KUALA LUMPUR: Lebih 100 orang telah menghadirkan diri pada malam ini untuk sama-sama menunaikan solat hajat perdana yang diadakan oleh Perikatan Nasional (PN) di Pusat Tarbiah PAS Pusat Taman Melewar, di sini, selepas solat fardu Isyak.
Solat hajat yang diadakan secara berjemaah selepas solat fardu Isyak pada malam ini adalah bertujuan memohon kepada Allah SWT bagi mempertahankan keselamatan negara dan bersama-sama solidariti menentang dan melawan kezaliman.
Ini berikutan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari ini telah dipanggil menghadirkan diri ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, dikatakan berhubung kes salah guna dana kerajaan iaitu di bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Sementara menunggu masuknya solat fardhu Isyak, terlebih dahulu para jemaah yang hadir pada malam ini telah bersama-sama membaca surah Yasiin.
Setelah menunaikan solat fardhu Isyak, para jemaah pula bersama-sama menunaikan solat sunat hajat yang telah diimamkan oleh Ahli Parlimen Jasin, Ketua Dewan Ulama PAS Melaka, Tuan Guru Haji Zulkifli Ismail.
Sehubungan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia ke- lapan telah ditahan pada pada jam 1 tengah hari ini selepas hadir di ibu pejabat SPRM, Putrajaya pada jam 11 pagi; sebelum beliau dibebaskan pada jam 8.20 malam tadi dengan ikat jamin SPRM, tetapi beliau akan menghadirkan diri ke Mahkamah Kuala Lumpur esok untuk pendakwaan.
Antara pemimpin yang kelihatan turut hadir menunaikan solat hajat pada malam ini terdiri daripada Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Turut serta ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ahmad Yahya; Ketua Penerangan Perikatan Nasional, Datuk Azmin Ali; Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Ahmad Yunus Hairi serta ramai lagi. – HARAKAHDAILY 9/03/2023