Isu gajah tarik perhatian Timbalan Yang di-Pertua

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu pencerobohan gajah liar menarik perhatian Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang turut mencelah penggulungan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Ketika sesi penggulungan Belanjawan 2023 peringkat kementerian, hari ini, Datuk Ramli Mohd Nor menyatakan kebimbangannya berhubung isu gajah liar.

- Advertisement -

Ramli bertanya sama ada kementerian dapat memberi pampasan ganti rugi kepada penduduk, terutama Orang Asli yang berdepan kerosakan harta benda dan tanaman akibat pencerobohan gajah liar.

Beliau yang juga Orang Asli pertama menjadi Ahli Parlimen (Cameron Highlands) prihatin dengan nasib Orang Asli yang terdedah dengan serangan gajah liar.

Celahan itu disusuli Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang memaklumkan pencerobohan gajah liar baru berlaku tiga hari lalu di kawasannya.

Sehubungan itu, beliau meminta peruntukan yang lebih baik diberikan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Nik Nazmi memberitahu Dewan Rakyat bahawa kementerian memang mempunyai tabung bantuan untuk mangsa yang mengalami kecederaan atau kematian akibat konflik antara manusia dan haiwan liar.

Namun bagi bayaran ganti rugi untuk kerosakan tanaman dan harta benda, katanya kementeriannya akan berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) untuk menyediakan peruntukan bagi pembayaran sagu hati kepada mangsa.

Sementara itu, Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang turut mencelah berkata, pencerobohan gajah liar bukan saja berlaku di kawasan kampung, malah di bandar, termasuk kawasannya.

“Amat dekat dengan rumah saya, 10 minit saja gajah itu boleh ceroboh masuk ke pusat bandar. Gajah liar juga sudah masuk ke rumah untuk cari makanan.

“Ini sudah jadi beberapa kali. Bukan kampung ya, taman perumahan… cari makanan di dapur,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/3/2023

- Advertisement -