Agensi nuklear Australia sertai operasi kesan kapsul radiasi hilang

Jarak sepanjang 1,400 kilometer untuk mengesan kapsul radiasi yang hilang.
- Advertisement -

MELBOURNE: Pihak berkuasa keselamatan nuklear Australia menyertai usaha mengesan kapsul radioaktif kecil yang hilang di barat negara itu dan dikhuatiri mencetuskan amaran radiasi.

Agensi Perlindungan Radiasi dan Keselamatan Nuklear Australia (ARPANSA) bekerjasama dengan kerajaan Australia Barat untuk mencari kapsul itu.

- Advertisement -

Kapsul itu yang dipercayai terjatuh dari trak adalah sebahagian daripada alat yang digunakan untuk mengukur ketumpatan bijih besi yang diamanahkan oleh Rio Tinto Ltd kepada kontraktor pakar untuk diangkut. Syarikat itu memohon maaf terhadap kehilangan itu yang mungkin berlaku pada bila-bila masa sejak lebih dua minggu lalu.

“ARPANSA menghantar pasukan dengan alat pengesan mudah alih yang dipasang pada kereta untuk menyokong mengesan di sepanjang laluan antara wilayah Pilbara hingga Perth dan beroperasi mulai hari ini,” katanya agensi itu dalam kenyataan media.

Pihak berkuasa bergelut dengan tugas berat mengesan di sepanjang 1,400 kilometer laluan trak itu dari utara Newman – sebuah bandar kecil di wilayah terpencil Kimberley – ke kemudahan penyimpanan di pinggir bandar timur laut Perth – jarak yang lebih jauh daripada panjang Great Britain.

Usaha mengesan itu diketuai oleh Jabatan Bomba dan Perkhidmatan Kecemasan negeri bersama pakar radiasi.

Menurut ARPANSA, Pertubuhan Teknologi dan Sainsi Nuklear Australia (ANSTO) juga menghantar pasukan pakar perkhidmatan radiasi serta peralatan pengesanan dan pengimejan untuk membantu usaha itu.

“ARPANSA komited untuk menyokong usaha mencari sumber yang hilang dan melindungi masyarakat daripada kesan bahaya radiasi.”

Pegawai kecemasan Australia Barat juga mengeluarkan amaran baharu kepada pemandu di sepanjang lebuh raya terpanjang Australia supaya berhati-hati apabila berada berhampiran pasukan mencari berkenaan. – REUTERS

- Advertisement -