Perbahasan Bajet 2023

- Advertisement -

PERBAHASAN bajet bukanlah sekadar menyebut tentang peruntukan jumlah kewangan dengan angka besar sebagaimana yang dibentangkan sahaja. Walaupun tidak dinafikan besarnya jumlah peruntukan kewangan yang mencukupi adalah penting, dengan syarat tidak berlaku keborosan dan kebocoran. Perkara yang terpenting selepas itu ialah pengurusan yang baik, efisien, adil dan saksama.

- Advertisement -

Mereka yang mentadbir dengan kuasa politik (legislatif) yang kuat dan beramanah, wajib menjaga perhubungan baik dengan pentadbiran (eksekutif). Jangan sekali-kali mengacau pegawai yang berwibawa dengan alasan politik. Firman Allah SWT:

﴿إِنَّ خَيْرَ مَنِ ٱسْتَـْٔجَرْتَ ٱلْقَوِىُّ ٱلْأَمِينُ٢٦﴾

“Sesungguhnya, sebaik-baik orang yang kamu ambil untuk bekerja (dengan kita) ialah orang yang kuat, lagi dapat dipercayai.” (Surah al-Qasas: 26)

Perlu ada pemisahan kuasa yang tidak diganggu oleh sebarang campur tangan politik yang salah. Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam undi penjawat awam, jangan jadikan dendam yang salah dan merosakkan.

Kalangan ahli politik yang berwibawa pemikirannya dan berintegriti, diwajibkan agar melaksanakan keadilan kepada semua pihak daripada kalangan rakyat, tanpa mengira agama, bangsa dan penyokong atau pembangkang mahupun kalangan atas pagar yang tidak berpendirian, bahkan juga terhadap musuh.

Firman Allah SWT:

﴿وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ٨﴾

“Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Hendaklah kamu berlaku adil, kerana sikap adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ma’idah: 8)

Menubuhkan kerajaan bukan sekadar meletakkan jenama (Kerajaan Perpaduan), sepatutnya mengikut apa yang ditakrifkan oleh semua kamus politik dalam segala bahasa. Hakikatnya, Kerajaan Perpaduan ialah kerajaan tanpa pembangkang atau pembangkangnya terlalu kecil.

Kalau partinya yang kecil bergabung dalam keadaan yang rapuh, laksana rumah berdinding kaca jangan mudah-mudah melontar batu terhadap pihak lain bagi menutup kelemahannya yang ketara. Ini kerana dindingnya menampakkan segala yang berlaku di dalamnya dan mudah pecah berkecai.

Kalau tanya kaji cuaca,
Kilat petir datang membelah,
Kalau rumah berdinding kaca,
Jangan kacau orang sebelah.

Kayu tengkawang dibuat rumah,
Rumah dipasang pagar berduri,
Kalau lawan dibawa ke mahkamah,
Kalau mengampu jadi menteri.

Berlaku adil terhadap semua tanpa mengira siapa, adalah asas perpaduan. Allah SWT menegaskan dalam ayat yang disebutkan di atas supaya berlaku adil juga terhadap musuh.

Pembangkang dalam sebuah negara demokrasi selepas pilihan raya dianggap sebagai penasihat bagi melakukan muhasabah terhadap kerajaan supaya jangan syok sendiri dengan tidak menyedari kelemahan-kelemahan yang berlaku dan mestilah bertindak membetulkannya. Khalifah Abu Bakar RA menegaskan dalam satu ucapannya:

أَيُّهَا النَّاسُ، فَإِنِّي قَدْ وُلِّيتُ عَلَيْكُمْ وَلَسْتُ بِخَيْرِكُمْ، ‌فَإِنْ ‌أَحْسَنْتُ ‌فَأَعِينُونِي، وَإِنْ أَسَأْتُ فَقَوِّمُونِي، الصَّدْقُ أَمَانَةٌ، وَالْكَذِبُ خِيَانَةٌ، وَالضَّعِيفُ فِيكُمْ قَوِيٌّ عِنْدِي حَتَّى أُرِيحَ عَلَيْهِ حَقَّهُ إنْ شَاءَ اللَّهُ، وَالْقَوِيُّ فِيكُمْ ضَعِيفٌ عِنْدِي حَتَّى آخُذَ الْحَقَّ مِنْهُ.

“Wahai tuan-tuan semua! Aku telah dipilih menjadi pemimpin kamu, padahal aku bukanlah orang yang terbaik dalam kalangan kamu. Oleh itu, sekiranya aku berlaku baik, maka tolonglah aku. Dan sekiranya aku ada melakukan salah silap, sila perbetulkan aku. Benar itu amanah dan bohong itu khianat. Orang yang lemah daripada kalangan kamu adalah kuat di sisiku, lalu aku kembalikan kepadanya apa yang menjadi haknya. Dan orang yang kuat daripada kalangan kamu (yang merampas hak orang lain) pula menjadi lemah di sisiku, nescaya aku bertindak merampas daripadanya untuk dikembalikan kepada yang berhak.” (Ibn Hisham, al-Sirah al-Nabawiyyah, jld. 2, ms. 661)

Tindakan melengahkan peruntukan di kawasan pembangkang dan kerajaan negeri yang dikuasainya adalah tidak tepat dengan prinsip Islam dan demokrasi. Bahkan, ia terlalu jauh daripada ajaran Islam yang menjadi agama negara sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan sangat mencalarkan imej Islam.

Allah yang Maha Berkuasa menunjukkan keadilan-Nya yang mutlak menerusi jawapan-Nya kepada pertanyaan Nabi Ibrahim AS, firman-Nya:

﴿وَإِذْ قَالَ إِبْرَٰهِـۧمُ رَبِّ ٱجْعَلْ هَـٰذَا بَلَدًا ءَامِنًا وَٱرْزُقْ أَهْلَهُۥ مِنَ ٱلثَّمَرَٰتِ مَنْ ءَامَنَ مِنْهُم بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ ۖ قَالَ وَمَن كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُۥ قَلِيلًا ثُمَّ أَضْطَرُّهُۥٓ إِلَىٰ عَذَابِ ٱلنَّارِ ۖ وَبِئْسَ ٱلْمَصِيرُ١٢٦﴾

“Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berdoa: ‘Wahai Tuhanku! Jadikanlah negeri (Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki daripada buah-buahan kepada penduduknya yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian antara mereka.’ Allah berfirman: ‘Dan kepada orang yang derhaka pun Aku berikan kesenangan sementara (di dunia ini), kemudian Aku menghukumnya dengan menjalani seksa neraka dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.’” (Surah al-Baqarah: 126)

Allah SWT tetap memberikan rezeki kepada seluruh hamba-Nya termasuklah kepada hamba-Nya yang derhaka melawan-Nya. Adapun kesalahan yang telah dilakukan itu akan dibuat perkiraan dalam aspek yang lain dengan pembicaraan yang adil.

Selepas pilihan raya, semua pihak menjadi rakyat kepada mana-mana kerajaan yang memerintah, inilah konsep demokrasi yang betul.

Janganlah dalam bab cukai diambil daripada semua, bab hasil bumi pula dikebas daripada semua negeri termasuklah negeri pembangkang dan rakyat pembangkang, tetapi dalam urusan mentadbir dan membahagikan peruntukan, dibeza-bezakan.

Perlu disedari bahawa berlaku banyak ketinggalan terhadap orang Melayu dan bumiputera yang banyak berada di kawasan pedalaman, luar bandar, di Pantai Timur, Utara Semenanjung dan Malaysia Timur (Sarawak dan Sabah). Perkara tersebut berlaku sejak zaman penjajah lagi mengikut penyusunan masyarakat yang telah dibentuk oleh mereka bagi mewujudkan ketegangan pada masa hadapan, melalui kesempatan memeras semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Selain itu, ia dilakukan bagi mengadu domba dalam kalangan mereka dengan meletakkan kaum Cina di kawasan bandar dan lombong, kaum India di kawasan estet dan membiarkan Melayu dan bumiputera di kawasan luar bandar, dengan mewujudkan jurang ekonomi dan sosial.

