Kerajaan dicadang gubal polisi lebih inklusif, berdaya saing

Dato' Seri Hamzah Zainudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PERIKATAN NASIONAL mencadangkan supaya kerajaan menggubal satu polisi yang lebih inklusif dan berdaya saing dengan penekanan khusus kepada penghasilan sumber manusia berkualiti tinggi.

- Advertisement -

Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata langkah itu dapat memudahkan negara merebut peluang ekonomi yang lebih besar, seterusnya membolehkan Malaysia beralih menjadi negara berpendapatan tinggi.

Beliau berkata melalui pendekatan itu, negara akan memiliki generasi baharu, sumber manusia yang lebih inovatif, sekali gus bakal melahirkan lebih banyak syarikat berteraskan teknologi tinggi.

“Penekanan mestilah terarah kepada usaha menambah baik aspek peningkatan daya saing, mencipta lebih banyak peluang kerja berprestasi tinggi serta memperkasakan institusi.

“Galakan juga perlu diberikan kepada pihak swasta menerusi insentif-insentif menarik bagi memperkasakan dan memacukan lagi agenda penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Larut itu berpandangan insentif-insentif menarik bagi mengurangkan pekerja asing perlu ditambah baik kerana peluang kerja berprestasi tinggi mesti diisi rakyat tempatan terutamanya golongan belia.

Menyentuh soal kos sara hidup, Hamzah berkata kerajaan perlu melakukan tindakan segera bagi menangani isu tersebut termasuk memberi perhatian kepada kebajikan veteran tentera dan polis terutama dalam aspek penyelarasan pencen.

Sementara itu, Hamzah memohon kerajaan berhati-hati dengan perkembangan terkini mengenai ketegangan antara China dan Amerika Syarikat berhubung Laut China Selatan kerana ia boleh memberi impak kepada negara.

“Kita perlu kekal berkecuali tetapi pada masa yang sama kita perlu bijaksana dan cermat menyusun strategi agar kita tidak terlihat cenderung kepada satu-satu negara hanya kerana kita mempunyai hubungan baik dengan kelompok tertentu,” katanya.

Hamzah memberi jaminan blok pembangkang akan memainkan peranan semak dan imbang dengan menegur dan memberi pandangan secara bertanggungjawab, malah menyokong perkara baik yang dibawa pentadbiran Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Beliau juga memuji keputusan kerajaan menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Turkiye susulan bencana gempa bumi dengan menyifatkannya sebagai tindakan yang tepat. – bersatu.org

- Advertisement -