Bertani Satu Ibadah untuk keterjaminan makanan

Dato’ Mumtaz Md Nawi
- Advertisement -

SAYA ingin merakamkan ucapan tahniah kepada semua Ahli Parlimen yang telah memenangi pilihan raya baru-baru ini dan terima kasih kepada rakyat Malaysia telah memberikan kemenangan besar kepada Perikatan Nasional khususnya di negeri-negeri yang telah kita menjadi kerajaan dan insya-Allah akan mencapai kejayaan dalam PRN akan datang. Terima kasih juga saya berikan kepada pengundi di Tumpat yang telah memberikan mandat kepada saya untuk memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat.

- Advertisement -

Perkara pertama yang saya ingin tekankan dalam usul ini adalah pertama berkaitan dengan Perlembagaan Malaysia. Pada hari ini kita dibekalkan dengan satu buku yang dinamakan sebagai Perlembagaan Malaysia. Kita melihat bila mana ada masalah semua pihak akan merujuk kepada Perlembagaan Malaysia. Akan tetapi bila kita melihat dalam kehidupan seharian kita tidak nampak mana-mana pihak yang telah mengadakan pelan bersepadu bagi mendidik rakyat Malaysia memahami keseluruhan dan menghayati apakah prinsip-prinsip dalam Perlembagaan Malaysia khususnya berkaitan dengan Raja berperlembagaan, khususnya berkaitan dengan Demokrasi Berparlimen.

Kita mengharapkan selepas ini pihak kerajaan memastikan ada kementerian memastikan pendidikan persekutuan ini dapat difahami secara menyeluruh oleh rakyat. Oleh kerana di negara-negara lain kita melihat mereka sangat menghayati prinsip-prinsip Perlembagaan negara mereka tetapi dalam negara kita dengan mudahnya banyak pihak mempertikaikan apa sahaja prinsip yang telah pun terdapat dalam Perlembagaan Malaysia.

Kalau umat Islam mereka ada Al-Quran, sebagai rakyat Malaysia kita ada Perlembagaan Malaysia. Jadi haruslah kita semua memahami secara keseluruhan prinsip-prinsip yang ada di dalam ini dan mestilah melihat bagaimana ia telah menjadi sumber kepada perpaduan negara berdasarkan kepada sejarah. Dalam konteks ini penting kepada kita kembali kepada alat perpaduan yang telah pun diletakkan di dalam Perlembagaan Malaysia iaitu berkaitan dengan alat komunikasi iaitu bahasa Melayu.

Kita tidak mempertikaikan keperluan untuk mempelajari bahasa-bahasa lain tetapi penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmuan dan komunikasi harus dimartabatkan dengan sebaik-baiknya. Saya ingin tanya pihak kerajaan apakah peranan DBP dalam memartabatkan bahasa Malaysia bukan hanya di peringkat kebangsaan tetapi juga di peringkat antarabangsa. Kita lihat jati diri negara berkurang apabila mereka tidak pandai ataupun tidak menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa komunikasi di peringkat antarabangsa.

Dalam hal ini juga kita mahu melihat rakyat Malaysia yang memahami sejarah dan negara kita sangat unik kerana berlaku beberapa kali pertukaran kerajaan tanpa melibatkan pertumpahan darah. Ini demokrasi yang sangat mulia yang sangat perlu kita junjung. Jadi kita hendaklah memastikan bahawa tidak ada mana-mana pihak yang menggunakan bahasa yang berbeza untuk menghina atau mencerca mana-mana pihak khususnya untuk meretakkan perpaduan dalam negara dengan menggunakan bahasa ibunda masing-masing.

