Kalau tikus kejar kucing, itu berita

- Advertisement -

BERITA dalam bahasa Inggeris dipanggil news. Asal dari perkataan new, maknanya suatu yang baru akan ada nilai berita.

- Advertisement -

Contohnya, kucing kejar tikus itu biasa dan tak ada nilai berita tapi kalau tikus kejar kucing, maka itu berita.

Dalam kehidupan ini, kita melalui rutin harian yang berulang-ulang. Kebijaksanaan kita dalam mengolah semua ini di medan media sosial akan menjadikan ia menarik dan ada nilai berita.

Maaf saya sebut, kalau posting sebegini memang tak ada nilai berita untuk dibaca:

Pagi ini sebelum ke pejabat saya sempat minum pagi di warung dengan orang kampung.

Lepas solat zohor di masjid, saya berkesempatan makan tengah hari nasi lauk ikan baung. Belanja semua orang dalam kedai hari ni.

Peristiwa petang ini, dalam kesibukan saya sempat makan roti canai dengan anak muda kampung.

Sempat hadir kuliah maghrib mingguan di masjid. Lepas isyak kena hadir satu mesyuarat. Hari yang sangat sibuk!

Macam mana rutin minum pagi dengan rakyat kita nak jadikan berita? Saya cadangkan kita tulis ulasan satu isu yang menjadi perbualan di kedai kopi pagi tadi. Ia akan jadi menarik untuk dibaca.

Suatu aset berharga bagi seorang pemimpin bila dapat meninta dari hati tentang isu-isu semasa rakyat. Bukan setakat laporan statik dan klasik macam diari sahaja.

Elakkan guna perkataan seperti sempat, berkejar dalam kesibukan, dapat meluangkan masa dan yang sewaktu dengannya.

Sesuatu yang baru menarik untuk dibaca oleh netizen. Kalau kita kreatif mengolah, sesuatu yang biasa akan mampu menggoda pembaca.

DR AZMAN IBRAHIM
Adun Jabi – HARAKAHDAILY 31/1/2023

- Advertisement -