Hantar anak ke SRITI selepas PASTI

- Advertisement -

LAHAD DATU: Ibu bapa diseru memberikan didikan Islam secara berterusan di rumah untuk memastikan ada kesinambungan daripada pembelajaran di PASTI.

- Advertisement -

Menurut Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Sabah, Ramli Pataruddin, masa anak-anak bersama guru di PASTI agak terhad, selebihnya banyak dihabiskan di rumah, justeru ibu bapa perlulah mengambil peranan tersebut, supaya mereka tidak ketinggalan dalam pendidikan Islam.

Ramli turut menggalakkan ibu bapa menghantar anak belajar ke Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Tahfiz Lahad Datu selepas tamat belajar di PASTI.

Ini ujarnya untuk meneruskan pendidikan berteraskan Islam di peringkat sekolah rendah agar ada kesinambungan dengan pembelajaran di PASTI.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Prestasi PASTI Lahad Datu, di Dewan Plasma MPOB, kelmarin.

Turut hadir Ketua Urusan Ulama PAS Lahad Datu, Zaki Ibrahim, Pengerusi PASTI Lahad Datu, Landari Labobo dan Ahli Majlis Daerah Lahad Datu, Nizam Latuah.

Sementara itu, Pengarah Program, Yusmedzar Bacho berkata, majlis tersebut diadakan untuk memberi penghargaan kepada peljar yang memperolehi keputusan cemerlang dalam bidang kurikulum dan kokurikulum mengikut penilaian berdasarkan Sistem Perkembangan Prestasi Murid (SPPM).

“Majlis ini juga memberi pengiktirafan kepada murid PASTI yang telah menamatkan sesi persekolahan mereka.

“Enam Anugerah Celik telah diberikan kepada murid 5 dan 6 Tahun setiap PASTI, iaitu Anugerah Celik Al-Quran, Celik Bahasa, Celik Sahsiah, Celik Minda, Celik Cerdas dan Anugerah Mumtaz,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/2/2023

- Advertisement -