KUALA LUMPUR: Tambakan tanah di tapak projek perumahan baharu perlu dipandang serius kerana akan menyebabkan kawasan sekitar menjadi rendah, sekali gus menyebabkan banjir berlaku.
Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) berkata, situasi itu juga menyebabkan kerajaan perlu menyediakan beberapa langkah kawalan.
“Apabila projek baharu dimulakan, pemaju akan menambak tanah agar kawasan projek perumahan menjadi tinggi supaya tidak dilanda banjir.
“Kesannya, kawasan perumahan lama atau kampung berdekatan projek perumahan baharu akan menjadi rendah. Contohnya di Kempadang Makmur, Kempadang Sejahtera, Permatang Gaharu, Kampung Anak Air dan Kampung kempadang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, Akmal Nasrulah memberi jaminan mengambil maklum berkaitan isu yang dibangkitkan untuk dipertimbangkan.
Mengikut soalan asal, Wan Razali meminta kementerian menyatakan jumlah projek perumahan baharu serta bilangan unit rumah mengikut pengkelasan kategori rumah di seluruh negara bagi tempoh lima tahun terakhir.- HARAKAHDAILY 21/2/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!