Kerajaan Madani, kerajaan tidak berintegriti

- Advertisement -

SEKIRANYA kita perhatikan, setiap minggu pasti akan ada isu panas daripada Kerajaan Madani yang menjadi bahan jenaka dalam kalangan rakyat.

Bermula daripada ‘deal of century’ Anwar dan Zahid sehinggalah yang terkini pelantikan kontroversi bersifat nepotisme oleh Perdana Menteri.

Kesemua ini berlaku adalah kerana ketempangan idealisme politik Anwar dan Zahid yang membakulsampahkan slogan politik mereka selama ini.

Langkah pentadbiran Anwar yang membelakangkan slogan Reformasi telah menzahirkan imej bahawa kerajaan pada hari ini adalah tidak berintegriti sama ada dalam isu rasuah atau kata-kata janji mereka.

Isu ketirisan integriti dalam pentadbiran kerajaan pada hari ini hanyalah pada fasa permulaan dan dijangka bakal membarah sekiranya dibiarkan berlanjutan.

Kontroversi setiap minggu atau hampir setiap hari yang tercipta hasil pelanggaran nilai-nilai demokrasi dalam negara ini mesti ditentang, dilawan, dan dihentikan oleh rakyat.

Usaha untuk menekan kerajaan dari jalan demokrasi atau media harus diperhebatkan.

Rakyat tidak perlukan Anwar atau PKR atau MUDA yang telah dijinakkan oleh nikmat Putrajaya untuk turun ke jalanan bagi menunjukkan perasaan atau bantahan ke atas Kerajaan Madani yang tidak berintegriti ini. Anak muda khususnya mahasiswa Malaysia perlu bangkit melawan kerancuan pentadbiran Anwar dan Zahid ini.

Tekanan media sosial juga adalah penting agar Kerajaan Madani ini tidak lagi melakukan langkah politik mengikut nafsu politik mereka semata-mata.

Krisis integriti ini mestilah berhenti sekarang. Malaysia perlu fokus hadapi kemelesetan ekonomi yang menekan rakyat. Bukan wayang politik serta salah laku kuasa yang tidak berkesudahan. Sekian

YB USTAZ NURUL AMIN HAMID 
Ketua Pemuda PAS Kedah
Ahli Parlimen Padang Terap – HARAKAHDAILY 1/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -