Literasi, numerasi diberi keutamaan kepada semua murid

Ustaz Hassan Saad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa berusaha untuk memastikan murid mendapat pendidikan berkualiti.

- Advertisement -

“Justeru, aspek literasi dan numerasi diberi keutamaan kepada semua murid,” ujar KPM dalam jawapan bertulis kepada soalan Ustaz Hassan Saad [PN-Baling] di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau dalam soalannya meminta Menteri Pendidikan menyatakan usaha Kementerian meningkatkan literasi pendidikan dalam konteks 3M (membaca, menulis dan mengira) khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Menurut kementerian, bagi memastikan murid sekolah rendah menguasai literasi dan numerasi, KPM telah melaksanakan pelbagai inisiatif antaranya ialah Program Pemulihan Khas.

“Murid yang telah dikenal pasti belum menguasai kemahiran asas 3M ditempatkan di kelas pemulihan khas semasa mata pelajaran Bahasa Melayu atau Matematik diajar di kelas aliran perdana,” katanya.

“Guru pemulihan dengan kerjasama guru mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik memberi bimbingan yang bersesuaian kepada murid sehingga mereka dapat menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi,” katanya.

Pada peringkat sekolah rendah, KPM memperkenalkan Program Literasi dan Numerasi atau Primary Literacy and Numeracy (PLaN) sejak 2020 untuk memastikan murid menguasai sekurang-kurangnya tahap minimum (Tahap Penguasaan 3) dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik.

“Pelaksanaan program ini adalah sebagai sokongan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang menyeluruh untuk membantu memantapkan tahap penguasaan 3M,” ujarnya.

Menurutnya, modul latihan intervensi berfokus dan terbeza (MoLIB) dan Schemes of Work (SOW) juga disediakan untuk kegunaan guru bagi menangani isu penguasaan 3M dalam kalangan murid.

Selain itu, kata KPM PLaN juga menyediakan bahan bantu belajar murid serta item pentaksiran untuk menyokong pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD). – HARAKAHDAILY 9/3/2023