Erdogan umum 912 maut dan 5,400 cedera di Turkiye

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan
- Advertisement -

ANKARA: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, mengumumkan bahawa angka kematian akibat gempa bumi di negaranya mencecah 912 orang, manakala kira-kira 5,400 orang cedera dan kira-kira 2,470 orang berjaya diselamatkan daripada runtuhan bangunan.

- Advertisement -

Menurutnya, kira-kira 3,000 bangunan juga runtuh dalam gempa bumi itu, pengumuman ini membawa angka kematian di Turki dan negara jiran, Syria kepada lebih 1,300 orang.

Sementara itu, katanya Turkiye menerima tawaran bantuan daripada kira-kira 45 negara selepas gempa bumi dan gempa susulan yang kuat dan masih berterusan.

“Oleh kerana usaha mengeluarkan serpihan runtuhan masih berterusan di banyak bangunan di zon gempa bumi, kita tidak tahu berapa banyak jumlah kematian dan kecederaan akan meningkat,” kata Erdogan dalam kenyataannya yang disiarkan menerusi televisyen.

“Harapan kami adalah agar kami pulih daripada bencana ini dengan sedikit kehilangan nyawa. Saya berdoa agar Tuhan melindungi kita dan semua manusia daripada bencana alam seperti itu,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg, berkata anggota perikatan pertahanan itu menggerakkan sokongan untuk membantu Turkiye menangani kesan gempa bumi yang dahsyat itu.

Beliau menyatakan setiakawan sepenuhnya dengan Turkiye selepas gempa bumi yang dahsyat ini dan sekutu NATO sedang menggerakkan sokongan sekarang.

Stoltenberg berkata, beliau juga berhubung dengan Presiden Turkiye dan Menteri Luar, Mevlut Cavusoglu. Beberapa anggota NATO sudah pun menyatakan rancangan untuk menghantar bantuan bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

Terdahulu, Mekanisme Perlindungan Awam Kesatuan Eropah (EU) berkata mekanisme itu telah diaktifkan untuk memberikan bantuan antarabangsa dengan menyatakan bahawa pasukan penyelamat dari Belanda dan Romania sudah pun dalam perjalanan ke kawasan bencana. – AP

- Advertisement -