AMAL bantu LKKPP percepat proses bina Rumah Budi

- Advertisement -

GOMBAK: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat (LKKPP) giat menjalankan usaha-usaha membantu para asnaf membina semula rumah mereka yang daif kepada kediaman yang lebih selesa untuk kehidupan keluarga.

Usaha ini telah dan sedang dilaksanakan di seluruh negara dengan kerjasama dan penglibatan anggota Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Kawasan Gombak serta badan bukan kerajaan (NGO) Syabab Care dan juga masyarakat sekitar.

Timbalan Pengerusi LKKPP, YB Ustaz Rosli Abd Jabar memaklumkan, sebelum ini LKKPP telah membina kediaman seumpama dipanggil ‘Rumah Budi’ di Negeri Pahang dan mendapat permintaan yang tinggi di negeri itu. 

Walau bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pahang memberitahu, pembinaan Rumah Budi ini menyarankan pihak asnaf yang dibantu itu haruslah bagi kediaman di atas tanah sendiri.

Pengerusi LKKPP, Dr Rosni Adam dalam pada itu semasa mesyuarat induk baru-baru ini menyatakan bahawa ramai golongan asnaf memerlukan tempat perlindungan, oleh itu keutamaan LKKPP adalah membina rumah bagi asnaf yang amat-amat memerlukan.

“LKKPP mampu membantu merobohkan rumah yang lama dengan kerjasama daripada Jabatan Amal seterusnya membina semula rumah dengan anggaran kos sebanyak RM70,000 sehingga RM75,000,” tambahnya.

Hari ini, fasa roboh rumah Siti Norehan Binti Jamaluddin, 55 tahun telah dilaksanakan di bawah arahan dan pantauan Pengerusi PAS Cawangan Kampung Melayu, Khalid Mohd Nor melibatkan seramai 28 tenaga sukarela.

Mereka termasuk Ahli Jawatankuasa LKKPP, Jabatan Amal Gombak, ahli keluarga beliau serta beberapa orang penduduk setempat yang terlibat bagi membantu proses percepat pembinaan rumah tersebut.

Dalam pada itu, menurut Ketua Jabatan Amal Gombak, Mohd Rasdi Mohd Yidin, ini adalah kali pertama kerjasama mereka bersama LKKPP di mana beliau turut melahirkan rasa syukur kerana dapat membantu golongan asnaf yang memerlukan tempat tinggal.

“Dengan ada inisiatif seperti ini, membantu juga orang ramai membuat amal kebajikan tanpa putus bekalan pahalanya kerana dengan nilai RM1 sahaja akan terus kami salurkan untuk membeli keperluan pembinaan rumah budi ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/2/2023

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!