Ringankan beban rakyat yang terlibat kes undang-undang

- Advertisement -

EKONOMI yang teruk menjejaskan hidup rakyat, bukan sahaja dalam bentuk peningkatan harga barangan dan makanan asas, tetapi hari ini makin ramai yang kehilangan kerja.

Sudah pasti mereka ini tidak mampu mendapatkan nasihat guaman daripada peguam sekiranya diberhentikan tanpa mengikut proses undang-undang. Bagaimana pula sekiranya mereka ini turut mengalami masalah keluarga seperti perceraian susulan tekanan-tekanan ekonomi tersebut?

Dalam keadaan begini, kos guaman yang tinggi menjadi penghalang kepada rakyat yang kurang berkemampuan untuk mendapat akses terhadap keadilan sedangkan ia merupakan hak yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. 

Apa kerajaan perlu lakukan untuk melindungi nasib rakyat yang ditimpa kesusahan dalam keadaan ekonomi yang sukar begini?

Ketika ini, organisasi kerajaan yang ditugaskan untuk memberikan bantuan guaman kepada rakyat adalah Jabatan Bantuan Guaman Malaysia (JBG) dan Yayasan Bantuan Guaman Kerajaan (YBGK). 

Namun begitu, kriteria dan saringan yang ketat terhadap kategori pemohon menjadikan bantuan ini sangat terhad. Kerajaan wajar mengkaji semula sistem bantuan guaman sedia ada bagi memastikan bantuan guaman tersebut sampai kepada pihak-pihak yang memerlukan.

Pada masa yang sama, tidak cukup sekadar mengemukakan cadangan mereformasi sistem bantuan guaman, tetapi langkah yang lebih praktikal dan tidak memerlukan kos yang tinggi perlu dicari segera. 

Cara paling mudah dan efisien untuk membantu rakyat dalam isu-isu sosial sebenarnya adalah dengan meningkatkan literasi undang-undang.

Apabila rakyat tahu dan faham akan hak-hak yang sepatutnya mereka miliki, maka peluang untuk mendapatkannya akan terbuka luas kepada semua golongan masyarakat daripada semua bangsa dan agama. 

Bagi menjayakan hal ini, program-program literasi undang-undang kepada rakyat awam perlu diperluas kepada semua kementerian, di samping meningkatkan usahasama strategik dengan agensi-agensi yang berada di bawah kerajaan negeri.

Sebelum ini, bekas Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah memperkenalkan Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka. Klinik ini berjaya menyelesaikan sejumlah 29,423 kes iaitu pengurangan 40 peratus daripada tunggakan sedia ada.

Inisiatif bantuan seperti ini dapat membantu rakyat tanpa perlu mereka membawa kes pembahagian ke mahkamah yang pastinya memerlukan kos khidmat guaman yang tinggi.

Sewajarnya usaha ini diteruskan oleh kerajaan hari ini dengan menaik taraf klinik tersebut kepada satu jabatan yang khusus terutamanya bagi menyantuni masalah harta pusaka di kawasan pinggir bandar dan pedalaman. 

Ketika ini Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) melalui Bahagian Pembahagian Pusaka menjadi satu-satunya jabatan kerajaan yang memberi perkhidmatan pembahagian harta pusaka di Malaysia.

Model ini juga boleh diikuti oleh kementerian lain misalnya dalam isu-isu membabitkan skim keselamatan sosial yang diuruskan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), iaitu salah sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Sumber Manusia. 

Dalam situasi ekonomi yang getir ini, PERKESO perlu lebih giat turun ke lapangan dalam memastikan input-input berkaitan dengan pelan bantuan dan faedah yang disediakan oleh pertubuhan tersebut sampai kepada rakyat.

Seterusnya, kerajaan perlu meneroka lebih banyak ruang kerjasama bersama kerajaan negeri dalam mengkoordinasi khidmat bantuan guaman kepada golongan asnaf di negeri-negeri. Banyak usaha-usaha yang telah dibuat di peringkat negeri terutamanya dalam meringankan beban asnaf yang mempunyai kes di Mahkamah Syariah.

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Terengganu (MAIDAM) contohnya, telah bekerjasama pula dengan Persatuan Peguam Syarie Terengganu (PPST) bagi memperkenal Bantuan Guaman Asnaf Ar-Riqb iaitu khidmat guaman secara percuma yang ditawarkan kepada wanita asnaf. 

Bantuan disediakan membabitkan empat jenis kes iaitu nafkah isteri, nafkah anak, penceraian secara ta’liq dan penceraian secara fasakh.

Di Negeri Sembilan pula, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan tiga agensi Kerajaan Negeri Sembilan bagi Projek Rintis Perkhidmatan Kaunseling Perkahwinan dan Keluarga.

Dalam suasana ekonomi yang meruncing, banyak masalah-masalah keluarga yang melibatkan pengabaian tanggungjawab dan nafkah. Hal ini boleh diselesaikan dalam bentuk pre-mediasi melalui perkhidmatan kaunseling perkahwinan dan keluarga oleh Kaunselor Berdaftar LPPKN, sebagai satu bentuk bantuan awal sebelum pihak-pihak membuat keputusan untuk ke Mahkamah.

Sekiranya kerajaan dapat mewujudkan satu mekanisme khusus, inisiatif ini boleh dilebarkan lagi ke negeri-negeri lain dan model yang sama dapat diguna pakai untuk kes-kes sivil dan jenayah lain yang membabitkan asnaf. Hal ini juga dapat mengurangkan kebergantungan rakyat kepada Jabatan Bantuan Guaman (JBG) dan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang perkhidmatannya terhad.

Akses kepada keadilan sepatutnya dimiliki oleh semua rakyat tanpa ada diskriminasi. Meningkatkan literasi undang-undang adalah satu bentuk aplikasi jaminan sosial yang cepat, mudah dan murah yang boleh ditawarkan kepada rakyat yang tidak berkemampuan.

YB DATO’ MUMTAZ MD NAWI
Ahli Parlimen Tumpat – HARAKAHDAILY 23/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -