Ketinggian darjat ilmu wahyu dan manfaatnya

- Advertisement -

FAHAMI bahawa ilmu wahyu yang menunjuki manusia kepada Allah. Adapun ilmu dunia, ia menutupi manusia daripada melihat Allah.

Ilmu wahyu menjadikan manusia mengenal Allah dan keagungan-Nya. Ilmu dunia pula menjadikan manusia kagum dengan dunia dan diri sendiri.

Ilmu dunia hanya berguna apabila Allah, dengan kehendak-Nya, menukarkannya menjadi ayat-ayat (tanda-tanda) kebesaran-Nya di mata manusia yang dipilih-Nya. Pada saat itu, barulah manusia mula melihat Allah dengan ilmu dunia mereka.

Berbeza dengan ilmu wahyu (al-Quran dan al-Hadis), ia seawalnya lagi telah dijadikan oleh Allah sebagai ayat-ayat-Nya di mata semua manusia. Bukankah setiap kalimah al-Quran itu dipanggil ayat-ayat al-Quran? Ya, ia hidayat sepenuhnya.

Apabila manusia mahukan petunjuk secara langsung, mereka mestilah membaca dan mempelajari al-Quran, bukan dengan membaca buku-buku ilmu duniawi. 

Apabila mereka membaca al-Quran dengan keinsafan, Allah akan tunjukkan kepada mereka tanda-tanda kebesaran-Nya melalui ilmu-ilmu dunia yang mereka miliki itu satu persatu.

Masa itu, barulah manusia tersentak menyaksikan Allah di depan mata mereka. Saat itu juga, terserahlah kepada mereka sama ada mahu beriman atau kekal kufur. Begitulah hidayat Allah kepada orang-orang kafir yang berilmu duniawi.

Justeru tidak sama darjatnya antara ilmu wahyu dan ilmu dunia. Ilmu al-Quran jauh meninggalkan ilmu-ilmu dunia.

Jika kita mahu memanfaatkan segala ilmu-ilmu dunia yang kita pelajari, bacalah dan fahamilah al-Quran dengan penuh iman dan ikhlas. Saat itu, Allah akan bukakan hijab di hati anda untuk melihat ayat-ayat keagungan-Nya di seluruh ufuk ilmu dunia.

USTAZ NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 6/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -