Penganjur, peserta himpunan ‘#kerajaan gagal’ akan dikompaun

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil tiga individu disyaki penganjur dan peserta perhimpunan ‘kerajaan gagal’, yang diadakan di padang Dataran Merdeka di sini, hari ini bagi dikenakan tindakan kompaun dalam masa terdekat.

- Advertisement -

Ketua Polis Daerah Dang Wang ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata, tindakan kompaun tersebut akan dikenakan kerana kesalahan pelanggaran Perkara 10 Peraturan-Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021, iaitu larangan berhimpun.

Menurutnya, seramai 20 individu dikesan berkumpul di padang Dataran Merdeka dengan membawa bendera hitam dan sepanduk, kira-kira 2.55 petang.

“Kumpulan ini diketuai oleh Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR), yang merupakan gabungan parti politik iaitu Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Amanah Negara dan Parti Keadilan Rakyat.

“Mereka telah bersurai dan beredar sepenuhnya pada 3.10 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana berhimpun tanpa notis. – BERNAMA

- Advertisement -