Malah, tidak boleh dinafikan ramai juga masyarakat Cina di kampung yang dibentuk oleh penjajah dahulu dan kaum India di estet, berada dalam keadaan yang sangat miskin.

Apabila kita telah mencapai kemerdekaan, keadaan ini diteruskan lagi apabila kaum Melayu dan bumiputera yang paling besar jumlahnya terus berada dalam ketinggalan. Walaupun mereka wajar diberikan hak istimewa, tetapi keadaan tidak banyak berubah.

Banyak peruntukan diberikan, tetapi berlaku ketirisan dan terkeluar daripada sasaran, kerana salah tadbir urus, berlakunya penyelewengan dan rasuah daripada atas sehingga ke bawah. Bank Bumiputera juga telah ‘meninggal dunia’.

Subsidi kepada golongan petani dan nelayan tidak mengubah keadaan, bahkan ada yang tidak sampai ke tangan mereka yang berhak. Dalam pada itu, aspek perniagaan pula dikuasai oleh kelompok yang tertentu sahaja, sehingga menjadikan kekayaan negara hanya berpusing dalam kalangan kelompok yang tertentu sahaja. Allah SWT berfirman:

﴿مَّآ أَفَآءَ ٱللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ مِنْ أَهْلِ ٱلْقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَـٰمَىٰ وَٱلْمَسَـٰكِينِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ كَىْ لَا يَكُونَ دُولَةًۢ بَيْنَ ٱلْأَغْنِيَآءِ مِنكُمْ ۚ وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمْ عَنْهُ فَٱنتَهُوا ۚ وَٱتَّقُوا ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ٧﴾

“Apa saja harta fai’ (cukai yang dipungut) yang Allah berikan kepada Rasul-Nya (daripada harta benda) daripada penduduk kota-kota; maka adalah ia tertentu untuk Allah, bagi Rasul, kaum kerabat (Rasulullah), anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu tidak beredar antara orang-orang kaya dalam kalangan kamu sahaja. Dan apa jua perintah yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa jua yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya, Allah amat keras hukumannya.” (Surah al-Hashr: 7)

Kini, kebanyakan penduduk di luar bandar daripada orang Melayu dan bumiputera memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN), serta parti Sarawak dan Sabah. Adapun Pakatan Harapan (PH) mendapat sokongan penduduk bandar dan kawasan campuran yang didukung oleh bukan Melayu dan bukan bumiputera.

Justeru, tindakan kerajaan PH yang membelakangi kawasan PN, Sabah dan Sarawak tidak mampu mengubah keadaan. PN yang mengambil alih kerajaan dalam masa yang singkat ketika bencana wabak dapat menunjukkan sedikit perubahan.

Apabila pengundi muda dan luar bandar menunjukkan protes kepada Barisan Nasional (BN) ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kerana kesilapannya dan menolak PH kerana pembohongan janji dan manifestonya, mereka kemudiannya telah memberikan sokongan kepada PN. Kejayaan menukar kerajaan bukan melalui tebuk atap, tetapi atapnya bocor dan dinding kacanya yang berkecai.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu, parti-parti komponen PH mempunyai jumlah kerusi yang tidak mencukupi dan terpaksa menggabungkan semua parti-parti kecil dan segala yang berpenyakit bagi mencukupkan jumlahnya dalam kerajaannya yang bergelora sebagaimana yang disaksikan oleh rakyat.

Kalau jatuh lagi, jangan salahkan kami. Bukan tebuk atap, tetapi atapnya bocor, pintunya terbuka dan dindingnya pecah.

Saya tertarik dengan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenaan maqasid al-syari‘ah yang bererti matlamat dan hikmah syariat Allah dalam segala urusan.

Sepatutnya pelaksanaan bajet mestilah memenuhi maqasid al-syari‘ah yang dimaksudkan memenuhi kewajipan menjaga rukun hidup manusia iaitu agama, nyawa, akal, keturunan (keluarga) dan harta.

  1. Menjaga Agama

Sudah dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan negara kita bersama:

Perkara 3 (1) dalam perlembagaan menyatakan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agamaagama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Hal ini bertujuan bagi menjamin kedudukan orang bukan Islam serta menjamin perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia.

Apa yang penting adalah menjaga sempadan yang boleh mencetuskan pertembungan akibat provokasi yang tidak bertanggungjawab oleh berbagai-bagai pihak, khususnya media upahan secara halus menyiarkan berita bersifat provokasi.

Bagi penganut Islam, walaupun ditegaskan oleh kepercayaannya bahawa hanya Islam sahaja agama yang benar. Firman Allah SWT:

﴿إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلۡإِسۡلَٰمُۗ…١٩﴾

“Sesungguhnya, agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam…” (Surah Ali ‘Imran: 19)

Namun, umat Islam diwajibkan agar berpegang kepada konsep tiada paksaan dalam beragama dan memberikan hak kebebasan beragama kepada semua rakyat. Firman Allah SWT:

﴿لَآ إِكۡرَاهَ فِي ٱلدِّينِۖ…٢٥٦﴾

“Tiada paksaan dalam agama (Islam)…” (Surah al-Baqarah: 256)

Al-Quran mewajibkan perjuangan bagi memelihara kehidupan bermasyarakat majmuk, beragama dan berbangsa. Firman Allah SWT:

﴿وَلَوْلَا دَفْعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍۢ لَّهُدِّمَتْ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَٰتٌ وَمَسَـٰجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا ٱسْمُ ٱللَّهِ كَثِيرًا ۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِىٌّ عَزِيزٌ٤٠﴾

“Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid, yang banyak disebutkan nama Allah padanya. Dan sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” (Surah al-Hajj: 40)

Dan firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍۢ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَـٰكُمْ شُعُوبًا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللَّهِ أَتْقَىٰكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ١٣﴾

“Wahai manusia! Sesungguhnya, Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan; dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mengenal.” (Surah al-Hujurat: 13)

Allah juga melarang amalan provokasi terhadap agama bukan Islam dengan firman-Nya dalam al-Quran:

﴿وَلَا تَسُبُّوا ٱلَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ فَيَسُبُّوا ٱللَّهَ عَدْوًۢا بِغَيْرِ عِلْمٍۢ ۗ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ١٠٨﴾

“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah, Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian, kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.” (Surah al-An‘am: 108)

Bandingkan kedudukan penganut bukan Islam di negara umat Islam yang dilayan dengan baik, berbanding kedudukan penganut Islam di negara bukan Islam yang banyak berlaku salah laku.

Antaranya penyebaran Islamofobia di negara Barat dan disebarkan di negara lain, melakukan provokasi membakar al-Quran dan menghina Nabi Muhammad SAW. Sedangkan, orang Islam diwajibkan beriman kepada para rasul dan nabi, serta beriman kepada semua kitab suci yang diwahyukan kepada rasul-rasul pada zaman dahulu.

  • Menjaga Nyawa Atau Jiwa

Betapa pentingnya menjaga nyawa manusia. Firman Allah SWT:

﴿أَنَّهُۥ مَن قَتَلَ نَفْسًۢا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍۢ فِى ٱلْأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ ٱلنَّاسَ جَمِيعًا وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَآ أَحْيَا ٱلنَّاسَ جَمِيعًا ۚ وَلَقَدْ جَآءَتْهُمْ رُسُلُنَا بِٱلْبَيِّنَـٰتِ ثُمَّ إِنَّ كَثِيرًا مِّنْهُم بَعْدَ ذَٰلِكَ فِى ٱلْأَرْضِ لَمُسْرِفُونَ٣٢﴾

“Bahawa sesiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan sesiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya. Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka rasul-rasul Kami dengan (membawa) keterangan-keterangan yang jelas, kemudian banyak antara mereka sesudah itu sungguh-sungguh melampaui batas dalam berbuat kerosakan di muka bumi.” (Surah al-Ma’idah: 32)

Bagi menunjukkan betapa berharganya nyawa manusia, maka Islam mengharamkan perbuatan bunuh diri dan membunuh orang lain, menjadikannya sebagai suatu dosa besar dan hukumannya sangat keras. Hal ini termasuklah perkara yang tidak disengajakan supaya berhati-hati dalam semua perkara agar tidak mudah melakukan kesilapan yang akan menyebabkan kematian.

Maka ditetapkan undang-undang yang mendidik penjenayah dan masyarakat. Hukuman bunuh tidak boleh dihapuskan dan tidak boleh sewenang-wenang dijatuhkan. Namun, hukuman mandatori dalam kesalahan yang tidak munasabah dan tuduhan yang banyak perkara mengelirukan hendaklah dihapuskan.

Kita tidak boleh terpengaruh dengan teori Barat yang tidak konsisten, sehingga membebaskan pembunuh yang paling ganas dan merebaknya pembunuhan ganas kerana kelemahan undang-undang dan menghilangkan kehebatan, sehingga menyerang kanak-kanak di sekolah dan sebagainya, dan berbagai-bagai kekejaman yang mesti dibunuh pelakunya demi menyelamatkan masyarakat umum yang lebih besar maslahatnya.

Hukuman bunuh mandatori terhadap pengedar dadah dan pemilik senjata api, tidak harus dilaksanakan. Islam meletakkannya dalam hukuman takzir yang banyak pilihannya, kerana pemilik senjata belum lagi membunuh dan banyak cara boleh dielakkan. Pengedar dadah pula tidak boleh disamakan kerana kemungkinan ada sebab-sebab yang tidak kuat, maka didahulukan dengan dijatuhkan hukuman yang lain.

Tujuan utama hukuman yang dikenakan ke atas pesalah, sama ada kes-kes sivil ataupun kes-kes jenayah adalah untuk mendidik pesalah dan juga masyarakat agar menghormati hak-hak orang lain. Undang-undang yang sedia ada, selain daripada mendidik, hukuman dikenakan ke atas pesalah adalah bertujuan untuk “menghukum” atas perbuatan yang dibuat oleh pesalah yang sangat kejam ke atas mangsa, keutamaan hukuman mati di dalam kes-kes jenayah yang sangat berat.

Walaupun hukuman mati tidak lagi dapat mendidik pesalah secara zahir, tetapi lebih kepada mendidik masyarakat serta mencegah orang lain agar tidak meniru kesalahan yang telah dibuat oleh pesalah yang telah pun menerima hukuman mati. Dalam undang-undang jenayah Islam, ada beberapa kesalahan jenayah yang telah diberikan peruntukan oleh syara‘ untuk dikenakan hukuman mati.

Perlu diingatkan juga tentang pembuktian yang sangat teliti dan perlu mencapai tahap keyakinan yang paling tinggi sebelum hukuman mati dapat dijatuhkan ke atas pesalah. Syarat-syarat saksi dan bukti yang sangat jelas, dibenarkan pembelaan supaya mencari apa-apa hujah yang boleh meringankan hukuman atau dibebaskan.  

Malah, jika pesalah didapati bersalah dengan cara pembuktian iaitu ikrar, tetapi sebelum hukuman mati dilaksanakan, pesalah ingin menarik balik ikrar tersebut maka hukuman mati tadi tidak dapat dijalankan ke atas si pesalah dan digantikan dengan hukuman gantian ataupun takzir.

Begitu ketat sekali pembuktian dalam undang-undang Islam terhadap kesalahan jenayah hudud dan qisas, sehingga boleh disimpulkan bahawa hukuman hudud dan qisas dalam Islam adalah cara yang terakhir untuk menghukum pesalah dan kebanyakannya mungkin berakhir dengan hukuman gantian mahupun hukuman takzir sahaja.

Cara hukuman pula tidak boleh menyeksa seperti menggunakan tali yang menjerut leher yang sangat kuno caranya. Rasulullah SAW bersabda:

‌فَإِذَا ‌قَتَلْتُمْ ‌فَأَحْسِنُوا ‌الْقِتْلَةَ.

“Apabila kamu ingin membunuh (haiwan sembelihan), hendaklah berlaku ihsan dengan cara yang terbaik.” (Riwayat Muslim, no. 1955)

Dalam hukuman bunuh pula, ada hak pengampunan yang diberikan kepada keluarga mangsa, bukannya oleh Lembaga Pengampunan yang bukan terdiri daripada keluarga mangsa. Hukuman boleh ditukar kepada diat (bayaran ganti rugi) dan kaffarah (melakukan kerja kebajikan). Malah, ada juga hukuman akibat kematian yang tidak disengajakan. (Perkara ini memerlukan huraiannya panjang)

  • Menjaga Akal

Islam mengharamkan dengan tegas segala bahan-bahan yang merosakkan akal manusia, sama ada ia bersifat makanan, minuman, hiburan dan lain-lain.

Pelajaran dan pendidikan adalah keperluan wajib bagi menjaga akal manusia. Peranan keluarga, masyarakat dan kerajaan dalam aspek pendidikan, menunjukkan betapa besar dan luasnya lapangan ini, kerana akal antara kurniaan paling berharga kepada manusia yang membezakannya dengan makhluk yang lain. Sehinggakan, manusia diberikan tanggungjawab yang besar di atas muka bumi. Firman Allah SWT:

﴿وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِىٓ ءَادَمَ وَحَمَلْنَـٰهُمْ فِى ٱلْبَرِّ وَٱلْبَحْرِ وَرَزَقْنَـٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَـٰتِ وَفَضَّلْنَـٰهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍۢ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا٧٠﴾

“Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam (manusia), Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami berikan mereka rezeki daripada perkara yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.” (Surah al-Isra’: 70)

Maka, di sini kita memerlukan prinsip dan konsep pendidikan holistik yang bersifat menyeluruh dan bersepadu memenuhi keperluan fitrah manusia (dari sudut naluri), memenuhi keperluan dari sudut roh, jasad, akal, individu, berkeluarga, bermasyarakat dan bermadani.

Bagi melahirkan manusia yang bermasyarakat madani.

Al-Farabi memperkenalkan konsep al-Madinah al-Fadilah yang dikatakan sebagai reaksi terhadap falsafah Plato, seorang ahli falsafah Yunani (Greek) daripada karya politiknya yang berjudul ‘The Republic’.

Al-Farabi menegaskan bahawa peranan agama dan akhlak yang tidak berpisah dengan tamadun yang positif.

Ibn Khaldun pula memperkenalkan perkataan madani dalam ilmu politik dan kemasyarakatan melalui bukunya, al-Muqaddimah yang menjadi muqaddimah kepada buku sejarahnya. Sebagaimana yang beliau nyatakan dengan ungkapan:

الْإِنْسَانُ ‌مَدَنِيٌّ ‌بِالطَّبْعِ.

“Manusia itu secara tabiinya bermadani.” (Tarikh Ibn Khaldun [al-Muqaddimah], jld. 1, ms. 54)

Al-Muqaddimah ialah sebuah kitab yang lebih terkenal dan menjadi kajian para ilmuwan daripada pelbagai bangsa dan telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa dunia.

Ibn Khaldun mentafsirkan perkataan madani dengan wajib bermasyarakat, daripada perkataan Madinah yang bererti bandar tempat manusia berkumpul dan bermasyarakat. Daripadanya perkataan tamadun pembangunan manusia dan keperluannya dengan ilmu berpandukan al-din yang menjadi jenama kepada Islam.

Tamadun menjadi perkataan seerti dengan hadarah. Bermaksud kehadiran untuk berkumpul yang menjadi fitrah manusia seluruhnya tanpa mengira bangsa dan agama kerana keperluan hidup bermasyarakat. Walaupun ada kalanya bersendirian, namun mesti berkumpul dalam masyarakat yang berurusan bagi semua keperluan hidup yang wajib diuruskan dengan politik, ekonomi dan lain-lain. Hal ini berkonsepkan firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍۢ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَـٰكُمْ شُعُوبًا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللَّهِ أَتْقَىٰكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ١٣﴾

“Wahai manusia! Sesungguhnya, Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan; dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mengenal.” (Surah al-Hujurat: 13)

Islam menamakan negara yang pertama ditegakkan bermasyarakat majmuk dengan sebutan Madinah, iaitu tempat dikumpulkan keperluan manusia bermasyarakat madani yang berasaskan iman, akhlak dan ilmu yang mendidik rakyat berkonsepkan al-din dengan makna yang menyeluruh.

