Kelantan tingkat kualiti air sungai

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan menggunakan sistem Infinitesimal Quantum Persistent Reflection (IQPR) bagi meningkatkan kualiti air dan keindahan sungai di negeri itu.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Datuk Dr Izani Husin berkata, usaha tersebut dilakukan bagi menangani masalah air sungai yang keruh.

Menurutnya, sistem iQPR bertujuan menjernihkan air sungai seperti yang dilaksanakan kerajaan Pulau Pinang.

“Ramai yang keliru mengenai air keruh dan air sungai kotor yang tidak serupa keadaannya. Air kotor mengandungi racun, e-coli dan bakteria daripada sampah yang dibuang dalam sungai,” katanya kepada pemberita selepas program gotong-royong pengindahan di Taman Rekreasi Sungai Keladi, di sini hari ini. (Foto atas)

Dr Izani berkata ramai beranggapan Sungai Kelantan kotor, sedangkan ia hanya keruh disebabkan beberapa faktor seperti sungai cetek apabila berlaku pemendapan dan sebagainya.

“Kerajaan negeri sedang mendalamkan Sungai Kelantan dengan melantik syarikat konsesi untuk kerja menjernihkan sungai secara semulajadi dan bersistematik.

“Kelestarian sungai akan dilakukan secara berperingkat termasuk di Jeli dan Kuala Krai serta menaik taraf pantai dengan melibatkan kerjasama masyarakat untuk menjaga kebersihan di kawasan sekitar,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/2/2023

- Advertisement -