Tiada halangan bawa ahli scammer ke mahkamah

Dr Abd Ghani Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sekiranya rakyat mempunyai keterangan dan bukti yang mencukupi untuk membawa mana-mana ahli scammer yang boleh dikenal pasti identitinya ke mahkamah dengan kausa tindakan (cause of action) yang kukuh, tiada halangan untuk mereka berbuat sedemikian.

- Advertisement -

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said berkata, kausa tindakan yang mungkin boleh dijadikan sandaran ialah pecah janji (breach of promise atau breach of undertaking) dan lain-lain lagi yang perlu dibuktikan oleh rakyat.

“Khidmat guaman juga wajar diperolehi bagi memastikan proses pembuktian berjalan lancer,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Dr Abd Ghani Ahmad [PN-Jerlun] di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam soalannya, Dr Abd Ghani minta Perdana Menteri menyatakan apakah rakyat mempunyai sebarang ruang untuk melakukan saman sivil kepada sindiket scammer.

Menurut Azalina, hak rakyat untuk mendapatkan akses kepada keadilan (access to justice) dan mengemukakan saman sivil terhadap mana-mana individu masing-masing merupakan hak yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang bertulis lain yang berkaitan.

Katanya, proses dan prosedur untuk mengemukakan saman sivil termaktub dalam Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 manakala beban pembuktian dari sudut keterangan dokumentari dan lisan di mahkamah diperuntukkan dalam Akta Keterangan 1950 dan perlu dibuktikan dengan jelas.

Tambahnya, sebarang bentuk penipuan oleh sindiket scammer merupakan kesalahan menipu yang diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan.

“Kes sebegini lazimnya disiasat oleh pihak Polis Diraja Malaysia dan sekiranya elemen jenayah boleh dibuktikan terhadap mana-mana suspek, pertuduhan yang sesuai akan dipertimbangkan oleh pendakwa raya dan ahli sindiket scammer berkenaan boleh dibawa ke mahkamah untuk diadili dan dihukum dengan sewajarnya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/3/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -