Kuarters selesa kurangkan tentera tinggal luar

Bakri Jamaluddin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kuarters yang selesa dan kondusif akan dapat mengurangkan kadar anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tinggal di luar kem.

- Advertisement -

Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) berkata, ini penting kerana memberi kesan kepada response rate (kadar gerak balas) anggota jika berlaku kecemasan melibatkan keselamatan negara.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan berhubung isu penyelenggaraan kuarters tentera ketika sesi soalan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

“Apakah ada perancangan kerajaan untuk menggantikan kuarters kelamin lama dan usang seperti flat empat tingkat dengan dua bilik termasuk berek bujang berumur lebih 50 tahun di Kem Terendak dengan rumah-rumah dan berek baru yang lebih kondusif dan menambah bilangan unit?

“Bagi memenuhi keperluan semasa ATM dan memiliki kemudahan awam seperti dewan serbaguna, tadika, kebersihan memiliki sistem perparitan dan pembuangan sampah dan kumbahan yang lebih sistematik,” soalnya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka berkata, walaupun ada usaha pengubahsuaian dengan mengubah dua unit rumah lama menjadi satu, ternyata kerja yang dijalankan tidak memenuhi keperluan keluarga moden hari ini.

Katanya, walaupun Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari ketika menjawab soalan asalnya, menyatakan bahawa penyelenggaraan memang dijalankan, namun masalah isu penyelenggaraan kerosakan termasuk pembuangan dan pelupusan sampah kuarters kelamin hakikatnya sangat buruk.

“Bagaimana prestasi kontraktor dinilai apabila anggota tidak boleh membuat aduan ke media sosial seperti orang awam? Adakah mekanisme aduan berkesan wujud dan diberi perhatian oleh kementerian?” katanya.

Menjawab soalan asal, Adly berkata, dua agensi pelaksana dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan penyelenggaraan, iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan (BPKP) Markas ATM.

“Pada tahun ini, usul Peruntukan Sementara dibentangkan pada sidang Parlimen Disember tahun lalu telah meluluskan peruntukan sebanyak RM58.9 juta bagi peruntukan penyelenggaraan bagi tahun 2023.

“Ia akan bergantung kepada kelulusan pembentangan Bajet yang akan diadakan esok. Penyelenggaraan kuarters tentera di Melaka untuk makluman, pada tahun 2023 melibatkan 489 buah kuarters, iaitu di bawah pasukan Markas Garison Terendak Staf Pangkalan dan 96 Depot Bekalan Peluru (DBP),” katanya. – HARAKAHDAILY 23/2/23

- Advertisement -