MP kagum ATM berjaya halang penyeludupan daun ketum

- Advertisement -

PADANG TERAP: Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid merakam ucapan tahniah di atas kejayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menumpas cubaan penyeludupan daun ketum di daerah berkenaan.

- Advertisement -

Katanya, pasukan Operasi Tentera Darat ATM berjaya menghalang cubaan menyeludup keluar daun ketum ke negara jiran kira-kira jam 12.30 petang semalam.

“Saya mengucap tahniah khususnya di atas kecekapan dan ketangkasan pasukan ATM khususnya Tentera Darat Malaysia kerana berjaya menumpas serta menghalang percubaan penyeludupan berkenaan,” katanya pada kenyataan hari ini.

Semalam anggota tentera yang membuat rondaan berjaya mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda di kawasan operasi kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand.

Kenderaan bernombor pendaftaran Thailand itu dipercayai membawa daun ketum seberat satu tan dianggar bernilai RM38,000 dan cuba dibawa ke negara jiran.

Nurul Amin berkata, kecekapan dan ketangkasan pasukan keselamatan wajar diberi pujian kerana berjaya menjaga keselamatan sempadan negara.

“Semoga kedaulatan dan keselamatan negara akan terus dipertahankan daripada sebarang anasir yang menggugat tanah air tercinta,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 23/2/2023

- Advertisement -