PAS tetap bersama PN, MN hadapi PRU15

- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS tetap akan bersama Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) gandingan Umno terutama untuk berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata pada masa yang sama parti itu tidak berprasangka dengan sekutu-sekutunya terhadap kedua-dua gabungan kerjasama politik itu.

Menjawab soalan beliau bagaimanapun berkata, parti itu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang tidak diduga termasuk bergerak sendiri sekiranya Umno dan Bersatu enggan mengukuhkan kerjasama tersebut lagi.

- Advertisement -

Namun beliau berharap, tindakan sedemikian tidak berlaku memandangkan ketiga-tiga parti berkenaan masih lagi mendukung kerjasama dalam PN (Umno dan Bersatu) dan MN bersama Umno.

“Setakat ini kita masih kekal dengan MN dan PN… itu pendirian kita, kecuali Umno dan Bersatu buat keputusan berbeza. Pendirian kita (PAS) jelas mahu ketiga-tiga parti teras Melayu di negara ini bersama pada PRU akan datang sebagai satu pasukan.

“Kita juga sentiasa terbuka dan husnuzon dengan rakan-rakan, tapi kalau berlaku (sebaliknya), nak buat macam mana,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan kepada golongan armalah di Pusat Khidmat Dun Panchor Pengkalan Chepa dekat sini hari ini.

Tambahnya, semua faktor perlu diambil kira sekiranya ketiga-tiga parti itu bersendirian untuk menghadapi PRU-15.

“Dalam politik juga kena ada banyak pilihan, kena banyak berfikir. Namun, kita harap senario itu (bersendirian dalam PRU15) tidak berlaku kerana (dalam) teori politik kita (Malaysia) tiada parti yang boleh menang bersendirian.

“Umno sendiri kalau bertanding sendirian, akan banyak hilang kerusi,” kata beliau.

Katanya, begitu juga dengan PAS atau Bersatu kedua-duanya menghadapi situasi serupa.

Sehubungan itu beliau secara peribadi menasihati Umno supaya tidak bersendirian dan berfikir lebih jauh mengenai kerjasama politik khususnya dalam menghadapi PRU15.

Mengulas tempoh sesuai PRU-15 diadakan, Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berpendapat ia mungkin diadakan selepas pembentangan Belanjawan 2022.

Menurutnya, perkembangan itu diambil kira berdasarkan proses vaksinasi Covid-19.

Katanya, usaha yang dilakukan oleh kerajaan ketika ini dijangka mencapai 80 peratus imuniti berkelompok sekitar bulan Oktober.

Menurutnya juga selepas proses vaksinasi mencapai sasaran, ia mungkin membolehkan kerajaan mempertimbangkan untuk menyerahkan kembali mandat kepada rakyat. – HARAKAHDAILY 25/7/2021

- Advertisement -