Tuan Ibrahim beri petua reda kekecohan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat, petang ini menjadi gamat apabila Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, dilihat cuba memprovokasi pembangkang dengan memberi gambaran mereka tidak arif mengenai ekonomi.

Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) ketika bangkit memberi petua bagi meredakan suasana berkata, menteri ketika menggulung perbahasan tidak sepatutnya memprovokasi pembangkang.

- Advertisement -

Namun, katanya apa yang berlaku menteri menyebut beberapa kali nama Ahli Parlimen tertentu sehingga menyebabkan Ahli Parlimen berkenaan bangkit bagi mempertahankan hujah.

“Sepatutnya menteri mengelakkan menyebut nama Ahli Parlimen secara direct (langsung) bagi mengelakkan Ahli Parlimen terbabit bangun bagi meminta penjelasan,” katanya ketika mencelah.

Sebelum itu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, mengarahkan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) direhatkan selama dua hari selepas cuba beberapa kali bangkit bagi mencelah ucapan menteri, namun tidak dibenarkan.

“Pendang direhatkan selama 2 hari, ‘out now’,” katanya. Ini disusuli petugas Dewan Rakyat mengiringi Awang supaya keluar. – HARAKAHDAILY 8/3/2023

- Advertisement -