Jumlah mangsa banjir di Sabah berkurangan

- Advertisement -

LAHAD DATU: Jumlah mangsa banjir di Sabah berkurangan kepada 320 orang sehingga jam 10.30 pagi tadi berikutan keadaan cuaca semakin baik.

- Advertisement -

Jumlah mangsa banjir melibatkan 186 keluarga yang ditempatkan di sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), termasuk 113 orang di Dewan Mini Kampung Bauto.

Selain itu, PPS Dewan Pusat Latihan Vokasional Pertanian Lahad Datu (45 orang) dan PPS Pusat Komuniti Kampung Batangon Darat Beluran (43).

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah berkata, semua PPS di Pitas pula sudah ditutup.

Hujan lebat sekali sekala di Lahad Datu sejak tiga hari lalu menyebabkan beberapa kampung terjejas termasuk Kampung Segama, Kampung Sepadulang dan Kampung Lituk.

Ahli jawatankuasa Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Lahad Datu, Kanizam Kamis berkata, mangsa sebelum ini dipindahkan ke PPS di AVTC Segama.

“Proses pemindahan mangsa banjir diuruskan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Negeri Sabah (JPKA) dan RELA,” katanya di sini.

Menurutnya juga, 70 keluarga yang terjejas akibat banjir diberi sumbangan bakul makanan oleh PAS Lahad Datu yang disampaikan Ketua Dewan Pemuda PAS kawasan berkenaan, Landari Labobo.

Katanya, terdapat juga keluarga yang terlibat banjir di kampung terbabit tidak berpindah.

Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Lahad Datu, Nizam Latuah pula menyampaikan sumbangan 30 kotak air mineral dan 30 pek beras kepada penduduk Kampung Sapadulang. Turut hadir Ketua Pemuda PAS Cawangan Aman Jaya, Tan Chin Khoon.

Sementara itu seorang penduduk Nordin Atan, 59, berkata ketika banjir melanda sebahagian penduduk kampung tidak dapat keluar membeli keperluan harian kerana laluan terhalang akibat banjir.

“Penduduk juga berdepan kesukaran memandangkan empat hari bekalan air terputus ekoran banjir,” katanya ketika ditemui. – HARAKAHDAILY 1/2/23

- Advertisement -