Peribumi dan warga hijrah hidup harmoni kerana toleransi

- Advertisement -

ALLAH yang menjadikan manusia sebagai lelaki dan perempuan, berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kita saling kenal mengenal antara satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia di antara manusia ialah yang paling bertakwa.

Setiap bangsa dikhususkan bumi untuk mereka. Orang India ada negara India, orang Cina di China, orang Rusia di Rusia, orang Arab di bumi Arab sehingga orang Eskimo pun ada bumi khusus untuk mereka. Orang Melayu di Kepulauan Melayu atau Malay Archipelago

Kemudian berlaku penghijrahan atas pelbagai faktor. Antaranya, kini ada orang Arab duduk di Perancis, orang Inggeris duduk di Australia walau Australia bukan bumi asal mereka, orang Amerika duduk di Amerika walau sebenarnya penduduk asal Amerika ialah Red Indian dan banyak lagi penghijrahan yang berlaku. Malay Archipelago tak terkecuali dari menerima penghijrahan besar-besaran ini sama ada dari India atau tanah besar China. 

Semua yang berhijrah atau pendatang ini diterima baik untuk hidup bersama penduduk asal peribumi. Inilah realiti yang ada di Malaysia. Tapi ia tak akan melenyapkan fakta bahawa orang Melayu ialah penduduk asal Malay Archipelago khususnya di Tanah Melayu.

Sebagai penduduk asal, tentunya ada hak-hak keistimewaan yang termaktub dalam undang-undang untuk orang Melayu tanpa perlu dipertikaikan oleh sesiapa. 

Masyarakat bukan Islam boleh hidup aman damai dalam sebuah negara majoriti umat Islam seperti Malaysia dengan pelbagai keistimewaan. Minoriti orang Islam belum tentu boleh hidup aman damai di negara majoriti bukan Islam. Inilah ajaran agama Islam yang membentuk toleransi beragama. 

Walau umat Islam bertoleransi kerana ini adalah perintah Allah, tapi jangan dilanggar garis merah.

YB DR AZMAN IBRAHIM
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu – HARAKAHDAILY 21/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -