Henti tekanan kepada kebebasan suara anak muda

Hishamuddin Abdul Karim
- Advertisement -

NEGARA kita di bawah Kerajaan PH-BN telah bergerak ke belakang dalam soal kebebasan bersuara.  Pelbagai tekanan dan intimidasi politik dikenakan kepada anak muda yang bersuara menyampaikan kritikan dan pandangan kritikal kepada kerajaan yang ada pada hari ini.

- Advertisement -

Beberapa hari lepas kita dikejutkan dengan serangan bertali arus yang telah dihalakan kepada TikTokers Wanita Benda Betul oleh cybertrooper sehingga tahap melakukan buli siber, penghinaan, ejekan tubuh dan gangguan seksual. Hujah tidak lagi mampu dijawab dengan hujah kecuali dengan serangan dan kekerasan.

Apakah layanan jahat dan tidak bertamadun terhadap anak muda wanita ini selari dengan Malaysia Madani yang digagaskan oleh Perdana Menteri? Lebih malang pembulian maya yang berlaku ini dipandang sepi oleh pihak kerajaan terutamanya Kementerian Komunikasi dan Digital.

Apakah tindakan ini dilakukan kerana kerajaan PH-BN mahu membalas dendam dan menghukum anak muda yang tidak mengundi mereka dalam PRU15 yang lalu? Saya yakin ramai bijaksana dalam PH-BN akan melihat tindakan ini makin menjauhkan anak muda daripada PH.

Mengambil kesempatan ini saya ingin mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) yang menyantuni anak muda dengan cara yang jauh berbeza daripada PH-BN. Sejak parlimen bersidang hingga hari ini, tidak putus-putus ahli parlimen PN bangun berucap dan mempertahankan kebebasan bersuara anak muda TikTokers. Sudah pasti tindakan dan pendekatan PN ini akan menarik lebih ramai anak muda terutamanya TikTokers untuk bersama bantera PN.

Malah di Terengganu, pada minggu ini telah diadakan Persidangan ADUN Belia selama tiga hari sebagai salah satu platform untuk anak muda Terengganu menyampaikan pandangan, idea, kritikan bahkan teguran secara terus dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu untuk diambil perhatian oleh pihak Kerajaan Negeri.

Kita berharap kebebasan bersuara anak muda pada hari ini tidak ditekan dan dipenjarakan oleh pihak-pihak tertentu.

YB USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Ketua Penerangan PAS Terengganu – HARAKAHDAILY 20/2/2023

- Advertisement -