Subsidi gaji: Cadangan MP Pasir Puteh disambut baik

Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemberian subsidi gaji kepada majikan merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan semasa negara dilanda pandemik Covid-19 yang bertujuan untuk membantu majikan mengekalkan operasi dan mengelakkan pemberhentian pekerja secara besar-besaran.

- Advertisement -

Menurut Kementerian Sumber Manusia (KSM), langkah tersebut juga merupakan salah satu inisiatif Dasar Pasaran Buruh Aktif yang perlu diambil oleh kerajaan apabila berlaku kejadian luar jangka seperti berlakunya pandemik Covid-19 bagi mengelakkan berlakunya renjatan ekonomi yang lebih buruk dan boleh melumpuhkan pasaran buruh.

Kini, katanya negara berada dalam pasca pemulihan dan ekonomi telah kembali aktif. Secara langsung, ia telah merancakkan kembali pasaran buruh dan boleh meningkatkan trend graduan baharu memasuki alam pekerjaan serta keupayaan majikan yang dapat menawarkan gaji yang berpatutan.

KSM menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh [PN-Pasir Puteh] di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr. Nik Muhammad Zawawi minta Menteri Sumber Manusia menyatakan adakah pihak kerajaan akan memperkenalkan semula pemberian subsidi gaji kepada majikan yang mengambil graduan baharu sebagai instrumen meningkatkan trend graduan baharu menerima gaji lebih daripada RM 2,000 sebulan (PERKESO).

Beliau juga bertanya apakah pendirian pihak kerajaan dalam memastikan keseimbangan gaji yang diterima graduan baharu dengan pelaksanaan gaji minimum RM 1,500 sebulan (MPGN).

Oleh itu, ujar kementerian menyambut baik cadangan daripada Ahli Parlimen Pasir Puteh itu agar kerajaan memperkenalkan semula pemberian subsidi gaji kepada majikan yang mengambil graduan baharu sebagai instrumen meningkatkan trend graduan baharu menerima gaji lebih daripada RM2,000 sebulan.

“Walau bagaimanapun, cadangan ini perlu diperhalusi oleh kerajaan dan Kementerian Kewangan khasnya kerana akan melibatkan implikasi kewangan kerajaan yang besar,” jelasnya.

Tambahnya, KSM melalui Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) komited melaksanakan kajian semula perintah gaji minimum secara konsisten iaitu sekurang-kurangnya sekali dalam tiap- tiap dua tahun selaras dengan peruntukan seksyen 25, Akta MPGN 2011 (Akta 732).

Katanya, penetapan gaji bagi pekerjaan yang memerlukan kelayakan pendidikan tertiari pula tertakluk kepada kuasa penawaran dan permintaan dalam pasaran buruh.

“Kadar gaji yang setimpal dengan tahap pendidikan, kemahiran dan pengalaman boleh dirundingkan dengan pihak majikan melalui kontrak perkhidmatan atau perundingan Perjanjian Kolektif bagi pekerja yang mempunyai Kesatuan Sekerja.

“Kadar gaji perlulah selaras dengan jenis pekerjaan dan bukan semata-mata taraf kelayakan pekerja tersebut supaya kadar gaji setimpal dengan kemahiran dan produktiviti pekerja,” ujarnya.

Tambahnya, dasar gaji minimum merupakan salah satu daripada instrumen yang membantu meningkatkan jaminan pendapatan pekerja bagi menangani kos sara hidup.

“Dasar ini perlu disokong oleh dasar-dasar lain merentasi sektor awam dan swasta agar strategi dan pelan tindakan kerajaan berkaitan isu kos sara hidup dapat dilaksanakan secara holistik dan bersepadu,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 2/3/2023

- Advertisement -