Sepatutnya untuk bahasa perpaduan gunakanlah bahasa Malaysia dengan sebaik-baiknya dan dalam masa yang sama berikanlah insentif kepada anak-anak yang boleh belajar banyak bahasa. Sebagai contohnya di Kelantan hampir kita mempunyai 93 buah sekolah agama yang mengajar tentang isu bahasa Arab, bahasa Inggeris dan juga bahasa Melayu. Akan tetapi kita melihat model perpaduan yang ada di Kelantan melibatkan orang Melayu, orang Cina, orang Siam. Di Tumpat merupakan satu lokasi yang sangat banyak tokong Buddha yang telah pun berada di sana beratus-ratus tahun. Tidak ada masalah pun.

Afnan Hamimi Taib Azamudden [Alor Setar]: Yang Berhormat Tumpat, minta laluan.

Dato’ Mumtaz Md Nawi [Tumpat]: Jadi sebenarnya kalau sama-sama menghormati, tidak ada masalah yang dapat kita lihat kepada masyarakat.

Afnan Hamimi Taib Azamudden [Alor Setar]: Sedikit, adakah Yang Berhormat bersetuju penggunaan bahasa Melayu juga patut dipertegaskan dalam surat rasmi kerajaan. Baru-baru ini ada penggunaan bahasa lain selain daripada bahasa Melayu. Sepatutnya kekal dengan bahasa Melayu. Adakah Yang Berhormat bersetuju?

Dato’ Mumtaz Md Nawi [Tumpat]: Saya setuju kerana ini merupakan satu imej sebuah negara. Kalau kita berada di negara Thailand, takkanlah menggunakan bahasa lain sebagai bahasa rasmi? Jadi kalau kita di Malaysia gunakanlah bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi. Janganlah sekali-kali kita mempertikaikan dan mengheret isu-isu yang tidak perlu dalam konteks ini. Jadi dalam hal ini penting kepada kita bahawa dalam hendak menjalankan kerja-kerja sebagai Kerajaan Madani.

Kita melihat contoh di Kelantan membangun bersama Islam, tidak ada masalah dari segi keharmonian kaum dan perpaduan dalam kalangan rakyat. Kita juga ingin melihat bagaimana dalam konteks ini kebimbangan yang diluahkan oleh Yang di-Pertuan Agong berkait dengan perpaduan ini supaya kita bersejarah. Nasib baik baharu-baharu ini kita melihat bagaimana telitinya Yang di-Pertuan Agong dalam menyelesaikan kemelut negara dan mahu melihat suatu model kerajaan yang benar-benar baik. Jadi kita mengharapkan keadilan yang disebutkan dapat dibuat oleh pihak kerajaan.

Seterusnya berkaitan dengan prasarana mesra keluarga. Perkara ini banyak telah dipertikaikan ataupun telah banyak disebut oleh kerajaan sebelum ini. Namun kita lihat hari ini accessibility kepada Prasarana Mesra Keluarga masih lagi di tahap yang membimbangkan dan menyedihkan. Sepatutnya Prasarana Mesra Keluarga, Prasarana Mesra OKU dipastikan dapat dipertingkatkan di semua sektor awam dan juga sektor korporat.

Dalam hal ini kita melihat bagaimana penghakisan hak-hak ini telah menyebabkan tidak ramai orang yang ingin membina keluarga kerana bagi mereka membina keluarga dan OKU ini sangat menyusahkan. Kita ingin melihat sini bahawa dalam konsep sebuah kerajaan dalam sebuah keluarga kita tidak mempunyai pilihan sama ada mempunyai anak kecil ataupun orang tua yang bermasalah.

Ini merupakan sebahagian daripada rakyat kita dan 15 percen daripada penduduk kita merupakan penduduk OKU. Dalam hal ini saya rasa penting kepada pihak kerajaan untuk memberikan bajet yang seimbang kepada pendidikan keibubapaan dan kekeluargaan. Hari ini saya difahamkan oleh pihak Lembaga Perancang Keluarga dalam negara kita bahawa lembaga ini perlu meminta bajet ataupun kewangan daripada pihak yang ingin menghadiri kursus keibubapaan walaupun dengan kadar yang minimum.