Agamanya tanpa paksaan, ilmunya dikumpul daripada semua bangsa yang bertamadun dengan mengambil aspek yang positif (berfaedah) bagi kehidupan manusia dan menolak yang negatif (merosakkan) kehidupan manusia. Sabda Rasulullah SAW:

‌الحِكْمَةُ ‌ضَالَّةُ ‌الْمُؤْمِنِ، فَحَيْثُ وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا.

“Kebijaksanaan itu kepunyaan orang yang beriman, di mana sahaja dijumpainya, maka dialah yang paling berhak.” (Riwayat al-Tirmizi, no. 2687 dan Ibn Majah, no. 4169)

Banyak negara bertamadun kebendaan dan tidak berakhlak membunuh golongan bijak pandai. Islam mengumpulkan golongan bijak pandai daripada berbagai-bagai bangsa yang bertamadun dan berbagai-bagai agama tanpa memaksa untuk menerima agama, bangsa dan bahasanya. Mereka menterjemahkan hasil-hasil kajian daripada berbagai-bagai bangsa ke dalam bahasa Arab, yang menjadi bahasa utama umat Islam, sehingga tegaknya Tamadun Islam (Hadarah Islamiah). Pengaruh bahasa masih mempengaruhi beberapa ilmu (khususnya dalam ilmu sains dan teknologi).

Revolusi Industri yang berlaku di Barat adalah hasil daripada tamadun ilmu yang dibentuk oleh Islam yang telah diterjemahkan ke dalam berbagai-bagai bahasa Eropah ketika mereka menjajah tanah air umat Islam. Buku-buku asal dalam bahasa Arab masih disimpan di beberapa negara Barat sehingga kini.

Malangnya, Barat telah memisahkan ilmu duniawi daripada agama dengan melaksanakan falsafah sekularisme. Kini, kita menyaksikan bagaimana kemajuan sains dan teknologi yang memusnahkan alam sekitar dan manusia sendiri.

Di sini, menunjukkan besarnya peranan bahasa ibunda (kebangsaan) di mana-mana negara kepada perkembangan ilmu dan pendidikan di negara dunia.

Kita menyaksikan kebangkitan negara Eropah dengan bahasa masing-masing. Contohnya, Jerman dan Jepun sebelum perang dunia dan selepas kalah perang dunia bangkit semula dengan bahasa masing-masing. China juga membangunkan kemajuannya dengan peranan bahasa mereka.

Maka, bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu di negara kita hendaklah diperkasakan. Tanpa dinafikan perlunya mempelajari berbagai-bagai bahasa bagi mengambil ilmu daripada pelbagai bangsa. Akan tetapi, bagi memperkasakan rakyat sendiri dengan ilmu, ia mestilah dengan menggunakan bahasanya.

Bahasa Melayu bertulisan jawi yang paling cukup sebutannya pernah membina tamadun di Nusantara. Pengaruh penjajah Barat telah menghilangkan peranan Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa perantaraan masyarakat majmuk di Malaysia.

Maka, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan hendaklah dikuatkan lagi dan diperkasakan bagi mendaulatkan bahasa kebangsaan kerana kita sudah mengecapi kemerdekaan lebih setengah abad. Jangan sampai Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) laksana muzium menjaga barang-barang lama, sekadar menjadi kenangan sejarah. Seperti keris pusaka, sehingga replikanya daripada kayu juga diharamkan.  

Pada masa yang sama, kita tidak menafikan bahasa pertuturan lain daripada pelbagai bangsa di negara kita juga hendaklah dipelajari. Hal ini kerana kita menyedari firman Allah SWT:

﴿وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦ خَلۡقُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفُ أَلۡسِنَتِكُمۡ وَأَلۡوَٰنِكُمۡۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّلۡعَٰلِمِينَ٢٢﴾

“Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.” (Surah al-Rum: 22)

Al-Quran merakamkan tamadun yang telah memusnahkan bangsa dan negerinya, melalui firman Allah SWT:

﴿أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ٦ إِرَمَ ذَاتِ ٱلۡعِمَادِ٧ ٱلَّتِي لَمۡ يُخۡلَقۡ مِثۡلُهَا فِي ٱلۡبِلَٰدِ٨ وَثَمُودَ ٱلَّذِينَ جَابُواْ ٱلصَّخۡرَ بِٱلۡوَادِ٩ وَفِرۡعَوۡنَ ذِي ٱلۡأَوۡتَادِ١٠ ٱلَّذِينَ طَغَوۡاْ فِي ٱلۡبِلَٰدِ١١ فَأَكۡثَرُواْ فِيهَا ٱلۡفَسَادَ١٢ فَصَبَّ عَلَيۡهِمۡ رَبُّكَ سَوۡطَ عَذَابٍ١٣ إِنَّ رَبَّكَ لَبِٱلۡمِرۡصَادِ١٤﴾

“Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum ‘Aad? (6) (Iaitu) penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi. (7) (Keadaan) yang belum pernah dibangunkan (suatu kota) seperti itu di negeri-negeri lain. (8) Dan kaum Thamud yang memotong batu-batu besar di lembah. (9) Dan kaum Firaun yang mempunyai pasak-pasak (tentera yang besar). (10) Yang berbuat sewenang-wenangnya dalam negeri. (11) Lalu mereka berbuat banyak kerosakan dalam negeri itu. (12) Kerana itu Tuhanmu menimpakan ke atas mereka cemeti azab. (13) Sesungguhnya, Tuhanmu benar-benar mengawasi. (14)” (Surah al-Fajr: 6-14)

  • Menjaga Keturunan (Keluarga)

Islam meletakkan manusia seluruhnya daripada sebuah keluarga besar, sehinggalah sekecil-kecil dan sebesar-besar keluarga. Firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٖ وَٰحِدَةٖ وَخَلَقَ مِنۡهَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡهُمَا رِجَالٗا كَثِيرٗا وَنِسَآءٗۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا١﴾

“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu daripada seorang diri, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada kedua-duanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya, kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya, Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (Surah al-Nisa’: 1)

Semua manusia berasal daripada ibu bapa yang sama, iaitu Adam dan Hawwa’ AS.

Daripada sebuah keluarga besar yang bermasyarakat antarabangsa, sehinggalah ke peringkat negara, kampung dan keluarga dalam sebuah rumah.

Islam mengiktiraf hubungan kekeluargaan, walaupun berbeza agama. Bahkan, diwajibkan berlaku baik terhadap ibu bapa, walaupun berbeza agama. Termasuklah diperintahkan agar memuliakan jiran dan membantu golongan yang dizalimi dengan perintah Allah SWT melalui al-Quran. Firman-Nya:

﴿وَوَصَّيۡنَا ٱلۡإِنسَٰنَ بِوَٰلِدَيۡهِ حَمَلَتۡهُ أُمُّهُۥ وَهۡنًا عَلَىٰ وَهۡنٖ وَفِصَٰلُهُۥ فِي عَامَيۡنِ أَنِ ٱشۡكُرۡ لِي وَلِوَٰلِدَيۡكَ إِلَيَّ ٱلۡمَصِيرُ١٤ وَإِن جَٰهَدَاكَ عَلَىٰٓ أَن تُشۡرِكَ بِي مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٞ فَلَا تُطِعۡهُمَاۖ وَصَاحِبۡهُمَا فِي ٱلدُّنۡيَا مَعۡرُوفٗاۖ وَٱتَّبِعۡ سَبِيلَ مَنۡ أَنَابَ إِلَيَّۚ ثُمَّ إِلَيَّ مَرۡجِعُكُمۡ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ١٥﴾

“Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusunya dalam tempoh dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Ku sahajalah tempat kamu kembali. (14) Dan jika kedua-duanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tiada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti kedua-duanya, dan bergaullah dengan kedua-duanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Kulah tempat kamu kembali, maka Aku beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan. (15)” (Surah Luqman: 14-15)

Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ ‌كَانَ ‌يُؤْمِنُ ‌بِاللَّهِ ‌وَاليَوْمِ ‌الآخِرِ ‌فَلْيُكْرِمْ ‌جَارَهُ.

Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, wajiblah memuliakan jirannya (termasuk jiran bukan Islam).” (Riwayat al-Bukhari, no. 6019)

Firman Allah SWT:

﴿وَإِنۡ أَحَدٞ مِّنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ ٱسۡتَجَارَكَ فَأَجِرۡهُ حَتَّىٰ يَسۡمَعَ كَلَٰمَ ٱللَّهِ ثُمَّ أَبۡلِغۡهُ مَأۡمَنَهُۥۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ قَوۡمٞ لَّا يَعۡلَمُونَ٦﴾

“Dan jika ada seseorang daripada kaum Musyrikin (bukan Islam) itu meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya supaya dia sempat mendengar firman Allah (keterangan Allah), kemudian hantarlah dia ke tempat yang beroleh aman baginya. Demikian itu disebabkan mereka kaum yang tidak mengetahui.” (Surah al-Tawbah: 6)

Islam telah mendahului Piagam Geneva lebih 1,000 tahun lebih awal dengan memberi suaka politik atau perlindungan kepada mangsa kezaliman atau peperangan daripada negara asing.

  • Memelihara Harta

Dalam  aspek menjaga harta dan menguruskannya, Islam meletakkannya dalam maqasid al-syari‘ah menjadi rukun hidup yang penting. Harta itu bukan menjadi matlamat kehidupan.

Hidup manusia adalah untuk beribadat kepada Tuhan dan berkhidmat kepada sesama manusia dan mengurus alam dunia. Harta bukanlah menjadi matlamat hidup, tetapi menjadi rukun beribadat kepada Allah dan berkhidmat kepada dunia. Maka, Islam berbeza dalam aspek ekonomi dengan semua ideologi yang lain.  

Dunia hanya mengenali dua pendekatan sahaja dalam aspek ekonomi, sama ada kapitalisme dan sosialisme, sehinggakan yang paling ekstrem iaitu liberal kapitalisme dan komunisme. Begitu juga, hanya mengetahui sama ada berkonsepkan kebebasan individu atau berkonsepkan kemasyarakatan yang dikaitkan pula dengan peranan politik yang melindungi kedua-dua ideologi tersebut. Kedua-dua belah pihak mendabik dada, masing-masing kononnya mengamalkan demokrasi bersama rakyat.

Ideologi kapitalis lebih bersifat ananiyyah (individualistik) dari segi pemilikan dan bertemakan kebebasan. Manakala ideologi sosialis pula bersifat kolektif dengan memberikan penekanan dari segi kemasyarakatan dan bertemakan keadilan sosial.

Kedua-dua aliran tersebut berkonsepkan materialisme (kebendaan) dan berprinsipkan sekularisme yang berpisah daripada agama. Walaupun ada dalam kalangan mereka itu tidak menafikan hak beragama, tetapi agama tidak dibenarkan untuk mencampuri urusan ekonomi dan politiknya.

Adapun komunisme pula mempunyai konsep yang lebih ekstrem, sehingga mengharamkan agama. Begitu juga ada dalam kalangan penganut liberalisme yang mengharamkan agama.

Ramai yang terlepas pandang, bahawa di sana terdapat Islam yang berlainan dan berbeza, bersifat wasatiyyah (pertengahan dan kesederhanaan), berkonsepkan istiqamah terhadap individu dan masyarakat. Termasuklah menegaskan konsep yang tidak berpisah daripada agama dalam segala aspek urusan kehidupan manusia di alam dunia.

Dari segi ekonomi dan politik, kedua-duanya tetap berkait dengan aqidah, ibadat dan syariat Allah SWT. Pada masa yang sama, tidak menafikan mana-mana individu dari segi pemilikan dan hak, serta bermasyarakat dari segi keperluan hidup bermadani secara tabii. Firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ إِلَّآ أَن تَكُونَ تِجَٰرَةً عَن تَرَاضٖ مِّنكُمۡۚ وَلَا تَقۡتُلُوٓاْ أَنفُسَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمۡ رَحِيمٗا٢٩ وَمَن يَفۡعَلۡ ذَٰلِكَ عُدۡوَٰنٗا وَظُلۡمٗا فَسَوۡفَ نُصۡلِيهِ نَارٗاۚ وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرًا٣٠ إِن تَجۡتَنِبُواْ كَبَآئِرَ مَا تُنۡهَوۡنَ عَنۡهُ نُكَفِّرۡ عَنكُمۡ سَيِّـَٔاتِكُمْ وَنُدۡخِلۡكُم مُّدۡخَلٗا كَرِيمٗا٣١﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan redha (suka sama-suka) antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri; sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepada kamu. (29) Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan melanggar hak dan zalim, maka Kami kelak akan memasukkannya ke dalam neraka. Oleh yang demikian, perkara itu adalah mudah bagi Allah. (30) Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar yang dilarang kamu mengerjakannya, nescaya Kami hapuskan (ampunkan) kesalahan-kesalahan kamu (dosa-dosa kamu yang kecil) dan Kami memasukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga). (31)” (Surah al-Nisa’: 29-31)

Islam meletakkan aspek agama dan akhlak, yang mempunyai perhitungan senarai dosa dan pahala, moral dan jenayah dalam setiap aspek kegiatan bermasyarakat, termasuk dalam aspek ekonomi dan politik. Perkara ini menegaskan segala aktivitinya adalah berkait dengan perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW yang wajib diuruskan oleh politik. Firman Allah SWT:

﴿ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ٤١﴾

“(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (berkuasa politik memerintah negara), nescaya mereka mendirikan sembahyang (beribadat), menunaikan zakat (berekonomi) , menyuruh berbuat ma‘ruf  (berkebajikan) dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar (amanah menjaga kedaulatan undang undang); dan kepada Allah jua kembali segala urusan (berwawasan akhirat).” (Surah al-Hajj: 41)

Ayat ini menegaskan mengenai hubungan dari aspek ibadat dalam ekonomi, politik, individu, jasad, roh, harta, individu dan masyarakat yang ada kaitan dengan wawasan sehingga di Hari Akhirat kelak.

Al-Quran menyatakan konsep ekonomi dalam konteks masyarakat majmuk yang terdiri daripada berbagai-bagai agama dan hidup bermasyarakat madani. Firman Allah SWT:

﴿مَّآ أَفَآءَ ٱللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ مِنْ أَهْلِ ٱلْقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَـٰمَىٰ وَٱلْمَسَـٰكِينِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ كَىْ لَا يَكُونَ دُولَةًۢ بَيْنَ ٱلْأَغْنِيَآءِ مِنكُمْ ۚ…٧﴾

“Apa saja harta fai’ (cukai yang dipungut) yang Allah berikan kepada Rasul-Nya (daripada harta benda) daripada penduduk kota-kota; maka adalah ia tertentu untuk Allah, bagi Rasul, kaum kerabat (Rasulullah), anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu tidak beredar antara orang-orang kaya dalam kalangan kamu sahaja…” (Surah al-Hashr: 7)

Hal ini bermaksud Islam menegaskan konsep masyarakat majmuk dalam ekonomi yang adil, melalui pelaksanaan zakat yang diwajibkan kepada penganut Islam sahaja yang berkonsepkan ibadat harta, serta pengagihannya. Ada pula pengagihan harta fai’ daripada bukan Islam melalui sistem percukaian, jizyah (cukai keselamatan diri) sepertimana zakat fitrah kepada penganut Islam, fai’ juga merangkumi kharaj (cukai hasil pertanian), ‘usyur (cukai perniagaan) dan juga cukai galian yang mempunyai zakatnya kepada penganut Islam yang menjadi rukun agama yang tidak boleh dihapuskan sekali-kali. Adapun cukai daripada bukan Islam pula boleh dihapuskan apabila hasil negara telah mencukupi. Semuanya wajib dibelanjakan dengan adil kepada semua.

