Bukit Kepong: Sejarah yang tidak akan dilupakan

- Advertisement -

PERISTIWA serangan Bukit Kepong ialah kejadian serangan Komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong oleh sekumpulan 180 orang Komunis bermula sekitar jam 5:00 pagi, pada 23 Februari 1950.

Kejadian ini bermula sebelum subuh apabila pihak Komunis melancarkan serangan gerila ke Balai Polis. Ia berakhir dengan tragik dalam pertumpahan darah di mana penyerang membunuh hampir kesemua pegawai polis yang bertugas di situ.

Dalam kejadian tersebut, sekitar 25 orang anggota polis berjuang habis-habisan termasuk dua orang isteri anggota polis turut mengangkat senjata apabila mendapati suami mereka terkorban dan terus bertempur bersama anggota-anggota lain sehingga kehabisan peluru.

Menurut kandungan buku ‘Memoir Abdullah C.D.’, dan Dialogues with Chin Peng: new light on the Malayan Communist Party By C. C. Chin, Karl Hack; turut dinyatakan peranan beberapa ‘orang dalam’ yang memudahkan serangan pihak komunis. Kejadian ini telah meragut nyawa 19 orang anggota polis dan sejumlah 40 tentera Komunis.

Pihak Komunis hendak menjadikan contoh dari serangan itu tentang apa yang akan terjadi kepada mereka yang menentang perjuangan Komunis. 

Mengambil iktibar dari peristiwa hitam ini, banyak perkara yang perlu diteladani oleh anak bangsa hari ini.

Semangat juang yang tinggi

Biar pun dikepong oleh 180 orang musuh, berbanding anggota yang sedikit, pasukan polis terus membalas serangan. Difahamkan pasukan polis menerima beberapa tawaran serah diri, mereka tetap dengan pendirian mempertahankan kubu terakhir mereka.

Anggota polis juga menyusun strategi agar peluru mereka mampu bertahan lebih lama sehingga bantuan tiba. Ternyata mereka berjuang sehingga bedilan peluru terakhir,

Bersatu teguh 

Direkodkan dalam kejadian ini, orang kampung warga tempatan juga turut sama membantu dalam pertempuran. Malah mereka telah sama memberi kerjasama yang baik kepada pasukan polis untuk menjaga keselamatan sejak semasa darurat. Kesatuan mereka sebenarnya pernah menggerunkan pihak komunis, hanya sehingga berlakunya pengkhianatan dari dalam.

Sentiasa bersiap siaga

Pihak Komunis melihat kelebihan keanggotaan mereka (180 orang) sebagai faktor kemenangan, selain bekalan senjata. Maka kita hari ini juga perlu mempersiapkan segala keperluan, fizikal mahupun mental, ilmu pertahanan juga ilmu agama, dengan segala kemungkinan. Senjata musuh hari ini bukan lagi ledakan yang mencacatkan tubuh, tetapi senjata yang membunuh akal, akidah, dan keimanan.

Pengkhianatan itu memusnahkan

Dilaporkan pengkhianatan yang berlaku tidak memerlukan ramai orang dari dalam, tetapi dengan hanya beberapa orang sahaja. Turut difahamkan, bukanlah maksud sebenar untuk mengkhianati tanah air, tetapi asbab termakan dengan tipu helah komunis. Pengkhianatan itu bukan bersifat perkauman, tetapi ia adalah kelonggaran jati diri yang dimamah musuh.

Kekejaman Komunis

Seperti direkodkan juga, ada keluarga anggota polis, isteri dan anak anggota yang dicampak dalam api hidup-hidup biar pun komunis telah selesai menawan balai polis, malah serangan telah berhenti. Juga menarik untuk dilihat kononnya serangan dibuat hanya bersifat amaran akan tetapi sehingga meragut nyawa.

Malah serangan yang dikatakan amaran berubah menjadi gerila dengan kekuatan dan kesombongan, akhirnya memusnahkan bukan sahaja premis balai polis, tetapi termasuk jasad dibakar tanpa belas.

Begitulah tinggi waspada kita hari ini. Perlu berhati-hati dalam menelan janji. Perlu cegah kemungkaran, tidak perlu ada. Perlu dipersiapkan ilmu di dada. Komunis bukan pilihan untuk dibuat bersaudara. Jika kita kuat, mereka tiada. Perlunya kita bermuafakat, bersependapat, mencari berkat. Pentingnya saat berkuasa kita mendominasi. Agar haba tidak menjadi bara, api tidak mampu menyala.

USTAZ AHMAD NAWFAL DATO’ MAHFODZ 
Ketua Pemuda
PAS Negeri Johor 
PERIKATAN NASIONAL Negeri Johor
23 Februari 2023 – HARAKAHDAILY 23/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -