Piala Kelab Dunia: Real Madrid benam Al Ahly 4-1

Rodrygo (kanan) menjaringkan gol ketiga Real Madrid - AP
- Advertisement -

Real Madrid mara ke final Piala Kelab Dunia selepas jaringan Vinicius Jr, Federico Valverde, Rodrygo dan Sergio Arribas memastikan kemenangan 4-1 ke atas kelab Mesir, Al Ahly.

- Advertisement -

Walaupun beraksi tanpa beberapa pemain utama seperti penyerang, Karim Benzema dan penjaga gol, Thibaut Courtois, Real Madrid seolah-olah bermain di gelanggang sendiri apabila peminat tempatan kelab itu menghidupkan suasana dengan bunyi bising di Stadium Prince Moulay Abdallah.

Jersi putih Real Madrid juga ketara mengatasi merah Al Ahly, malah peminat Maghribi mempamerkan sepanduk gergasi menyokong kelab Sepanyol itu, mewujudkan suasana bersemangat dan riuh yang jarang berlaku dalam pertandingan Piala Kelab Dunia yang selalunya bersifat neutral.

Namun Real Madrid bergelut untuk memecahkan kebuntuan, menentang pertahanan Al Ahly yang tersusun rapi dan melakukan serangan balas pantas.

Rembatan Vinicius tersasar pada minit ke-28 dan Rodrygo pula terkena tiang, tetapi Real Madrid membuka jaringan tiga minit sebelum babak pertama berakhir.

Aliou Dieng membuat hantaran buruk kepada Mahmoud Metwaly yang apabila diasak Vinicius, kehilangan bola kepada pemain Brazil itu. Vinicus kemudian melakukan rembatan melepasi penjaga gol untuk jaringan ke-50 dalam 202 perlawanan untuk Real Madrid.

Valverde melebarkan pendahuluan Real Madrid sejurus selepas rehat. Vinicius kemudian dua kali mensia-siakan peluang untuk melebarkan kedudukan.

Al Ahly menerima talian hayat apabila Eduardo Camavinga tersandung Hussein El Shahat dalam kotak penalti pada minit ke-65 dan pemain pertahanan, Ali Maaloul tidak mensia-siakan sepakan penalti untuk gol pertama Al Ahly.

Afsha terlepas peluang untuk gol penyamaan untuk Al Ahly manakala pemain Real Madrid, Luka Modric, terlepas sepakan penalti tiga minit sebelum tamat permainan. Rodrygo dan pemain gantian, Arribas melengkapkan kemenangan selesa pada masa kecederaan dengan jaringan jarak dekat.

Real Madrid akan menentang kelab Arab Saudi, Al Hilal dalam perlawanan akhir di Rabat, Sabtu ini, selepas mengejutkan juara Amerika Selatan, Flamengo 3-2 pada separuh akhir pertama.

“Kami tiba di sini dengan penuh semangat untuk bermain pada perlawanan akhir,” kata jurulatih, Carlo Ancelotti.

“Kami teruja untuk bermain perlawanan akhir dan mahu bermain dengan baik. Kami perlu berehat, walaupun kami tidak mempunyai banyak masa. Kami perlu berehat dengan baik untuk menang.” – REUTERS

- Advertisement -