Islam melarang konsep melampau dalam ekonomi dengan berpandukan firman Allah SWT:

﴿وَلَوۡ بَسَطَ ٱللَّهُ ٱلرِّزۡقَ لِعِبَادِهِۦ لَبَغَوۡاْ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن يُنَزِّلُ بِقَدَرٖ مَّا يَشَآءُۚ إِنَّهُۥ بِعِبَادِهِۦ خَبِيرُۢ بَصِيرٞ٢٧ وَهُوَ ٱلَّذِي يُنَزِّلُ ٱلۡغَيۡثَ مِنۢ بَعۡدِ مَا قَنَطُواْ وَيَنشُرُ رَحۡمَتَهُۥۚ وَهُوَ ٱلۡوَلِيُّ ٱلۡحَمِيدُ٢٨﴾

“Dan jikalau Allah melapangkan rezeki kepada hamba-hamba-Nya, tentulah mereka akan melampaui batas di muka bumi; tetapi Allah menurunkan apa yang dikehendaki-Nya dengan ukuran. Sesungguhnya, Dia Maha Mengetahui (keadaan) hamba-hamba-Nya, lagi Maha Melihat. (27) Dan Dialah Tuhan yang menurunkan hujan sesudah mereka berputus asa dan menyebarkan rahmat-Nya. Dan Dialah Tuhan yang Maha Pelindung, lagi Maha Terpuji. (28)” (Surah al-Shura: 27-28)

Ini menunjukkan betapa Allah yang Maha Adil itu memberikan rezeki supaya ia diuruskan oleh manusia dengan akal, berilmu dan berpengalaman berpandukan hidayah supaya tidak tergelincir dan tidak melampau daripada asas maqasid al-syari‘ah. 

Hal ini sekali gus menegaskan bahawa kegiatan ekonomi termasuk dalam amalan soleh manusia di sisi Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:

‌مَا ‌مِنْ ‌مُسْلِمٍ ‌يَغْرِسُ ‌غَرْسًا، ‌أَوْ ‌يَزْرَعُ زَرْعًا، فَيَأْكُلُ مِنْهُ طَيْرٌ أَوْ إِنْسَانٌ أَوْ بَهِيمَةٌ، إِلَّا كَانَ لَهُ بِهِ صَدَقَةٌ.

“Tiadalah seseorang  yang menanam pokok atau tanaman lalu dimakan oleh burung atau binatang atau manusia, nescaya diberikan kepadanya pahala sedekah.” (Riwayat al-Bukhari, no. 2320, Muslim, no. 1553 dan lain-lain)

Begitulah segala urusan ekonomi termasuk aspek perniagaan, industri dan lain-lain yang memberikan kemudahan kepada masyarakat manusia dan makhluk yang lain.

Rasulullah SAW menyatakan kelebihan berakhlak dalam kegiatan perniagaan sesama manusia yang memelihara daripada penyakit inflasi, menipu dan menindas. Baginda SAW bersabda:

‌رَحِمَ ‌اللَّهُ ‌رَجُلًا ‌سَمْحًا ‌إِذَا ‌بَاعَ، وَإِذَا اشْتَرَى، وَإِذَا اقْتَضَى.


“Allah memberi rahmat kepada seseorang yang bertimbang rasa ketika menjual, membeli dan meminta dibayarkan hutangnya.” (Riwayat al-Bukhari, no. 2076)

Rasulullah SAW menegaskan bahawa keberkatan rezeki daripada perniagaan, apabila seseorang itu bermoral. Sebagaimana sabdanya:

‌البَيِّعَانِ ‌بِالخِيَارِ ‌مَا ‌لَمْ ‌يَتَفَرَّقَا، فَإِنْ صَدَقَا وَبَيَّنَا بُورِكَ لَهُمَا فِي بَيْعِهِمَا، وَإِنْ كَذَبَا وَكَتَمَا مُحِقَتْ بَرَكَةُ بَيْعِهِمَا.

“Dua pihak yang berjual beli diberikan pilihan (untuk membatalkan urus niaga), selagi mereka tidak berpisah. Jika mereka berdua berlaku benar dan berterus terang (tidak menipu), nescaya mereka berdua diberkati. Namun, jika mereka menyorokkan sesuatu (tidak telus) dan berbohong, nescaya akan dihapuskan keberkatannya (urus niaga mereka).” (Riwayat al-Bukhari, no. 2079 dan Muslim, no. 1532)

Malah, Allah SWT juga menegaskan konsep kesederhanaan dalam perbelanjaan melalui firman-Nya:

﴿وَلَا تَجۡعَلۡ يَدَكَ مَغۡلُولَةً إِلَىٰ عُنُقِكَ وَلَا تَبۡسُطۡهَا كُلَّ ٱلۡبَسۡطِ فَتَقۡعُدَ مَلُومٗا مَّحۡسُورًا٢٩ إِنَّ رَبَّكَ يَبۡسُطُ ٱلرِّزۡقَ لِمَن يَشَآءُ وَيَقۡدِرُۚ إِنَّهُۥ كَانَ بِعِبَادِهِۦ خَبِيرَۢا بَصِيرٗا٣٠﴾

“Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu (bakhil) dan janganlah kamu terlalu menghulurkannya (boros), kerana itu kamu menjadi tercela dan menyesal. (29) Sesungguhnya, Tuhanmu melapangkan rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan menyempitkannya; sesungguhnya Dia Maha Mengetahui, lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya. (30)” (Surah al-Isra’: 29-30)

Seterusnya, ditegaskan pula sempadan halal dan haram dalam kegiatan ekonomi. Islam menegaskan berkenaan pengharaman rasuah dalam kegiatan ekonomi melalui firman-Nya:

﴿وَلَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ وَتُدۡلُواْ بِهَآ إِلَى ٱلۡحُكَّامِ لِتَأۡكُلُواْ فَرِيقٗا مِّنۡ أَمۡوَٰلِ ٱلنَّاسِ بِٱلۡإِثۡمِ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ١٨٨﴾

“Dan janganlah sebahagian daripada kamu memakan harta sebahagian yang lain antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim (pihak) yang berkuasa), supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah: 188)

Dalam pada itu, Islam menghalalkan perniagaan dan mengharamkan riba dengan keras kerana perbuatan itu bersifat menindas. Firman Allah SWT:

﴿ٱلَّذِينَ يَأۡكُلُونَ ٱلرِّبَوٰاْ لَا يَقُومُونَ إِلَّا كَمَا يَقُومُ ٱلَّذِي يَتَخَبَّطُهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ مِنَ ٱلۡمَسِّۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ قَالُوٓاْ إِنَّمَا ٱلۡبَيۡعُ مِثۡلُ ٱلرِّبَوٰاْۗ وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْۚ فَمَن جَآءَهُۥ مَوۡعِظَةٞ مِّن رَّبِّهِۦ فَٱنتَهَىٰ فَلَهُۥ مَا سَلَفَ وَأَمۡرُهُۥٓ إِلَى ٱللَّهِۖ وَمَنۡ عَادَ فَأُوْلَٰٓئِكَ أَصۡحَٰبُ ٱلنَّارِۖ هُمۡ فِيهَا خَٰلِدُونَ٢٧٥ يَمۡحَقُ ٱللَّهُ ٱلرِّبَوٰاْ وَيُرۡبِي ٱلصَّدَقَٰتِۗ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ كَفَّارٍ أَثِيمٍ٢٧٦ إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ وَأَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ لَهُمۡ أَجۡرُهُمۡ عِندَ رَبِّهِمۡ وَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ٢٧٧ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَذَرُواْ مَا بَقِيَ مِنَ ٱلرِّبَوٰٓاْ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ٢٧٨ فَإِن لَّمۡ تَفۡعَلُواْ فَأۡذَنُواْ بِحَرۡبٖ مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦۖ وَإِن تُبۡتُمۡ فَلَكُمۡ رُءُوسُ أَمۡوَٰلِكُمۡ لَا تَظۡلِمُونَ وَلَا تُظۡلَمُونَ٢٧٩﴾

“Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan, lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama sahaja dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan daripada Tuhannya, lalu terus berhenti (daripada mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang kembali (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya. (275) Allah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah. Dan Allah sekali-kali tidak menyukai setiap orang yang tetap berada dalam kekafiran, dan selalu berbuat dosa. (276)  Sesungguhnya, orang-orang yang beriman, mengerjakan amal soleh, mendirikan solat dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tiada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (277) Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. (278) Maka, jika kamu tidak mengerjakannya (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah bahawa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (daripada pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiayai. (279)”  (Surah al-Baqarah: 275-279)

Islam merupakan agama yang paling keras mengharamkan sebarang muamalat berunsurkan riba yang menjadi budaya sehingga menyebabkan ramai yang suka berhutang dan mengamalkannya dalam urusan jual beli. Sehinggakan, ia dilakukan dalam keadaan melampau dan rakus.

