Penghulu bersara terima ganjaran kerajaan negeri

- Advertisement -

KOTA BHARU: Dasar negeri berkebajikan tetap dipertahankan kerajaan Kelantan bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela.

- Advertisement -

Malah, bukan sekadar rakyat yang diberi perhatian, sebaliknya penghulu mukim dan tanpa mukim yang menamatkan perkhidmatan kerana faktur usia dan masalah kesihatan turut dihargai.

Hari ini seramai 31 penghulu yang menamatkan perkhidmatan akhir tahun lepas atas faktor usia, keuzuran dan kematian menerima ganjaran daripada kerajaan negeri.

Pengarah Urusetia Pembangunan Penghulu Kelantan Jamaluddin Ishak berkata, ganjaran diberi berdasar jumlah tahun perkhidmatan mereka.

“Manakala penghulu yang meninggal dunia dalam perkhidmatan akan mendapat sumbangan dari Tabung Tabbaru’ Koperasi Penghulu Negeri sebanyak RM10,000,” katanya pada Majlis Jasamu Dikenang di sebuah hotel di sini hari ini. (Foto atas)

Ganjaran tersebut disampaikan Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah. Pada majlis itu turut diadakan penyampaian sijil penghargaan dan saguhati sumbangan kerajaan negeri.

Jamaluddin juga berkata, bekas penghulu yang meninggal layak mendapat sumbangan tersebut dengan syarat mereka berkhidmat selama 10 tahun dan mempunyai saham dalam koperasi tidak kurang dari RM1,000 sebelum bersara. – HARAKAHDAILY 9/3/2023

- Advertisement -