Saya mengharapkan pihak kerajaan untuk memberikan suatu peluang dan peruntukan yang munasabah untuk memastikan bahawa orang Malaysia yang ingin berkahwin yang ingin mendirikan rumah tangga diberikan pendidikan keibubapaan dan kekeluargaan kerana hari ini institusi keluarga sangat tercabar. Kita juga melihat bagaimana penjagaan hak kanak-kanak, sejauh manakah hak kanak-kanak ini dapat kita bela.

Hari ini kita melihat peruntukan yang telah diberikan kepada pendidikan sangat berorientasikan peperiksaan. Di manakah tempat ataupun syllabus yang boleh kita gunakan untuk memastikan bahawa anak-anak generasi Malaysia ini dididik dengan adab yang terbaik. Tidak ada sebarang langkah yang dibuat secara formal kerana hari ini kita lihat kanak-kanak dijaga oleh enam kementerian yang berbeza. Pihak kerajaan bercadang untuk menyelaraskan bantuan-bantuan atau pelan pendidikan ini supaya pendidikan anak anda dapat dipastikan mempunyai satu hasrat yang sama dan mempunyai adab yang terbaik kerana sebagai ibu sebagai ayah konteks terakhir yang kita perlukan untuk besarkan anak bukan hanya kewangan tetapi adab bagaimana mereka menghormati kita sebagai ibu bapa dan juga masyarakat.

Begitu juga dengan pendedahan kanak-kanak kepada perkara-perkara digital. Hari ini ramai bukan hanya kanak-kanak, remaja juga terlibat dalam pendekatan digital. Sejauh manakah pihak kerajaan memberikan perlindungan daripada sudut IP dan juga hak aset kepada anak-anak ini yang telah terlibat dalam perniagaan usahawan digital di awal umur mereka yang masih kecil. Saya juga ingin bertanya kepada kerajaan tentang apakah hak-hak yang dinikmati oleh anak-anak yatim yang diberitakan kepada kita melebihi lima ribu orang akibat daripada ibu bapa mereka telah meninggal akibat Covid-19.

Kita mohon agar penjagaan diberikan kepada mereka kerana mereka ini adalah mangsa yang telah pun terlibat dalam keadaan besar-besaran menjadi anak yatim. Begitu juga dengan kepekaan kepada libat sama OKU. Hari ini kita melihat bahawa program- program OKU termasuklah menjadikan mereka ini penjawat awam masih lagi dipandang sipi oleh pihak kerajaan. Kita mahu melihat peratusan ini meningkat dan kesedaran perlu diberikan kepada masyarakat khususnya kepada JKM untuk diberikan peruntukan supaya bengkel-bengkel untuk kepekaan OKU ini diberikan kepada pihak sekolah dan JKM supaya mereka boleh memahami bahawa libat sama OKU sangat perlu dalam sebuah kerajaan. Kita sangat menyanjung usaha ataupun komen yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong supaya meminda Akta OKU 2008.

Saya juga bertanya kepada pihak kerajaan berkenaan dengan bagaimanakah kita melihat penglibatan wanita dalam koperasi. Seluruh Malaysia ini kita tahu bahawa koperasi telah pun mencapai usia 100 tahun tetapi penglibatan wanita dalam koperasi sangat rendah. Jadi kita lihat kepada Amanah Ikhtiar Malaysia. Kita lihat kepada sistem Ar-Rahnu, gadaian. Kebanyakan daripada peserta ini merupakan wanita yang merupakan pembayar yang sangat baik. Saya rasa sudah sampai masa kepada kita untuk memastikan bahawa Kerajaan Malaysia boleh membantu untuk pembinaan sebuah bank koperasi khas untuk membantu wanita bagi menggalakkan wanita ini terlibat dalam bidang perniagaan dan perbankan yang sewajarnya.