Kini, telah berleluasa sehingga ke peringkat pemerintahan sebuah negara dan antarabangsa, bukan sahaja berlaku terhadap rakyat, sama ada individu atau bersyarikat.

Adalah salah dan sesat sekiranya meletakkan riba yang tidak boleh diharamkan itu semuanya termasuk dalam kerangka maqasid al-syari‘ah, kerana maqasid tidak boleh membatalkan syariat.

Kegiatan ekonomi disenaraikan dengan aspek iman, amal ibadat, akhlak serta batas halal dan haram. Oleh itu, Islam juga mengharamkan penipuan dengan keras dalam perniagaan. Firman Allah SWT:

﴿وَيۡلٞ لِّلۡمُطَفِّفِينَ١ ٱلَّذِينَ إِذَا ٱكۡتَالُواْ عَلَى ٱلنَّاسِ يَسۡتَوۡفُونَ٢ وَإِذَا كَالُوهُمۡ أَو وَّزَنُوهُمۡ يُخۡسِرُونَ٣ أَلَا يَظُنُّ أُوْلَٰٓئِكَ أَنَّهُم مَّبۡعُوثُونَ٤ لِيَوۡمٍ عَظِيمٖ٥ يَوۡمَ يَقُومُ ٱلنَّاسُ لِرَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ٦﴾

“Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan). (1) (Iaitu) orang-orang yang apabila menerima sukatan daripada orang lain, mereka minta dipenuhi. (2) Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka menguranginya. (3) Tidakkah orang-orang itu menyangka, bahawa sesungguhnya mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah matai)? (4)  Pada hari (kiamat) yang amat besar (huru-haranya). (5) (Iaitu) hari (ketika) manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam?  (6)”  (Surah al-Mutaffifin: 1-6)

Islam memberikan suatu amaran yang keras terhadap mereka yang tidak menunaikan kewajipan bermasyarakat dalam pengagihan ekonomi, sebagaimana yang disebutkan dalam ayat-ayat al-Quran yang banyak. Antaranya, firman Allah SWT:

﴿أَرَءَيۡتَ ٱلَّذِي يُكَذِّبُ بِٱلدِّينِ١ فَذَٰلِكَ ٱلَّذِي يَدُعُّ ٱلۡيَتِيمَ٢ وَلَا يَحُضُّ عَلَىٰ طَعَامِ ٱلۡمِسۡكِينِ٣ فَوَيۡلٞ لِّلۡمُصَلِّينَ٤ ٱلَّذِينَ هُمۡ عَن صَلَاتِهِمۡ سَاهُونَ٥ ٱلَّذِينَ هُمۡ يُرَآءُونَ٦ وَيَمۡنَعُونَ ٱلۡمَاعُونَ٧﴾

“Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama? (1) Itulah orang yang mengherdik anak yatim. (2) Dan tidak menganjurkan untuk memberi makanan kepada orang miskin. (3) Maka, kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat. (4) (Iaitu) orang-orang yang lalai daripada menyempurnakan solatnya. (5)  (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya). (6) Dan enggan memberikan pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya). (7)”  (Surah al-Ma‘un: 1-7)

Urusan ekonomi termasuk dalam senarai bersama yang melibatkan aspek beriman dan beribadat yang mempunyai perhitungan dosa dan pahala, amal soleh dan amal jahat. Aspek inilah yang memberikan sifat taqwa yang menentukan martabat manusia di sisi Allah SWT.

Islam juga mengharamkan sekeras-kerasnya perbuatan golongan yang mengumpulkan harta tanpa menunaikan kewajipan bermasyarakat. Firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِنَّ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلۡأَحۡبَارِ وَٱلرُّهۡبَانِ لَيَأۡكُلُونَ أَمۡوَٰلَ ٱلنَّاسِ بِٱلۡبَٰطِلِ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِۗ وَٱلَّذِينَ يَكۡنِزُونَ ٱلذَّهَبَ وَٱلۡفِضَّةَ وَلَا يُنفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَبَشِّرۡهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٖ٣٤ يَوۡمَ يُحۡمَىٰ عَلَيۡهَا فِي نَارِ جَهَنَّمَ فَتُكۡوَىٰ بِهَا جِبَاهُهُمۡ وَجُنُوبُهُمۡ وَظُهُورُهُمۡۖ هَٰذَا مَا كَنَزۡتُمۡ لِأَنفُسِكُمۡ فَذُوقُواْ مَا كُنتُمۡ تَكۡنِزُونَ٣٥﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya sebahagian besar daripada orang-orang alim Yahudi dan rahib-rahib Nasrani benar-benar memakan harta orang dengan jalan batil dan mereka menghalangi (manusia) daripada jalan Allah. Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya pada jalan Allah, maka beritahulah kepada mereka, (bahawa mereka akan mendapat) seksa yang pedih. (34) Pada hari dipanaskan emas perak itu dalam neraka Jahanam, lalu dibakar dengannya dahi, lambung dan punggung mereka (lalu dikatakan) kepada mereka: ‘Inilah harta bendamu yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, maka rasakanlah sekarang (akibat daripada) apa yang kamu simpan itu.’ (35)” (Surah al-Tawbah: 34-35)

Islam juga mengharamkan pihak yang berkenaan mengambil zakat dan cukai secara melampau. Sabda Rasulullah SAW:

‌فَأَخْبِرْهُمْ ‌أَنَّ ‌اللَّهَ ‌قَدْ ‌فَرَضَ ‌عَلَيْهِمْ ‌صَدَقَةً، تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ، فَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ، فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لَكَ بِذَلِكَ، فَإِيَّاكَ وَكَرَائِمَ أَمْوَالِهِمْ، وَاتَّقِ دَعْوَةَ الْمَظْلُومِ، فَإِنَّهُ لَيْسَ بَيْنَهُ وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ.

“Beritahu kepada mereka bahawa Allah mewajibkan bayaran harta berupa sumbangan sedekah daripada orang-orang kaya supaya ia diberikan kepada mereka yang memerlukan pertolongan daripada kalangan mereka. Jika mereka mematuhinya, jangan melampau terhadap harta mereka. Takutilah doa orang yang dizalimi, kerana Allah menerima doanya tanpa ada sebarang halangan.” (Riwayat al-Bukhari, no. 1496)

Dasar dan konsep ekonomi Islam yang diperkenalkan berjaya menyelamatkan manusia yang terbelenggu pada zaman feudal ketika itu menguasai masyarakat majmuk. Keadaan ini menjadikan kedatangan Islam diterima dengan redha oleh majoriti rakyat masyarakat majmuk di seluruh wilayah yang diperintah oleh Islam.

Mereka menerima kedatangan Islam sebagai penyelamat, bukannya penjajah. Maka, pengaruh ajaran Islam berjaya menembusi dan menjatuhkan wilayah kuasa-kuasa besar bersama sokongan rakyat yang ditindas dengan zalim.

Namun begitu, sejarah kerajaan Islam yang adil kepada semua kini disalah faham dan difitnah, sehingga mencetuskan penyakit Islamofobia. Islam dimusuhi bukan kerana adanya sifat yang ganas, zalim dan peperangan yang sebenarnya dipaksakan terhadap Islam, tetapi kerana dengki dan dendam yang salah, lalu disebarkan fitnah terhadap Islam.

Kita juga telah menyaksikan kegagalan fahaman sosialisme dan komunisme yang telah menjatuhkan kuasa besar dunia yang menghayati fahaman tersebut, apabila tidak mencapai tujuan yang dinyatakan dalam kempennya untuk menggantikan kapitalisme. Ini kerana adanya ciri-ciri fahaman tersebut yang berlawanan dengan fitrah manusia. Bahkan, kini kita juga sedang menyaksikan tanda-tanda merudumnya liberal kapitalisme dengan sebab-sebab yang sama.

