SOROTAN daripada perbahasan Titah Diraja DYMM YDPA pada 22 Februari 2023 yang lalu oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, YB Ahmad Fadhli Shaari telah menyentuh berkenaan elaun pelatih industri selari dengan kejayaan pindaan Akta Kerja oleh kerajaan.
Pindaan Akta Kerja ini yang telah berkuatkuasa pada 1 Januari 2023 telah berjaya meliputi beberapa perkara antaranya ialah waktu kerja yang dihadkan kepada 45 jam seminggu, cuti bersalin dipanjangkan dari 60 hari kepada 98 hari beserta elaun bersalin, dan beberapa perkara lagi yang semestinya memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.
Sehubungan dengan itu, sebagai mahasiswa, saya amat menyokong sepenuhnya perbahasan oleh YB Ahmad Fadhli Shaari dalam menyuarakan pendapat berkenaan elaun pelatih industri di mana kerajaan ketika ini perlu mengambil langkah campur tangan dalam sektor swasta dengan menguatkuasakan pemberian elaun wajib oleh sektor swasta kepada semua pelatih industri.
Sehingga hari ini, kerajaan masih tidak menyediakan sebarang garis panduan kepada majikan berhubung isu pemberian elaun kepada pelatih industri. Pendedahan kepada alam pekerjaan amat penting untuk kami berhadapan dengan dunia sebenar yang kian mencabar.
Sepatutnya pelatih industri juga perlu dibayar sepertimana pekerja lain, kerana hakikatnya kami juga bekerja dan memerlukan kos untuk menampung perbelanjaan harian seperti makan minum, kos pengangkutan serta sewa penempatan. Kekangan seperti ini akan menyukarkan lagi urusan latihan industri dalam tempoh pengajian lebih-lebih lagi kepada pelatih industri dari keluarga kelompok B40.
Anak muda dan mahasiswa pasti amat mengharapkan agar supaya kerajaan bersungguh-sungguh dan segera menyelesaikan isu yang berulang kali diperdebatkan seolah-olah mahasiswa tidak berkepentingan dalam membangunkan negara. Semoga nasib dan hak para mahasiswa terus dibela dan tidak lagi dipandang remeh oleh ramai pihak.
KAMIL ARIF BAIHAGI
SiswaPAS UPM – HARAKAHDAILY 23/2/2023
Elaun latihan industri: Raikan hak mahasiswa
- Advertisement -