Begitu juga dengan keterjaminan makanan. Di Kelantan, alhamdulillah kita melihat suatu usaha yang dibuat pada tahun 2011 dilancarkan oleh mantan Menteri Besar bahawa Bertani Satu Ibadah merupakan satu program besar-besaran untuk menjamin keterjaminan makanan. Hari ini kita melihat daripada data pertanian Kelantan mengikut kadar sara diri SSL bagi Agromakanan negeri Kelantan 2020 dan Jabatan Pertanian Malaysia bahawa buah-buahan telah pun mencapai bilangan 117 peratus, padi 208 peratus, sayur-sayuran 98 peratus, kelapa melebihi mencapai 196 peratus. Secara teorinya kita melihat ini telah pun menjadi suatu keterjaminan makanan.

Jadi kita mahu dalam hal ini juga kerajaan memberikan penekanan kepada usahawan muda untuk terlibat dalam pertanian secara bersasar di semua negeri. Ini penting juga kempen kepada usaha-usaha bagi membayar zakat khususnya berkaitan dengan pertanian. Apabila kita membuat kajian-kajian alhamdulillah didapati bila mana pendekatan agama ini dibuat kepada mereka peningkatan dan keberkatan berlaku dalam pencapaian kerajaan dan juga pendapatan rakyat.

Seterusnya berkaitan dengan data kebajikan. Kita melihat pada tahun 2019, kerajaan telah mencadangkan MYSPC iaitu penyatuan data-data kerajaan untuk kebajikan. Saya ingin mengetahui apakah kemajuan kepada MYSPC ini kerana hari ini kita melihat apabila berlaku Covid-19 berlaku banjir berlaku pelbagai bencana, kebanyakan dan hampir semua perkara ini berlaku, terpaksa dikutip semula data-data yang berkaitan dengan kebajikan rakyat.

Sepatutnya data ini dikenakan secara bersama dan menjimatkan. Kita sudah lancarkan kerajaan e-government pada tahun 2007. Akan tetapi pada hari ini masih tidak selesai soal pendaftaran mangsa banjir, pendaftaran bencana dan sebaginya saya kira sampai masa untuk kerajaan memastikan bahawa usaha-usaha seperti ini dapat kita digitalkan semuanya bagi kita mempercepatkan dan mengurangkan beban kepada kakitangan awam yang menjadi petugas kepada perkara ini.

Khas untuk Tumpat, saya ingin bertanyakan kepada kerajaan, adakah kerajaan akan mempertimbangkan untuk menjadikan Hospital Tumpat sebagai Pusat Kecemerlangan Penyakit Berjangkit yang telah lama dijanjikan.

Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff [Rantau Panjang]: Minta laluan Yang Berhormat Tumpat. Terima kasih. Tahniah Yang Berhormat Tumpat. Yang Berhormat Tumpat juga sebagai Exco daripada Kerajaan Negeri Kelantan yang begitu berpengalaman. Mungkin Yang Berhormat boleh sebut bagaimana kejayaan negeri Kelantan yang telah melancarkan e-pengurusan bencana yang seharusnya dilaksanakan di peringkat negeri-negeri lain dan juga di peringkat federal.

Dato’ Mumtaz Md Nawi [Tumpat]: Terima kasih Yang Berhormat Rantau Panjang. Alhamdulillah kerajaan negeri setelah berusaha hampir lapan tahun telah berjaya melancarkan satu sistem untuk pengurusan bencana secara bersepadu iaitu e-bencana dengan kerjasama daripada pihak UTM Malaysia. Jadi saya menyarankan kepada semua negeri agar mempunyai sistem yang sama kerana pengalaman Kelantan menguruskan 350,000 mangsa banjir pada tahun 2018 mengajar kita segala-galanya. Dalam hal ini saya mengharapkan kerjasama G to G dan juga SOP dan serta best practices penting dapat diselaraskan di antara negeri-negeri dalam kepentingan negara kita.

