Dr Zakir Naik permata Dunia Islam

- Advertisement -

Sunnah Al-Tajdid Dalam Islam

- Advertisement -

SUDAH menjadi sunnatullah sejak azali lagi bahawa Allah SWT akan memelihara agama Islam walau dibenci oleh musuh-musuhnya. Allah SWT berkuasa menjaga agama-Nya sebagaimana penjagaan-Nya terhadap Nabi Ibrahim a.s yang diselamatkan dari api yang besar menjulang lalu tidak membakar tubuh baginda. Allah juga berkuasa menjaga agama-Nya sebagaimana penjagaan-Nya terhadap Nabi Musa a.s dengan terbelahnya laut lalu ditenggelamkan Firaun dan bala tenteranya dan kesemuanya dengan petunjuk firmanNya “Kun fa yakuun“.

Di antara kaedah Allah SWT menjaga agamanya ialah dengan melahirkan manusia-manusia yang sanggup berkorban apa sahaja demi memastikan agama-Nya terpelihara dan tertegak di atas muka bumi ini. Maka lahirlah anbiya silih berganti dan diteruskan kesinambungannya oleh para ulama dan du’at yang wujud di sepanjang zaman untuk memelihara agama Allah SWT dan menyebarkan cahaya-Nya kepada manusia.

Di abad zaman kelemahan umat Islam ini, lahir nama-nama hebat yang amat berjasa dan memberi impak yang sangat besar kepada Dunia Islam. Mereka menjadi benteng penyelamat kepada umat Islam dari ancaman serangan at-Taghriib (Pembaratan) dan Kristianisasi yang menggunakan pelbagai medium untuk menjawab syubhah dan keraguan yang ditimbulkan.

Di antara nama – nama besar yang banyak berjasa kepada Dunia Islam ialah Hassan Al-Banna, Syed Qutb, Al-Maududi, Abu Al-Hasan Ali An-Nadawi, Ahmad Deedat, Zulkefli Muhammad, Borhanuddin al-Helmi, Pak Natsir, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Ustaz Fadzil Noor, Tuan Guru Yusof Rawa dan lain-lain lagi. Walaupun mereka telah meninggalkan kita semua namun perjuangan mereka tetap di teruskan oleh generasi mendatang walau berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan.

Dakwah amalan yang paling mulia

Islam mendahulukan dakwah bagi menyelamatkan umat manusia dari kegelapan dan kekufuran yang akan membawa ke neraka selain daripada peperangan yang merupakan jalan terakhir. Firman Allah SWT di dalam Al-Quran menegaskan keutamaan dan kelebihan dakwah yang bermaksud:
“Dan siapakah yang lebih baik amalannya dari orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan amalan soleh dan menyatakan aku adalah dari kalangan orang-orang Islam”.

Justeru itu kita melihat manhaj Al-Quran menceritakan dakwah anbiya kepada kaum masing-masing walaupun terpaksa menempuh pelbagai rintangan dan halangan sehinggakan ada yang dibunuh, dipenjara dan dihalau keluar dari kampung halaman mahupun tanah air.

Bahkan kepada manusia yang paling zalim di atas muka bumi ini, diperintahkan oleh Allah SWT kepada Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. agar menemui dan menyerunya untuk mentauhidkan Allah SWT dan tidak berlaku zalim. Firman Allah Taala yang bermaksud: “Maka pergilah kamu berdua kepada ( Firaun ) dan katakan kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut ( hujah dan bukti ), mudah-mudahan dia ingat dan takut ( kepada Allah )”.

Islam mendahulukan dakwah dari peperangan kerana menyelamatkan manusia dengan Islam lebih mulia daripada mengorbankan nyawa musuh di medan perang. Justeru itu terbukti dalam sejarah Islam, dua pertiga Dunia Islam yang luas ini dibuka dengan jalan dakwah dan bukannya peperangan. Dunia Islam di nusantara hari ini mempunyai jumlah umat Islam paling ramai di dunia, dibuka dengan jalan dakwah oleh pendakwah-pendakwah yang telah berjaya mengislamkan pemerintah dan rakyatnya dengan akhlak Islam yang dibawa oleh mereka.
 
Jawab hujah dengan hujah

Islam adalah ugama yang tertegak dengan hujah. Ayat-ayat Al-Quran penuh dengan pembuktian akan keesaan Allah SWT samada dengan hujah naqliyyah atau aqliyyah.

Al-Quran memberikan panduan manhaj dakwah anbiya iaitu dengan menyatakan pembuktian bagi kebenaran risalah tauhid yang dibawa oleh mereka. Semua anbiya diperintahkan oleh Allah SWT untuk berhujah dengan kaum masing-masing bermula dari Nabi Nuh a.s sehinggalah Nabi Muhammad S.A.W.

Kisah Nabi Ibrahim: Sejarah yang berulang

Nabi Ibrahim a.s. adalah salah seorang anbiya dari kalangan Ulul Azmi yang mempunyai maqam yang paling tinggi di sisi Allah. Ini terbukti apabila Nabi Muhammad S.A.W melihat baginda pada malam Isra dan Mi’raj duduk di atas kerusi sambil menyandarkan belakangnya kepada Baitulma’mur iaitu tempat yang dimasuki oleh Malaikat seramai 70,000 setiap hari untuk beribadat kepada Allah dan mereka tidak akan keluar darinya selama-lamanya.

Nabi Ibrahim a.s. diceritakan oleh Allah SWT di dalam Al Quran berhujah dengan kaumnya dengan pelbagai hujah untuk membuktikan keesaan Allah SWT dan kesesatan syirik yang dilakukan oleh mereka. Baginda berhujjah dengan ayahnya, kaumnya dan raja yang memerintah pada ketika itu iaitu Namrud dengan mengemukakan hujah-hujah aqliyyah yang tidak dapat dijawab oleh mereka. Lalu akhirnya Nabi Ibrahim a.s. dicampak ke dalam api dan setelah selamat daripadanya, baginda dihalau keluar dari bumi Iraq dan berhijrah ke Palestin.

Kisah ini bukan semata-mata cerita yang enak didengar akan tetapi sebagai petunjuk tribulasi jalan dakwah yang akan berulang di sepanjang zaman. Maka tidak pelik apabila kita mendengar suara-suara yang mahu menghalau keluar Dr Zakir Naik, seorang pendakwah terkenal yang mendapat perlindungan di Malaysia. Inilah sejarah yang berulang, apabila hujah tidak dapat dijawab dengan hujah maka jalan kekasaran akan digunakan untuk menghalang kebenaran.

Dr. Zakir Naik Permata Dunia Islam

Nama Dr. Zakir Naik bukan asing kepada umat Islam yang cintakan agamanya. Hanya mereka yang menjadi alat kepada musuh Islam dan mempunyai penyakit dalam hati yang benci terhadap insan yang banyak berbakti kepada dakwah Islam ini. Jasa beliau sangat besar kepada dunia dakwah, dengan menggunakan kemahiran ilmu perbandingan agama yang ada pada dirinya melalui pendekatan dakwah di atas pentas dialog antara agama.

Beliau telah berjaya membuktikan kebenaran Islam melalui hujah-hujah yang bernas, nyata dan jelas. Lalu jika sekiranya mempunyai hujah, maka berhujahlah untuk membuktikan kebenaran. Sesiapapun boleh menuduh dan melemparkan segala macam kekotoran pada beliau, namun dengan bukti dan ketokohan sepanjang beliau berdakwah, itu sudah cukup menunjukkan kredibilti beliau sebagai seorang yang cukup berwibawa dan jujur dalam dakwahnya.

Jika kita tonton dan amati setiap pentas yang beliau jejaki di program-program yang beliau hadiri di seluruh dunia, kita akan dapat lihat dengan jelas ketokohan beliau sebagai pendakwah. Beliau bukan sahaja menjelaskan kepada umum bagaimana berlakunya salah faham terhadap Islam malah memperbetulkan kembali tanggapan salah non-Muslim terhadap Islam. Malah disebabkan penjelasan dan dakwah beliau, akan ada penonton yang melafazkan syahadah disebabkan dakwah beliau.

Beliau bukan sahaja memperbetulkan tanggapan terhadap Islam, malah beliau juga turut memperbetulkan akidah umat Islam yang hanyut akibat cengakaman Pembaratan dan Kristianisasi yang berleluasa di dunia sekarang. Itulah sifat pendakwah yang jujur dan hakiki, bukannya turut sama membantu menyesatkan umat Islam dan menghancurkan akidah seperti yang di lakukan terang -terangan sekarang.

Namun saya cukup hairan bagaimana seorang pendakwah yang cukup hebat di cadangkan untuk dihalau keluar dari Malaysia oleh seorang ahli politik kanan DAP. Apa yang menyebabkan beliau mencadangkan sedemikian, tiada asas kukuh dan kepastian. Segala tuduhan dilemparkan terhadap Dr. Zakir Naik namun tiada seorang pun mahu bersemuka dengan beliau untuk mendapat kepastian. Dahulu ada di kalangan kita penyokong tegar Dr. Zakir Naik namun di sebabkan perubahan politik negara, sokongan tersebut bertukar menjadi kecaman dan tuduhan. Malah ada yang berdiam diri dengan tidak berkata apa-apa.

Usah sampai satu tahap kita termasuk dalam golongan yang dimurkai Allah SWT kerana mengotorkan tangan kita kerana dengan kuasa, pangkat dan wang ringgit. Kerana itu semua kita sanggup bersekongkol dengan musuh Islam dan menjahanamkan kerja dakwah. Rahmat Allah SWT itu luas terutamanya kepada pendakwah, rahmat bukan sekadar tulisan dan slogan serta di laung -laungkan. Kerana apabila Islam kita hanya anggap sebagai nama atau slogan, kita akan kekal sesat selamanya.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat – HARAKAHDAILY 10/8/2019

- Advertisement -