Shaharizukirnain pertikai menteri tidak jawab soalan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan tidak menjawab soalan adakah mana-mana negeri di negara ini menggunakan model perumahan dilaksanakan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura.

- Advertisement -

Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) berkata, soalan tambahannya mengenai perkara itu tidak dijawab oleh Nga Kor Ming.

Beliau bangun selepas Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor, beralih kepada soalan lain sebelum memperjelaskan isu itu.

Ramli meneruskan kepada soalan lain selepas menteri berkenaan menjawab soalan asal ditanya Ahli Parlimen Setiu ketika sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Datuk Dr Ismail Abd Mutalib (PN-Maran) ketika bangun mencelah turut menganggap Kor Ming tidak menjawab soalan tambahan Setiu.

Shaharizukirnain sebelum itu dalam soalan tambahan memberitahu kira-kira 6.1 juta rakyat di negara ini yang mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 berbanding rakyat Singapura yang mempunyai tahap pendapatan tinggi.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan bagaimana kerajaan hendak membantu rakyat negara ini memiliki rumah sendiri dengan jumlah simpanan yang begitu kecil.

Kor Ming menjelaskan bahawa kerajaan belajar dari pelbagai negara bagi mengatasi masalah perumahan di negara ini, termasuk Indonesia, Thailand dan Singapuran.

Sebelum ini, beliau memberitahu bahawa kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) akan mendapatkan khidmat pakar dari HDB bagi membangunkan projek perumahan di negara ini.

Bagaimanapun, cadangan itu mendapat bantahan pelbagai pihak dengan mengambil contoh penduduk Melayu di Singapura terpinggir ekoran perancangan pembangunan dilaksanakan HDB.

Baru-baru ini, Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa mendakwa penduduk Melayu Geylang di Singapura hanya tinggal 20 peratus selepas HDB diwujudkan pada 1960. Sedangkan sebelum ini Geylang didiami 90 peratus orang Melayu. – HARAKAHDAILY 23/2/23

- Advertisement -