Begitu juga dengan tadi saya sebut tentang hospital bagaimana kita perlukan tempat ini kerana pada tahun 2020 apabila berlaku sahaja Covid-19 Hospital Tumpat yang telah dibina pada tahun 1984 ini telah digunakan sepenuhnya untuk hospital Covid-19 tetapi prasarananya tidak mencapai sasaran yang sepatutnya.

Jadi saya mengharapkan ini dapat dibuat. Saya juga ingin pihak kerajaan untuk mempertimbangkan supaya perancangan awal ECRL untuk stesen terakhir berlaku di Pengkalan Kubor dipertimbangkan balik kerana ini merupakan bandar sempadan yang terakhir sebelum Thailand.

Saya juga mahu melihat suatu penyelesaian menyeluruh bagi banjir di Kelantan kerana saya melihat bukan hanya di Kelantan, tadi saya dengar dari Yang Berhormat Kapar menyebut tentang kadang-kadang isu bajet, kadang-kadang isu ketidakselarian di antara agensi. JKR mengatakan ini JPS, JPS kata ini PBT. Sebenarnya yang berlaku mendesaknya kepada rakyat. Jadi saya mengharapkan supaya penyelesaian menyeluruh. Contohnya, sistem perancangan perparitan di setiap Parlimen difahamkan memerlukan RM1 juta hanya untuk menyiapkan mapping. Jadi kalau ini dapat kita tingkatkan, insya-Allah masalah parit dan longkang dapat diselesaikan seluruhnya.

Saya juga mahu melihat supaya Pusat Kajian Banjir dan Pusat Pemindahan Kekal dapat dibuat di dua buah tempat sekurang-kurangnya di Kelantan iaitu di Tumpat dan Rantau Panjang kerana ini merupakan lokasi yang sentiasa berlaku banjir.

Saya juga ingin melihat kepada satu persoalan yang dikemukakan oleh pihak rakyat kita di Tumpat. Satu masalah baru berlaku di mana Tumpat ini dikenali sebagai tempat untuk makanan warisan. Antaranya serunding, dodol dan sebagainya. Akan tetapi hari ini kita difahamkan bahawa terdapat halangan untuk menjual ataupun menghantar serunding yang berasaskan daging ini ke Sabah dan Sarawak. Saya pohon kepada pihak kerajaan untuk melihat balik kerana ini merupakan IKS dalam negara yang perlu kita bantu terutamanya menjelang puasa dan juga hari raya. Apakah masalah yang berlaku? Kalau boleh, permudahkanlah birokrasi ini untuk membantu IKS.

Begitu juga dengan kita melihat prasarana awam di sekolah-sekolah dan juga pasar. Banyak pasar di Kelantan khususnya di Tumpat yang telah melebihi umur 30 tahun. Jadi, saya berharap pada pihak kerajaan untuk menilai dan mempunyai dasar supaya mereka boleh mempercepatkan dan mempertimbangkan keutamaan kepada keperluan rakyat ini.

Seterusnya, berkaitan dengan kita dapati baru-baru ini terdapat kajian mengenai dengan keperluan ataupun kebolehan untuk pramugari bertudung. Kalau di UK sudah boleh bertudung, saya mengharapkan Kerajaan Madani ini boleh membenarkan pramugari kita bertudung. Sudah sampai masanya, perjuangan ini sudah lama kepada pihak pramugari yang berhak kepada hak mereka sebagai seorang Islam.

Yang terakhir, saya ingin dari pihak kerajaan tentang kerjasama serantau untuk krisis ekonomi dan kesihatan yang dibawa oleh Malaysia. Apakah pertimbangan yang dibuat oleh pihak PPRT yang memperuntukkan hanya tujuh buah rumah sahaja untuk Parlimen Tumpat sedangkan dalam data eKasih, Tumpat antara tempat yang paling ramai orang yang susah. Jadi saya harap ini dipertimbangkan oleh pihak kerajaan. – HARAKAHDAILY 15/2/2023

Petikan ucapan Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 14 Februari 2023.

- Advertisement -