Ahzab: 36)

Allah mewajibkan kepada golongan yang memiliki ilmu agama secara khusus memberikan peringatan kepada umat dalam perkara agama, maka haram tindakan yang menghalangnya. Hal ini berpandukan firman Allah SWT:

 ﴿وَمَا كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةٗۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةٖ مِّنۡهُمۡ طَآئِفَةٞ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡهِمۡ لَعَلَّهُمۡ يَحۡذَرُونَ١٢٢﴾

“Dan tidaklah seharusnya bagi orang yang beriman semuanya untuk keluar (berperang); oleh itu, hendaklah ada sebahagian daripada tiap-tiap puak dalam kalangan mereka  itu memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberikan peringatan kepada kaum mereka, apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu berwaspada (tidak salah dan sesat).” (Surah al-Tawbah: 122)

Malah, adalah dibimbangkan bahawa mereka yang melarang ceramah agama itu termasuk dalam amaran Allah SWT yang disebutkan oleh firman-Nya:

﴿وَنَادَىٰٓ أَصۡحَٰبُ ٱلۡجَنَّةِ أَصۡحَٰبَ ٱلنَّارِ أَن قَدۡ وَجَدۡنَا مَا وَعَدَنَا رَبُّنَا حَقّٗا فَهَلۡ وَجَدتُّم مَّا وَعَدَ رَبُّكُمۡ حَقّٗاۖ قَالُواْ نَعَمۡۚ فَأَذَّنَ مُؤَذِّنُۢ بَيۡنَهُمۡ أَن لَّعۡنَةُ ٱللَّهِ عَلَى ٱلظَّٰلِمِينَ٤٤ ٱلَّذِينَ يَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ وَيَبۡغُونَهَا عِوَجٗا وَهُم بِٱلۡأٓخِرَةِ كَٰفِرُونَ٤٥﴾

“Dan para penghuni syurga berseru kepada para penghuni neraka (dengan mengatakan), ‘Sesungguhnya, kami dengan sebenarnya telah memperoleh apa yang telah dijanjikan Tuhan kami kepada kami. Maka, apakah kamu telah memperoleh dengan sebenarnya apa (azab) yang telah dijanjikan oleh Tuhan kamu (kepadamu)?’ Mereka (penduduk neraka) menjawab, ‘Betul.’ Kemudian seorang penyeru (malaikat) mengumumkan antara kedua-dua golongan itu, ‘Bahawa kutukan Allah ditimpakan ke atas orang-orang yang zalim.’ (44) (Iaitu) orang-orang yang menghalang ( dirinya sendiri dan orang lain) daripada menuruti jalan Allah dan menginginkan agar jalan itu menjadi bengkok terpesong, dan mereka tidak percaya  kepada kehidupan akhirat.’ (45)” (Surah al-A’raf: 44-45)

Ajaran yang salah dan sesat boleh dicegah dengan alasan yang benar. Adapun ajaran yang terbukti benarnya daripada Allah SWT dan Rasulullah SAW, kalau ia dicegah juga buruk akibat dunia dan akhirat.

اللَّهُمَّ ‌إِنِّي ‌قَدْ ‌بَلَّغْتُ.

“Wahai Tuhanku! Sesungguhnya, aku telah menyampaikan perintah-Mu yang Maha Mulia.”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 16 Sya‘ban 1444 / 9 Mac 2023 – HARAKAHDAILY 9/3/2023

- Advertisement -