Islam adalah petunjuk Allah SWT yang sempurna kepada manusia dalam segala aspek mengikut fitrahnya. Tanpa memenuhi fitrah atau memisahkan ciri-cirinya yang berkaitan akan membawa kemusnahan hidup dan merosakkan peranan serta tujuan mereka diciptakan.

Liberal kapitalisme yang menjadikan kebebasan individu untuk mewujudkan perlumbaan ekonomi bagi menggalakkan kepesatannya juga tersungkur akibat kerakusan perlumbaannya. Keadaan ini berlaku disebabkan bebanan hutang yang menjadi pintu yang terbuka luas, dan riba yang rakus pula dihalalkan tanpa perhitungan moral melalui hasil maksiat yang menjadi baja kesuburannya.

Akibatnya, berlaku keruntuhan moral kemanusiaan yang merosakkan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Sehingga berlakunya perlumbaan ekonomi di peringkat antarabangsa yang merosakkan keamanan dunia, mengakibatkan penindasan, penjajahan dan mencetuskan peperangan, termasuklah perlumbaan senjata pemusnah yang dahsyat.

Sosialisme juga meruntuhkan ekonomi negara, diikuti dengan keruntuhan negara itu sendiri sehingga hancur berkecai. Walaupun wujud campur tangan negara secara langsung dalam kegiatan ekonominya, namun negara itu terpaksa diselamatkan dengan diadakan pembaharuan yang lari daripada teori asasnya kepada pendekatan lebih pragmatik yang memberikan kebebasan individu ala liberal kapitalisme, sekali gus mendedahkan kepalsuan keadilan sosial yang menjadi propagandanya.

Hal ini disebabkan fitrah individualistik yang bernafsu tanpa agama, maka mereka telah mencipta golongan kapitalis yang lebih besar daripada negara liberal kapitalis. Mereka telah keluar ke dunia antarabangsa dan bersama-sama melakukan perlumbaan yang rakus bersama negara liberal kapitalisme yang mencipta penjajahan baru (neo-kolonialisme).

Maka, berlakunya kerakusan perlumbaan dan pertembungan yang boleh mengulangi dua Perang Dunia yang pernah berlaku pada abad yang lalu oleh sebab yang sama. Oleh sebab itu, Islam perlu tampil menjadi penyelamat dengan penyaksiannya yang pernah berjaya dalam sejarah zaman keemasannya, bukan sekadar teori yang masih berada pada peringkat percubaan yang gagal seperti dua teori yang berlawanan yang disebutkan sebelum ini.

Malangnya, negara umat Islam sendiri mengambil penyelesaian ekonomi yang diimport daripada dua ideologi tersebut, selepas mereka berjaya memerintah sendiri tetapi tidak merdeka pemikirannya.

Lalu, mereka menanggung akibat daripada kelemahannya yang tidak menyelesaikan masalah, walaupun mendapat kurniaan Allah SWT dengan hidayah agama serta kekayaan sumber bumi dan tenaga manusianya.

Teknologi Hijau

Di negara kita, apa yang disebut dengan teknologi hijau yang menjaga dan memelihara sumber alam semula jadi yang banyak, tiba-tiba berlaku kerakusan untuk mendapatkan harta. Maka, diluluskan projek-projek dengan rasuah sehingga berlaku gerakan ekonomi yang tidak terkawal yang merosakkan alam sekitar, hidupan laut dan sungai, bahkan merosakkan bukit dan kawasan tadahan air.

Nelayan gergasi pukat tunda yang dikuasai oleh pihak yang besar dan tinggi pula mengatasi pihak penguat kuasa laut dan darat. Benarlah keadaan ini sebagaimana firman Allah SWT:

﴿ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ٤١﴾

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah al-Rum: 41)

Ketegangan Antarabangsa

Perang dingin yang berlaku dahulu menandakan pertukaran ke arah peperangan yang membakar.

Kita sedang menyaksikan Perang Ukraine-Rusia disebabkan provokasi Barat terhadap negara jiran yang menjadi pencabarnya. Maka, Eropah dan kemungkinan Asia Timur, Laut China Selatan juga akan dijadikan medan perang dahsyat.

Iktibar perlu diambil daripada pengalaman dua perang dunia yang mengorbankan rakyat negeri-negeri tanah jajahan yang dijadikan medan perang lebih besar jumlahnya daripada negara kuasa besar yang berperang.

Kita mengharapkan Perdana Menteri yang lebih rapat kepada Amerika Syarikat dan Barat, perlu lebih berhati-hati dan bersikap tegas dengan sikap berkecuali tidak mengizinkan rantau Asia Tenggara sekali lagi menjadi medan perang kuasa besar yang bertarung atau menjadi proksi kepada mana-mana pihak.

Kita menyaksikan Asia Barat atau Timur Tengah menjadi kawasan yang paling panas membakar, apabila negara haram Israel dijadikan proksi bagi menjaga kepentingan kuasa besar yang memonopoli kawasan yang kaya dengan sumber tenaga terkini.

Rakyat Palestin menjadi mangsa kezaliman penubuhan negara haram itu pada tahun 1948. Rumah, kebun, kedai dirampas dan dimusnahkan. Perkara ini diketahui oleh masyarakat antarabangsa, tetapi tiada apa-apa tindakan dan jauh sekali hukuman terhadap kezaliman yang berlaku sehingga kini.

Apa yang dilakukan dengan apa yang dinamakan penyelesaian dua negara (two-state solution) bagi Palestin hanyalah penipuan bagi memberi peluang ke arah satu negara Israel yang menjadi perjuangannya dengan mendapat perlindungan negara Barat yang mendukungnya.

Israel menolak penyelesaian dua negara dengan bertindak meneruskan kemasukan pendatang Yahudi dan merampas, merobohkan rumah-rumah kediaman, kedai dan kebun kepunyaan rakyat Palestin sejak berabad-abad dan beberapa generasi lamanya. Negara-negara besar yang menubuhkan Israel dahulu terus memberikan perlindungan diplomatik dan bantuan senjata yang bertali arus termasuk senjata pemusnah yang diharamkan, tetapi halal kepada Israel.

Dalam menghadapi dunia yang tidak berlaku adil, maka kita perlu bergabung dengan negara sahabat yang berjiran dan bersaudara seagama dan serumpun.

Dalam keadaan kita dikurniakan sumber alam yang kaya, tenaga manusia dan kedudukan strategik dalam peta dunia, sepatutnya kita berjaya menjadi sebuah negara maju. Tetapi negara kita terus berada dalam senarai negara sedang membangun.

Penutup

Walaupun bajet yang telah dibentangkan dengan jumlah kewangan yang besar dan janji-janji yang banyak. Ucapannya didahulukan dengan ucapan Nabi Yusuf AS yang disebutkan dalam al-Quran:

﴿قَالَ ٱجۡعَلۡنِي عَلَىٰ خَزَآئِنِ ٱلۡأَرۡضِۖ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٞ٥٥﴾

“Berkata Yusuf: ‘Jadikanlah aku yang menjaga perbendaharaan negara (Mesir); sesungguhnya aku ialah seorang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan.’” (Surah Yusuf: 55)

Ayat ini pernah diucapkan beberapa kali oleh orang yang sama, ketika menjadi Menteri Kewangan beberapa penggal pada tahun 90-an. Tetapi hasilnya tidak seperti Nabi Yusuf AS. Hasilnya meninggalkan budaya politik rasuah dalam partinya pada masa itu.

Sebabnya Nabi Yusuf AS dikawal oleh wahyu, tidak seperti orang lain yang bukan nabi, bergantung kepada ketaqwaan dalam diri, sebagaimana yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:

﴿وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَٰهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ٩٦﴾

“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri itu beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.” (Surah al-A‘raf: 96).

Sekian, terima kasih.

YB TAN SRI DATO’ SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
Timbalan Ketua Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL
Ahli Parlimen Marang – HARAKAHDAILY 28/2/2023

- Advertisement -