Talian aduan merokok perlu diperkasakan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Talian aduan merokok tidak mendapat tindakan susulan sewajarnya meskipun aduan telah dibuat oleh orang ramai untuk diambil tindakan terhadap mereka terlibat.

Keadaan ini menyebabkan Dato’ Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) meminta Menteri Kesihatan menyatakan perancangan untuk memperkasakan talian tersebut ekoran rungutan rakyat bahawa aduan melalui talian itu tidak mendapat tindakan susulan sewajarnya.

- Advertisement -

Beliau berkata, menghisap rokok bukan sahaja membahayakan perokok, tetapi memberi kesan membimbangkan terhadap mereka yang berada di sekeliling perokok.

Katanya, merokok juga bukan hanya memberi kesan buruk terhadap kesihatan, malah memberi kesan terhadap ekonomi negara.

“Mengikut laporan tahun 2020, kerajaan membelanjakan sebanyak RM6.2 bilion untuk merawat pesakit yang berkaitan dengan perokok.

“Keadaan ini memberi kesan kepada kesihatan dan ekonomi, bahkan membebankan Kementerian Kesihatan,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab isu yang dibangkitkan Kuala Nerus, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, berkata setiap aduan yang diterima itu akan disahkan oleh Bahagian Kawalan Penyakit dan disalurkan kepada pihak terlibat untuk tindakan penguatkuasaan.

Bagi aduan berulang membabitkan premis yang sama melebihi sebanyak dua kali, katanya tindakan serta merta akan diambil dengan memaklumkan kepada penguatkuasa di lapangan untuk tindakan.

Namun, katanya kementerian menghadapi kekurangan kakitangan penguatkuasaan dan menggunakan data dan aduan sebanyak 48,000 sepanjang tahun lalu untuk dianalisis dan dikenal pasti bagi tindakan penguatkuasaan. – HARAKAHDAILY 2/3/23

- Advertisement -