Kerajaan PH-BN gemar robek kisah lama

Sebahagian Ahli Parlimen Perikatan Nasional pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Majlis Parlimen Kelima Belas di Dewan Rakyat, Isnin lalu.
- Advertisement -

JARANG berlaku ketua kerajaan berulang kali melemparkan dakwaan hampir serupa kepada kumpulan oposisi. Lebih pelik lagi isu sama, namun dakwaan jumlah diseleweng berbeza-beza.

- Advertisement -

Kalau perbicaraan di mahkamah awal-awal lagi mungkin ditolak hakim. Setiap bukti perlu konsisten. Ia penting bagi menyakinkan pihak lain. Namun apa yang berlaku sekarang tidak nampak begitu.

“Ahli Parlimen Tambun mengambil tindakan mencari salah, kesalahan kerajaan dahulu yang tak wujud dicari, yang tak ada diada-adakan, melemparkan tuduhan yang bukan-bukan.

“Kononnya saya selewengkan RM600 bilion, kemudian tukar RM530 bilion, lepas itu RM90 bilion, kemudian RM4.5 bilion, lepas itu RM300 juta, Perdana Menteri sendiri yang cakap begini.

“Apa yang disebut RM600 bilion merupakan pakej rangsangan ekonomi, bahkan Menteri Ekonomi dan Menteri Kewangan pun tahu. Kenapa buat begitu, tak betul,” kata Muhyiddin Yassin ketika membahas Titah Diraja pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Oleh itu, Pengerusi Perikatan Nasional mahu perdana menteri tidak menyalahgunakan kuasa untuk mencipta persepsi buruk terhadap PN.

SPRM juga diminta siasat akaun Bersatu. Kerajaan PH-BN kelihatan hairan dari mana Bersatu mendapat wang yang didakwa begitu banyak.

Seperti kata Muhyiddin selepas penyiasat tidak menemui dakwaan wujud RM300 juta dalam akaun Bersatu, mereka pergi pula ke Pejabat Bersatu Pagoh.

Drama bersiri yang dipersembahkan kerajaan sekarang tidak terhenti di situ. Portal berita turut melapor ada arahan menyiasat pemberian kontrak bernilai RM1.16 bilion kepada menantu bekas perdana menteri.

Dan sekali lagi Muhyiddin menafikan segala dakwaan itu. Katanya tiada mana-mana ahli keluarganya mempunyai kepentingan dalam IRIS Corporation Berhad sama ada sebagai pengarah syarikat atau pemegang saham.

Menurutnya beliau cuba dikaitkan pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada syarikat IRIS Corporation Berhad.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini. Ia adalah fitnah jahat yang sengaja direka untuk mencalar maruah saya dan keluarga,” katanya pada kenyataan.

Malah kata beliau proses perolehan kontrak dibuat mengikut tatacara perolehan kerajaan di bawah seliaan Kementerian Kewangan dan kementerian berkaitan.

Pembongkaran dakwaan penyelewengan kerajaan lama menjadi seperti agenda terancang. Kalau bahasa filem disebut sebagai drama bersiri.

Ada juga stesen televisyen sebut ‘Drama Sangat’. Kalau kita ‘relate’ dengan politik, ia sebagai salah satu strategi untuk melemahkan musuh. Dibongkar satu demi satu dakwaan penyelewengan.

Harapan mereka jelas supaya rakyat akan percaya. Malangnya ramai tidak yakin agenda terancang itu mudah terbenam ke dalam jiwa rakyat.

Biarpun bersiri pembongkaran dibuat kerajaan PH-BN, namun nampaknya bukti masih samar. Dan lebih pelik lagi setiap dakwaan berlumur politik dibuat selepas mesyuarat kabinet.

Terbaru PH-BN mendakwa perolehan vaksin Covid-19 tanpa persetujuan Peguam Negara. Nampak macam pelik kan. Kata Perdana Menteri Rabu lepas, perolehan vaksin Covid-19 dan kos yang dimuktamadkan sebelum ini tidak mematuhi peraturan.

Menurutnya seperti dilapor media, perolehan bagi vaksin telah ditandatangani Menteri Kesihatan tanpa mendapat persetujuan Peguam Negara.

Sedangkan pada 28 Julai 2021 Kementerian Kewangan menurunkan kuasa kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memuktamadkan perolehan vaksin di peringkat kementerian.

Langkah itu bagi memudahkan cara dan menyegerakan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). Malah, dilaporkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berpuas hati dengan keterangan MOSTI dan KKM mengenai perolehan dan penggunaan vaksin.

Ketika ribuan rakyat Malaysia menjadi mangsa Covid-19 kerajaan bertindak segera mendapatkan vaksin Covid-19 daripada pelbagai sumber. Antaranya Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac bagi kegunaan 32 juta rakyat Malaysia.

Isu tersebut sudah lama berlalu, tiba-tiba hari ini cuba dirobek semula kerajaan baharu. Cuma apa yang pelik apa kaitan pembelian vaksin dengan Peguam Negara.

Apa pun kita tertarik penjelasan bekas Menteri Kesihatan. Kata Khairy Jamaludin setiap pembelian vaksi dibentang kepada kabinet. Maknanya ia bukan lagi rahsia kerana mendapat persetujuan kabinet.

Selepas lama berlalu tiba-tiba kerajaan PH-BN mendakwa pembelian tanpa mendapat persetujuan Peguam Negara. Berikutan itu kata perdana menteri, kerajaan menyiapkan kertas putih mengenainya.

Menteri Kesihatan baharu dikatakan akan memperincikan kertas putih tersebut. Nak siasat apa sahaja yang meragukan elok sangat. Cuma ramai bimbang ia boleh membazirkan masa apabila menyiasat perkara yang pernah dipersetujui jemaah menteri.

Lebih baik kerajaan manfaatkan pengalaman pegawai awam untuk menangani kos sara rakyat. Ia semakin membebankan. – HARAKAHDAILY 15/2/2023

- Advertisement -