Pengalaman lepas perlihat Umno mahu jadi ‘abang besar’

Dato' Mohd Amar Abdullah
- Advertisement -

KOTA BHARU: Berdasar pengalaman kerjasama PAS dengan Umno sebelum ini memperlihatkan Umno sering mahu menjadi ‘abang besar’.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, suasana sama dijangka berlaku antara Umno dan Pakatan Harapan (PH) terutamanya di negeri-negeri yang dikuasai Barisan Nasional (BN).

Katanya, tidak dapat dinafikan kemungkinan akan berlaku konflik perebutan kerusi antara PH dan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

“Senario berkenaan dilihat berdasar pengalaman PAS sebelum ini yang pernah menjalinkan kerjasama dengan Umno.

“Berdasar pengalaman kita dengan Umno sebelum ini, mereka mahu kerusi banyak dan sebab itu kita tidak boleh bekerjasama pada Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya kepada media di Kota Darulnaim hari ini.

Media sebelum ini melaporkan PH Selangor akan memulakan rundingan rasmi bersama parti lain termasuk BN bagi memutuskan bentuk kerjasama dan agihan kerusi bagi menghadapi PRN.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, kerjasama di antara PH-BN sudah dijangka berlaku selepas Umno menyertai kerajaan campuran yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dari awal kita memang sudah bersedia untuk menghadapi keadaan tersebut kerana ia memang dalam jangkaan kita.

“Cuma pada PRN kali ini, persaingan akan menjadi lebih sengit kerana kita berhadapan dengan pertandingan dua penjuru berbanding tiga penjuru sebelum ini. Kita perlu bekerja lebih kuat,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/2/23

- Advertisement -