Kerajaan perlu kukuhkan sistem kesihatan awam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi perhatian serius terhadap usaha untuk memperkukuhkan sistem kesihatan awam negara.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata wabak Covid-19 wajar menjadi pengajaran kepada kerajaan untuk menambah baik infrastruktur sistem penjagaan kesihatan awam, tenaga kerja, meningkatkan liputan kesihatan dan kualiti penyampaian perkhidmatan serta menangani pelbagai krisis yang sedang dialami.

“Dalam melihat ucapan Yang di-Pertuan Agong, bagaimana penekanan untuk memperkukuhkan kesihatan awam dengan melihat peningkatan beban penyakit berjangkit dan tidak berjangkit yang memakan kos yang begitu besar.

“Laporan KKM dan WHO berdasarkan data pada tahun 2017, kos langsung penjagaan diabetes, penyakit kardiovaskular dan kanser mencecah hampir RM10 bilion setahun.

“Diabetes menduduki tempat pertama dengan kos yang dibelanjakan lebih daripada RM4 bilion, kardiovaskular hampir RM4 bilion dan kanser RM1.3 bilion.

“Penyakit kegagalan buah pinggang (ESRF) daripada 49,000 pesakit pada tahun 2020 dan dijangkakan lebih daripada 100,000 pada tahun 2040.

“Ini sebagai satu contoh bagaimana perbelanjaan besar perlu diperuntukkan untuk mempertingkatkan atau memperkukuhkan kesihatan awam,” katanya dalam ucapan perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Yunus yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor menggesa kerajaan untuk segera menaik taraf institusi kesihatan yang telah uzur antaranya di Kuala Langat.

“Kita ada hospital yang sudah begitu lama, Hospital Banting merupakan satu-satunya hospital sekunder yang wujud di Kuala Langat dan tiada hospital swasta yang memberikan perkhidmatan yang lengkap

“Ini antara beberapa justifikasi yang harus dilihat supaya Hospital Banting juga akan diletakkan sebagai salah satu hospital yang akan dinaik taraf supaya bertepatan dengan penduduk Kuala Langat itu sendiri.

Jelas beliau, populasi penduduk Kuala Langat seramai 342,000 orang dan mengikut nisbah katil dan populasi penduduk bersamaan 2.08 katil bagi setiap 1000 penduduk menjelang 2025.

Katanya, katil yang diperlukan adalah sebanyak 712 buah, tetapi yang ada hanya 212 katil.

Oleh itu katanya, manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu yang komited terhadap sektor kesihatan awam itu perlu ditonjolkan dengan memberikan penyelesaian terbaik.

“Saya harapkan ada perincian-perinciannya dan hala tuju yang dirancangkan oleh kerajaan pada hari ini,” ujar beliau.

Pada PRU15, antara salah manifesto PH adalah untuk meningkatkan belanjawan kesihatan awam kepada lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh lima tahun agar selaras dengan perkembangan populasi negara, pertambahan jangka hayat rakyat dan keperluan semasa. – HARAKAHDAILY 15/2/23

- Advertisement -