AUKU 1971 masih tergantung

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN – Indera Mahkota) meminta penjelasan kerajaan mengenai pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

- Advertisement -

Katanya, akta berkenaan sepatutnya telah dipinda, tetapi sehingga kini masih lagi tergantung.

“Saya nak bertanya dulu Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Seksyen 15 yang memberi kebebasan politik kepada mahasiswa dipinda bukan semasa Tambun menjadi Timbalan Perdana Menteri, tetapi semasa Pekan menjadi Perdana Menteri

“Ada dua orang Ahli Parlimen sekarang yang dulu terlibat sama dalam proses itu antaranya Yang Berhormat Setiawangsa dan Bangi. Begitu juga bekas Ahli Parlimen, Nurul Izzah dan Tony Pua Kiam Wee dan Presiden Bar Council (Majlis Peguam),” katanya ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Justeru, beliau meminta kerajaan menyatakan pendekatan yang akan diambil sekiranya AUKU dimansuhkan.

Berdasarkan soalan asalnya, beliau meminta kerajaan menyatakan adakah kerajaan berhasrat mencadangkan kepada Dewan Rakyat, butiran khusus berkaitan reformasi komprehensif terhadap sistem dan institusi negara, termasuk reformasi Parlimen dan meneruskan inisiatif reformasi yang pernah diusahakan sebelum ini.

Beliau juga bertanyakan adakah kerajaan akan mencadangkan proses perundingan yang inklusif bagi melaksanakan agenda reformasi tersebut. – HARAKAHDAILY 28/2/23

- Advertisement -